Home / Minda Presiden / Ancaman Dadah Semakin Kritikal
Maliki, Presiden MBM

Ancaman Dadah Semakin Kritikal

Oleh
Mohamed Maliki Mohamed Rapiee

Maliki, Presiden MBM

Maliki, Presiden MBM

Kejadian kematian enam pengunjung konsert Antarabangsa Future Music Asia 2014 akibat penggunaan dadah secara berlebihan menjadi satu berita gempar yang menyayat hati.   Dalam situasi kita masih diselimuti kesedihan ekoran kehilangan pesawat MH370 serta kegawatan  catuan air di Lembah Kelang dan ditambah lagi dengan ancaman jerebu yang memeritkan,  tanpa semena-mena kedengaran berita kematian yang tidak diduga.   Lebih menyayat hati, tragedi  ini berlaku kepada anak-anak yang masih remaja  dan boleh dikatakan terpelajar.   Maklumat awal yang Penulis terima daripada sumber-sumber yang dipercayai menyatakan bahawa  suasana konsert bukan sahaja dipenuhi dengan penggunaan dadah, tetapi juga mengkonsumsi arak serta terdapat perlakuan bebas serta  liar dengan  para pengunjung mengenakan pakaian yang paling minima dan menjolok mata.

Banyak persoalan yang harus kita sama-sama rungkai melalui peristiwa ini.   Penulis turut menerima maklumat bahawa program konsert ini telah mendapat tajaan yang besar daripada pelbagai syarikat  sesuai dengan taraf antarabangsa yang dikatakan menampilkan artis-artis terkenal pelbagai  Negara Asia.  Pelancaran promosi program ini  dipercayai telah diadakan pada 28 september 2013 yang turut dihadiri oleh Menteri Pelancongan Malaysia.   Program ini juga dikatakan telah  dipromosikan begitu lama khasnya melalui laman-laman sosial serta pusat-pusat hiburan.   Jika dilihat jumlah pengunjung yang datang dari pelbagai Negara sehinggakan berlaku kesesakan teruk di lebuh raya berdekatan, Penulis yakin bahawa konsert ini mempunyai kuasa publisiti yang meluas .  Penulis juga amat yakin bahawa  penggunaan dadah dalam kalangan pengun jung  konsert bukan terjadi secara kebetulan jika dilihat terhadap jumlah mangsa yang mati dan yang masih kritikal.  Walaupun laporan awal menyatakan dadah ini dibeli dari luar konsert, namun pihak penganjur tetap perlu dipertanggungjawabkan kerana gagal mengekang  perlakuan liar tersebut.      Dalam masa yang sama agensi yang berkaitan samada kerajaan atau swasta (jika ada) juga harus dipertanggungjawabkan atas apa yang berlaku kerana ia turut menjejaskan imej agensi-agensi yang terbabit.

Hakikat pahit yang harus kita telan ialah kita masih gagal menangani ancaman dadah dalam masyarakat.  Kewujudan dadah sintetik yang kini dikaitkan dengan trend budaya popular khusus untuk golongan muda telah memerangkap sebahagian besar anak muda kita yang menjadikan kehidupan bebas sebagai gaya hidup.   Malah ramai anak muda kita yang memiliki kepercayaan palsu bahawa dadah seperti syabu akan dapat membantu mengawal berat badan, mengekalkan stamina untuk belajar dan bekerja sehingga lewat malam di samping percaya ia mampu bertahan untuk berhibur sepanjang malam.

Pihak PDRM sendiri telah mengakui bahawa dadah bukan ancaman biasa dalam masyarakat.  Masalah dadah makin membesar dalam Negara kita kerana sebahagian besar masyarakat masih menganggap ia isu remeh yang boleh ditangani dengan mudah.   Masih ramai yang beranggapan tugas menangani isu dadah adalah tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi  Anti  Dadah Malaysia (AADK) dan juga NGO seperti PEMADAM dan Pengasih.   Sedangkan  kita harus mengakui bahawa dadah telah  menjadi satu perniagaan yang amat menguntungkan di seluruh dunia. Malah ada yang mempercayai  bahawa  terdapat ahli-ahli perniagaan berprofil tinggi yang pandai berselindung menutupi perniagaan haram ini di sebalik perniagaan yang halal.  Mungkin ada yang kurang mempercayai bahawa harga sekilogram syabu di Malaysia sekitar RM150 ribu  akan melonjak sehingga RM2.5 juta jika Berjaya diseludup dan dipasarkan di Negara seperti Australia atau New Zealand.  Pulangan yang tinggi melalui perniagaan dadah ini menyebabkan ramai orang sanggup menjadi keldai dadah walaupun hukuman sangat berat menunggu sekiranya tertangkap dan didapati bersalah.   Melalui pulangan yang besar ini juga, para kartel dadah sanggup membuat pelaburan besar untuk membina jaringan peniaga kecil-kecilan di kawasan kejiranan, sekolah serta  kawasan industry.  Pusat-pusat hiburan dan lokasi lumba motor haram adalah tempat pertemuan dan tukar barang yang  menyebabkan bekalan begitu mudah diagih-agihkan.

Dalam suasana anak-anak muda kini yang tidak dapat lari dari tarikan gaya hidup mewah, hanya mereka yang berpegang kepada nilai-nilai agama serta moral sahaja yang akan mampu bertahan.  Kartel-kartel dadah ini telah mengambil kuasa ibubapa yang mungkin hanya mampu memberi wang saku  paling maksima sebanyak RM10 sehari. Sedangkan pihak kartel mampu menyediakan imbuhan lebih RM100 sehari bergantung kepada jumlah dadah yang mampu dijual kepada rakan-rakan sekolej atau  sejiran.  Menurut kenyataan seorang pegawai kanan PDRM yang Penulis temui minggu lalu, kes berkaitan dadah telah meningkat sebanyak  149%  bagi tahun 2013 berbanding tahun sebelumnya.

Jika benar-benar  kerajaan  menjadikan dadah sebagai musuh nombor satu Negara, maka tindakan dan strategi perlulah secara menyeluruh.  Lihat sahaja kejayaan kerajaan menangani  ancaman Komunis suatu masa dulu.    Pelbagai usaha dilakukan termasuklah menanamkan perasaan benci Komunis,  pembukaan petempatan baru,  meningkatkan keupayaan ketenteraan dan sebagainya. Justeru, penulis selaku Presiden Majlis Belia Malaysia mahu kerajaan berbuat apa sahaja untuk membanteras ancaman yang sangat menghancurkan ini.    Perang terhadap dadah perlu melibatkan semua lapisan bermula dalam lingkungan keluarga, institusi sosial, pendidikan, kerjaya dan  antarabangsa.

About admin

Leave a Reply