Home / Edisi / Ambil peluang mohon Dana Belia 1Malaysia

Ambil peluang mohon Dana Belia 1Malaysia

image_pdfimage_print

PAPAR 21 April – Golongan belia diseru mengambil peluang memohon Dana Belia 1Malaysia yang disediakan kerajaan dalam usaha meningkatkan kreativiti serta potensi diri masing-masing.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, dana yang diperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi pembangunan belia itu bakal menjadi pemangkin kepada generasi muda untuk menunjukkan kualiti kepemimpinan.

Beliau berkata, penyediaan peruntukan itu merupakan komitmen dan keprihatinan kerajaan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat terutama golongan belia.

“Bagi cadangan projek atau program yang diadakan, ia perlu berteraskan perpaduan dan memberi kesan berganda kepada penduduk yang diketuai oleh golongan belia.

“Dana yang diberikan kepada belia berusia 15 hingga 40 tahun ini merupakan satu cara bagi memperkasa perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Fiesta Mesra Belia 1Malaysia Peringkat Bahagian Pantai Barat di Dewan Salleh Sulong, di sini semalam.

Karnival yang berlangsung selama dua hari itu melibatkan lebih 2,000 belia dalam pelbagai acara seperti autoshow, futsal, pertandingan kompang, karaoke dan sukan rakyat.

Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, kerajaan mengalu-alukan sumbangan golongan belia kepada pembangunan negara dan masyarakat.

Katanya, kewujudan persatuan belia atau badan kebajikan secara langsung dan tidak langsung berjaya membantu kerajaan dalam pelbagai bidang pembangunan.

“Selain itu, melalui aktiviti sukan, belia bukan sahaja memelihara kesihatan badan tetapi kejayaan mereka dalam pelbagai pertandingan telah meningkatkan imej negara di mata dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Rosnah turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan tilawah al-Quran sempena karnival tersebut.

Johan qari dimenangi Aliuddin Matbee manakala qariah, Faridah Ag. Tengah.

About admin

Profile photo of admin

Leave a Reply

Skip to toolbar