Home / Edisi / Pusat aktiviti untuk belia kota
Tengku Adnan Tengku Mansor (tiga dari kiri) melakukan simbolik perasmian Karnival Mesra Belia 1Malaysia Kawasan Wangsa Maju 2014 di PPR Wangsa Sari, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/Aizzul A.Majid

Pusat aktiviti untuk belia kota

image_pdfimage_print

KUALA LUMPUR 20 April – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang membina sebuah tapak khas bagi aktiviti belia berdekatan pusat beli-belah KL Festival City di Setapak di sini yang dijangka siap pada tahun depan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pembinaan tapak seluas 1.21 hektar itu amat penting bagi membendung belia daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah.

“Apabila belia tidak mempunyai tempat untuk bersantai dan mengadakan aktiviti yang sihat, berkemungkinan mereka akan dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab supaya terlibat dengan gejala negatif.

“Pembinaan pusat itu telah dimulakan sejak dua bulan lalu oleh DBKL dan ia akan menyediakan pelbagai kemudahan seperti padang dan trek untuk rekreasi serta dewan pelbagai guna,” katanya selepas merasmikan Karnival Mesra Belia 1Malaysia Kawasan Wangsa Maju 2014 di Padang Awam Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sa’don Suraji; Pengerusi Majlis Belia Kawasan Wangsa Maju, Tee Kum Seng dan Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Wan Muhammad Ghazali Nor.

Sementara itu, Tengku Adnan memberitahu, karnival yang diadakan hari ini merupakan titik permulaan bagi warga kota medekati belia dan mengamalkan konsep wasatiyyah yang disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Inilah perkara yang kita diamalkan selama ini dan kerajaan memang ada menyediakan peruntukan bagi program-program seumpama ini supaya belia memahami konsep kesederhanaan.

“Saya berpuas hati dengan penganjuran karnival ini kerana melibatkan belia daripada pelbagai kaum dan agama sekali gus mengukuhkan lagi kesepakatan antara mereka yang bakal menerajui negara pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, Tengku Adnan turut menyampaikan tawaran unit baharu PPR tersebut kepada seorang penduduk, Ismail Mohamad, 38, selepas rumahnya musnah dalam kebakaran pada 16 April lalu.

About admin

Profile photo of admin

Leave a Reply

Skip to toolbar