Home / Edisi / Kerajaan negeri sokong program pembangunan belia
Adnan Yaakob (kiri) menyampaikan anugerah kategori Ikon Belia kepada Badli Shah Alauddin (kanan) pada majlis Malam Anugerah Belia Negara Peringkat Negeri Pahang di Kuantan, malam semalam. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

Kerajaan negeri sokong program pembangunan belia

KUANTAN 11 Jun – Kerajaan negeri akan terus memberi sokongan dengan menyalurkan bantuan bagi merancakkan program pembangunan belia memandangkan golongan itu merupakan penyumbang utama kepada kemajuan negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, selain bantuan kewangan dan insentif tertentu, program pembangunan belia juga merupakan salah satu manifesto yang dilaungkan Barisan Nasional (BN) negeri dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Komitmen kerajaan negeri adalah jelas untuk membantu semua golongan terutama belia yang merupakan sebahagian penduduk negeri ini iaitu sebanyak 47 peratus daripada 1.5 juta penduduk.

“Hal ini bertepatan dengan aku janji yang telah dibuat dalam PRU-13 untuk memberi tumpuan kepada aspek pembangunan program belia bagi memastikan mereka mampu bersaing bukan sahaja di dalam negara bahkan di peringkat global,” katanya yang berucap pada Malam Anugerah Belia Negara peringkat negeri di sini malam tadi.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd Johari Hussain.

Menurut Adnan, belia yang aktif berpersatuan juga disaran sentiasa merebut peluang yang diberikan terutama untuk dilantik memegang pelbagai jawatan tertinggi.

“Rebutlah peluang dengan mengambil pengalaman bagaimana untuk menjadi pemimpin yang baik dengan mengamalkan ilmu-ilmu pengurusan yang baik.

“Dalam masa yang sama, kita akan memastikan setiap persatuan belia dapat melaksanakan tugasan dengan baik… tanpa amalan tidak sihat seperti terlalu berpolitik, budaya tikam belakang atau mengkhianati sesama mereka,” ujarnya.

Pada majlis itu, pemain hoki kebangsaan, Ahmad Kazamirul Nasalddin dan Ismail Abu menerima Anugerah Belia Negara kategori Daya Juang manakala Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pahang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mahadiah Mohamad pula dipilih sebagai penerima Tokoh Jasa Belia.

Penceramah bebas yang juga Penolong Pengarah (Penyelidikan) Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Badli Shah Alauddin pula dipilih sebagai Ikon Belia.

Sementara itu, Badli Shah, 39, menganggap pemilihannya adalah satu pengiktirafan kepada golongan agamawan dan menjadi pembakar semangat untuk beliau aktif dalam bidang tersebut.

“Anugerah ini adalah untuk semua belia yang menceburi bidang keagamaan dan diharapkan dapat mencetus semangat kepada golongan belia.

“Saya lihat ia sesuatu yang baharu dan berharap dapat membuka minda serta mengajak lebih ramai golongan belia menceburi bidang keagamaan sebagai penceramah.

“Saya juga bercadang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang agama ke peringkat Doktor Falsafah agar apa yang saya kongsi dalam setiap ceramah adalah ilmu-ilmu yang segar dan tidak berulang-ulang,” jelas anak kelahiran Maran itu.

About admin

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino