Home / Edisi / Dapatkan dulu nasihat agensi kerajaan
Anuar Abdul Manap

Dapatkan dulu nasihat agensi kerajaan

JERANTUT 21 April – Generasi kedua Felda yang ingin memulakan kerjaya sebagai usahawan perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada agensi kerajaan terlibat terlebih dahulu bagi mengelak hasrat mereka berkubur begitu sahaja.

Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Anuar Abdul Manap berkata, kebanyakan anak peneroka yang mahu menceburi bidang itu didapati tidak mempunyai ilmu mencukupi menyebabkan perancangan mereka sering terbantut.

“Ramai yang ingin menceburi bidang perniagaan sama ada secara kecil-kecilan atau sebagainya, namun gagal mendapatkan pinjaman kerana menghadapi masalah dengan penyediaan kertas kerja untuk ditunjukkan kepada institusi kewangan.

“Mereka perlu merujuk agensi berkaitan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu kertas kerja bagi memohon pinjaman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Wacana Kepimpinan Belia dan Keusahawanan Parlimen Jerantut di Felda Residence Tekam Resort dekat sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Je-rantut, Ahmad Nazlan Idris; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail dan Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Datuk Saari Din.

Anuar yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, kegagalan bakal usahawan menyediakan kertas kerja yang sempurna menyebabkan mereka gagal mendapatkan sumber kewangan untuk memulakan perniagaan.

“Kita tahu memang ramai ge-nerasi kedua Felda ingin berjinak-jinak dalam dunia keusahawanan, namun tiada pengetahuan yang cukup malah tidak pergi berjumpa agensi terlibat mendapatkan khidmat nasihat serta tunjuk ajar sebelum menghantar kertas kerja,” ujarnya.

Menurutnya, penghasilan kertas kerja sempurna sangat penting sebagai penanda aras bagi meyakinkan pihak terlibat untuk mendapatkan sumber kewangan.

Pada masa sama, Anuar turut me-nyarankan pihak Felda memperluaskan projek Sentuhan Kasih di seluruh negara.

“Projek ini perlu diperluaskan ke gugusan Felda lain kerana dapat membantu generasi kedua mendapatkan tempat tinggal serta pekerjaan lebih baik untuk menyara keluarga,” jelasnya.

 

About admin

Leave a Reply