Home / Minda Presiden / Pemerdagangan manusia kitaran ganas perhambaan moden

Pemerdagangan manusia kitaran ganas perhambaan moden

Oleh Mohamed Maliki Mohamed Rapiee

Sebuah organisasi antarabangsa iaitu humantrafficking.org yang menjalankan kempen membanteras gejala pemerdagangan manusia di seluruh dunia melaporkan bahawa Malaysia diletakkan pada peringkat “Tier 2 Watch” atau pada aras kedua pemerhatian dalam laporan “2011 U.S Department of State’s Trafficking in Persons Report”.

Dinyatakan dalam laporan itu bahawa kerajaan Malaysia terbukti menunjukkan usaha bersungguh-sungguh membanteras pemerdagangan manusia, namun masih perlu mempertingkatkannya agar mencapai piawaian minimum ditetapkan dalam Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan Manusia negara itu.

Data terkini oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan bahawa kira-kira 2.7 juta orang, kebanyakkannya wanita dan kanak-kanak terbabit dalam kes pemerdagangan manusia di seluruh dunia setiap tahun dan ia boleh dikaitkan dengan perbuatan jenayah yang melangkaui sempadan negara yang bersifat global.

Menurut JKM lagi, di antara 2008 hingga 2010, terdapat 118 kes pemerdagangan kanak-kanak dilaporkan di Malaysia dan sebanyak 1,843 kes dilaporkan dalam tempoh yang sama di Asia.
Penulis yakin angka ini jauh lebih tinggi pada masa kini, termasuk bagi kes yang tidak dilaporkan.

Perhambaan moden
Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat menyifatkan kewujudan fenomena pemerdagangan manusia sebagai sesuatu yang menyedihkan, tetapi benar-benar berlaku dalam sejarah dunia masa kini.

Manusia dibeli dan dijual serta diseludup dalam kitaran perhambaan moden. Mereka melalui pelbagai seksaan seperti didera, dikurung, dipukul dan dibiarkan kelaparan. Seterusnya dipaksa menjadi pelacur atau melakukan kerja berat dengan upah yang murah atau  langsung tiada bayaran.

Setiap orang yang mempunyai sifat penyayang serta menghargai nilai kemanusiaan kita harus berusaha membanteras gejala pemerdagangan manusia. Ia bukan sahaja atas alasan peribadi atau tuntutan psikologi, tetapi kerana pemerdagangan manusia menjadi sumber utama kepada ancaman kesejahteraan manusia sejagat.

Ia membantu kepada pergerakan imigran yang tidak sah merentasi sempadan negara dan seterusnya menyediakan sumber pendapatan besar kepada organisasi haram seperti kumpulan penjenayah dan pengganas.

Sesungguhnya usaha membanteras pemerdagangan manusia tidak semudah kita sangkakan. Kemakmuran negara menyebabkan kebanyakan orang datang secara sukarela. Sesetengahnya sanggup bekerja dengan gaji yang rendah dan kemudahan minimum asalkan dapat keluar daripada belenggu kemiskinan di negara asal.

Situasi ini disambut dengan tangan terbuka oleh kapitalis serta majikan yang rakus dan mementingkan keuntungan. Peruntukan undang-undang yang sesetengahnya agak longgar dan mempunyai ruang untuk dimanipulasi mendorong golongan ini memperluaskan operasi haram mereka dengan pantas dan mudah.

Pelaksanaan peraturan kelulusan VOA atau ‘visa on arrival – visa pada waktu ketibaan’ oleh Jabatan Imigresen demi menggalakkan industri pelancongan satu ketika dahulu pernah menjadi senjata memakan diri apabila terlalu ramai pelancong menyalahgunakan kebenaran memasuki negara ini untuk terbabit dalam sektor pekerjaan tanpa kebenaran.

Kerjasama banteras
Tindakan pihak berkuasa tempatan meluluskan permit rumah urut dan spa kesihatan tanpa kawalan kini terbukti menjadi duri dalam daging kerana menggalakan kemasukan wanita asing untuk terbabit dalam perniagaan berkaitan seks.

Setiap hari kita dipaparkan kejadian tangkapan wanita warga warga asing berkaitan industri seks bertopengkan perniagaan spa.
Tanggungjawab membanteras pemerdagangan manusia tidak harus terpikul pada bahu kerajaan semata-mata. Pihak berkuasa memerlukan kerjasama setiap individu dan kumpulan badan bukan kerajaan untuk memantau serta menyalurkan maklumat diperlukan.

Elakkan menjadi pelanggan rumah urut atau bersekongkol dengan pekerja seks. Sebagai contoh, pemandu teksi harus berhenti menjadi tukang hantar dan jemput golongan ini.
Golongan dermawan juga harus berhenti menghulur wang kepada pengemis jalanan yang sebenarnya menjadi mangsa sindiket mengutip derma haram.

Penulis Presiden MBM
Berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM

About admin

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino