Home / Edisi / Suntikan semangat cintakan ilmu
KHAIRY Jamaluddin bersalaman dengan orang ramai semasa hadir Karnival Mesra Belia Jom ke Putrajaya di Kepala Batas Pulau Pinang, semalam.

Suntikan semangat cintakan ilmu

KEPALA BATAS 18 Mei – Pe­nganjuran acara kemuncak sambutan Hari Belia Negara tahun ini bakal menyaksikan perubahan programnya selepas Kementerian Belia dan Sukan memutuskan menjadikannya majlis ilmu dan tidak lagi berpaksikan acara hiburan semata-mata.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, acara kemuncak yang akan diadakan di Putrajaya bermula 22 hingga 25 Mei ini bertujuan menyuntik semangat cintakan ilmu pengetahuan dalam kalangan generasi muda di samping menekankan unsur keagamaan.

“Sehubungan itu, kita menjemput pendakwah terkenal dari Indonesia, Habib Syekh Abdul Qadir Asseggaf yang akan mengetuai program berselawat selain beberapa majlis ilmu akan turut diadakan,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Karnival Mesra Belia Jom ke Putrajaya di pusat beli-belah Sunshine di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin dan kira-kira 500 belia dari kawasan sekitar.

Sempena program jelajah berkenaan, pelbagai acara menarik yang menjadi minat golongan muda turut diadakan seperti pameran kereta permainan, pameran vespa, pertunjukan kesenian dan kebudayaan, jualan buku dan pertandingan sepak takraw yang mendapat sambutan hangat.

Mengulas lanjut mengenai pengisian acara kemuncak di Putrajaya, Khairy berkata, beliau tidak mahu lagi melihat belia yang datang hanya ingin menyaksikan hiburan kosong semata-mata tanpa ada pengisian ilmiah.

“Kita tidak harus membiarkan belia terus disajikan dengan persembahan hiburan semata -mata sebaliknya mereka harus didedahkan dengan program keilmuan bagi menjadikan mereka belia yang bermaklumat.

“Selain itu, kementerian mahu acara sambutan diadakan secara menyeluruh bertujuan memberi nafas baharu dan membolehkan setiap aktiviti yang dilaksanakan sepanjang sambutan tersebut disertai oleh semua golongan masyarakat,” katanya.

About admin

Leave a Reply