Home / Akhbar / Ganas, bukan cara kita

Ganas, bukan cara kita

BERMULA dengan perbuatan sabotaj kecil seperti mencabut dan menconteng bendera atau poster parti lawan, keganasan dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) terus memuncak dengan penggunaan bom dan membakar markas parti politik.

Tidak kurang juga kes pukul, langgar dan tetak pekerja mahupun jentera parti lawan sehinggakan kanak-kanak kecil yang memilih pihak lawan turut disepak terajang tanpa belas kasihan.

Sehingga kini, lebih 200 laporan polis dibuat mangsa-mangsa kejadian dengan susulan sekitar 50 tangkapan suspek yang dibimbangi akan mengundang tindakan balas mangsa-mangsa perbuatan sabotaj tersebut. Malangnya, pemimpin politik daripada parti terlibat dilihat menutup sebelah mata terhadap tindakan penyokong dan jentera parti mereka yang berterusan membuat provokasi, ancaman serta tindakan ganas terhadap anggota parti lawan.

Sama ada mengapi-apikan darah panas golongan muda mahupun dakwaan diupah untuk menimbulkan huru-hara, begitu nyata dan jelas tiada usaha daripada kepimpinan atas parti-parti tersebut untuk menghentikan tindakan melulu penyokong mereka.

Tidak kurang juga dalam kalangan mereka yang menganggap kejadian yang menimpa mangsa-mangsa adalah perancangan dan perbuatan oleh anggota Barisan Nasional (BN) sendiri. Jika berterusan, yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu, lebih-lebih lagi melihatkan majoriti kejadian melibatkan Melayu lawan Melayu semata-mata atas perbezaan pandangan dan ideologi politik.

Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohd. Zaidi Aziz berharap jentera parti khususnya calon-calon memainkan peranan dan menasihatkan penyokong mereka mengawal emosi dan jangan membuat provokasi kepada pihak lawan.

“Kita faham ramai dalam keadaan tidak cukup rehat, tidak cukup tidur, maka senang marah terutama apabila ada provokasi.

“Ada juga dakwaan mereka ini diupah pihak tertentu tetapi semua ini jelas sekali bukan cara kita, ini budaya luar yang diserap daripada video di internet atau mungkin diajar pihak tertentu,” katanya.

Beliau berharap orang dalam politik berhenti bertindak secara ganas sepanjang berkempen untuk PRU-13 kerana rakyat yang akan mengundi mahukan budaya harmoni dalam kehidupan mereka.

Tegasnya, tiada siapa yang mahukan huru-hara di negara ini apabila penyokong dan jentera parti tidak dapat mengawal emosi, bergaduh sesama sendiri dan bertindak di luar batasan.

“Kita bimbang jika ada senjata digunakan dalam pergaduhan, seterusnya menjadi kes jenayah apabila ada balas-membalas.

“Mereka yang menjadi mangsa perlu bersabar, laporkan kepada pihak berkuasa, biarkan polis yang menyiasat dan bertindak. Jangan keruhkan keadaan dengan membalas kerana nanti kedua-dua belah pihak masuk lokap,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan mana-mana penyokong mahupun jentera parti tiada kuasa untuk menganiaya mahupun membalas perbuatan jahat pihak lawan.

“Jika dapat tangkap, serahkan kepada polis. Jangan pula bertindak sendiri dan pukul dahulu suspek itu kerana itu juga satu jenayah, banyakkan bersabar,” katanya.

Bagi Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah pula, keganasan dalam berkempen tidak mencerminkan demokrasi sebenar sedangkan sudah berpuluh tahun negara merdeka dan 12 PRU dijalankan.

“Situasi ini tidak pernah berlaku dahulu dan membimbangkan kita rakyat biasa. Sampaikan ada pukul, bakar, bom dan sebagainya. Perlu ada kesedaran terutamanya dalam kalangan pemimpin parti politik terbabit untuk sedarkan pengikut mereka, malangnya kadangkala pemimpin itu pula sendiri yang gerakkan agenda ganas ini,” katanya.

Beliau khuatir PRU-13 akan mencatatkan sejarah pilihan raya berdarah terutamanya di kalangan orang Melayu yang akan kerugian kerana bergaduh sesama sendiri.

“Saya nampak banyak provokasi daripada pihak pembangkang, seolah-olah terdesak sangat dan tiada isu, maka digerakkan taktik provokasi. Mereka seolah-olah tidak mengawal pengikut sendiri. Jika tidak dibendung perbalahan sesama anak Melayu ini, orang Melayu akan jadi seperti Hamas dan Fatah di Palestin, sendiri rugi, orang lain pula yang untung,” ujarnya.

Azwanddin mendakwa mungkin wujudnya tali barut di belakang tabir dalam melagakan orang Melayu di kedua belah pihak, mulanya dengan menghina raja-raja Melayu dan mempermainkan kalimah Allah untuk menimbulkan ketegangan.

“Akibatnya, Melayu dengan Melayu bergaduh, mereka yang merancang itu hanya tepuk tangan. Akhirnya orang Melayu juga yang rugi. Saya lihat terlalu banyak fitnah disebarkan seperti tiada kerja lain, semuanya salah UMNO, salah BN.

“Adakah kegagalan mereka tunai janji dalam manifesto 2008 juga salah UMNO dan BN? Rakyat gunakanlah akal, benda bodoh jika BN yang bakar dan bom jentera sendiri di waktu genting menjelang PRU-13,” tegasnya.

Beliau juga menganggap fitnah serta perbuatan menyalahkan UMNO dan BN dalam semua perkara termasuk dalam kes keganasan kempen PRU-13 hanya tindakan terdesak pihak yang sedang menuju kekalahan.

About admin

Leave a Reply