Home / Berita / Landasan baru pelapis muda
Mohamed Maliki, Presiden MBM

Landasan baru pelapis muda

Oleh Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohamed Maliki Mohamed Rapie berkata, pertemuan Presiden AS ke-44 itu bersama pemimpin muda dari seluruh negara ASEAN pastinya sesuatu yang dinanti-nantikan.
Menurutnya, peluang itu seharusnya digunakan untuk mengenali seterusnya mendekati pemimpin dunia berkenaan dengan sebaik-baiknya.

“Pemimpin muda yang terpilih berpeluang mengenali dan menyatakan pandangan masing-masing dalam pertemuan itu. “Ia boleh menjadi landasan kepada mereka untuk membawa isu yang lebih luas dan sejagat seperti hubungan serantau, kestabilan negara di Asia Pasifik atau soal keselamatan bukannya isu dalam negara dan sebagainya kerana harga diri negara perlu diambil kira,” katanya di sini, semalam.

Obama mengadakan lawatan ke negara ini mulai Sabtu hingga Isnin ini dan ia mencatat sejarah selepas lawatan pertama Presiden AS sebelum ini iaitu Lyndon B Johnson.

Lawatan itu sebahagian daripada siri jelajah AS ke negara Asia termasuk Jepun, Korea Selatan dan Filipina.

Mohamed Maliki berkata, lawatan itu juga memberi peluang kepada Malaysia menyatakan pandangan serta memberi penjelasan mengenai isu semasa yang berlaku ketika ini.

Katanya, ia juga peluang untuk negara menonjolkan diri sebagai jurucakap kepada ASEAN selepas Malaysia dipilih menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun depan.

“Kami mengalu-alukan kehadiran Obama ke negara ini dan kunjungan itu dapat membina hubungan yang lebih baik dalam pelbagai aspek terutama ekonomi atau perdagangan, keselamatan dan sebagainya.

“Namun saya berharap kunjungan ini bukan dengan tujuan atau matlamat menekan Malaysia atau mencampuri urusan dasar negara ini,” katanya.

Beliau berkata, sebagai negara merdeka dan berdaulat, Malaysia mampu menguruskan ‘diri sendiri’.

About admin

Leave a Reply