Home / Minda Presiden / Ucapan Dasar Presiden MBM : Belia Dan Keamanan Sejagat

Ucapan Dasar Presiden MBM : Belia Dan Keamanan Sejagat

UCAPAN DASAR PRESIDEN MBM : BELIA DAN KEAMANAN SEJAGAT

Di Mesyuarat Perhimpunan Agung MBM kali ke-61

BISMILLLAHIRRAHMAN NUR RAHIM

Segala puji dan syukur kehadarat Allah Tuhan seluruh alam. Selawat dan salam untuk junjungan besar Nabi Muhammad pelengkap risalah kebenaran dan contoh ikutan untuk sekalian manusia.

Salam sejahtera untuk para pendokong kebenaran terdahulu daripada kita, para pendidik bangsa yang mencurah ilmu membentuk insan.Salam kebahagian untuk seluruh kepimpinan negara, kepimpinan belia dan seluruh penggerak organisasi.Semoga sentiasa berada dalam limpahan rahmat dan hidayah Allah.Salam perpaduan untuk seluruh keluarga besar pendokong gerakan kebeliaan di mana saja mereka berada, yang sentiasa ikhlas menabur bakti, yang sentiasa pantas menghulur tangan persaudaraan.

Seterusnya para perwakilan dan pemerhati yang dihormati.

1.0 PENDAHULUAN

Menelusuri tempoh dua tahun terdahulu, ia merupakan detik penting peralihan watak dan karakter kepimpinan pergerakan belia di Negara ini. Tahun-tahun tersebut dilatari dengan peralihan kepimpinan pergerakan MBM kepada generasi di bawah Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia 2007.Pastinya ia juga turut dirasai oleh seluruh organisasi belia di seluruh negara dengan peneraju –peneraju baharu.Organisasi yang berusia 64 tahun itu seolah-olah dipaksa kembali bertapak dengan paduan langkah tenaga baharu, nafas baharu, semangat baharudan pemikiran baharu. Namun sudah pasti, organisasi yang diasaskan pada tahun 1948 ini tidak ubah seperti rumah lama yang digelar antik dan unik, tetapi telah mulai kusam dan kering dindingnya. Di sebalik binaannya yang unik dan kukuh, pasti ada lantai yang rapuh atau bumbung yang roboh. Dalam tempoh itulah kita; generasi kepimpinan baru pasca Akta 668 berganding bahu memugar semula tanah yang kontang, menanam benih baru buat bekalan hari depan. Tanpa rasa lelah atau penat, kita saling menyinsing lengan mengganti papan baru, melakarkan warna-warna segar pada dinding rumah kebanggan ini. Lalu, dengan penuh yakin dan mesra, kita menghulur salam dan menjemput datang segala jiran dan teman taulan ke teratak unik penuh kemegahan.

Kami sedar, masyarakat di sekeliling memerhatikan peralihan ini dengan dengan penuh minat dan perhatian.

Alhamdulillah, segalanya kita lalui dengan jayanya. Perkara penting yang dicapai ialah membina kepercayaan masyarakat terhadap kebolehan dan kewibawaan belia serta kepimpinan baru. Kita bersama-sama mengharungi saat ini untuk bekerja serta membuktikan bahawa belia di Malaysia sebenarnya telah membuat satu keputusan yang tepat melalui penerimaan akta ini. Kita bersama berusaha menanam keyakinan masyarakat terhadap kebolehan kita, membina kehormatan diri (self respect) sebagai manusia seperti orang lain dan membina kepercayaan kepada diri sendiri (self confidence) akan kemampuan kita. Inilah yang akan dilalui oleh mana-mana generasi dalam peralihan kerana sejarah akan selamanya berulang walaupun latar waktu dan aktornya sentiasa berbeza-beza.

Begitulah resamnya dalam mana-mana proses peralihan yang bersangkutan dengan fitrah manusia. Kepimpinan adalah suatu yang murni dan bukannya satu imbuhan untuk diraih.Ia adalah amanah dan tanggungjawab bukannya kebanggaan dan kemegahan.Namun setelah kita menempuh peralihan ini secara kolektif, tiba masanya kita menentukan hala tuju dan cita-cita belia.

Pujangga Cina ada menyebutkan;

Yu shin nan jie ye dei xiang tong – Walau ketemu masalah yang sukar, tetap harus dirungkaikan dan diselesaikan”

Generasi muda dan kepimpinan belia tidak terlepas daripada memikul amanah menjadi penyelesai masalah yang dihadapi oleh masyarakat kita. Anak muda yang mampu memberi sumbangan walaupun sedikit akan sentiasa dilihat sebagai asset. Manakala anak muda yang hanya meminta-minta dan berkeluh kesah tanpa sebarang usaha pasti akan dianggap liabiliti yang merugikan. Saya masih teringat di antara intipati syarahan Yang Amat Berbahagia Tun Mahathir, Mantan Perdana Menteri yang kita sayangi sewaktu beliau menyampaikan syarahan bertajuk “Transformasi Kepimpinan Belia: Meniti Cabaran Wawasan 2020” Program Bikepada para belia di PWTC Kuala Lumpur pada tahun lalu. Dalam memberikan makna tentang peranan belia terhadap pembangunan Negara, Tun Mahathir telah mengungkapkan sebuah peribahasa Cina yang bermaksud;

“Tidak kiralah kucing itu berwarna hitam atau putih, yang penting ia mampu menangkap tikus”.

Allah di muka bumi untuk mengabdikan diri kepada Allah dan menjadi khalifah memakmurkan bumi (Surah Al-Dzariat Ayat 56).Kedua fungsi kewujudan kita ini membawa maksud dan cita-cita besar membentuk peradaban dan membina ketamadunan bangsa.Dalam kaitan ini elemen manusia mempunyai peranan terpenting dan faktor penentu kejayaan pembinaan tamadun masyarakat dalam lingkungan zamannya dan ruang lingkupnya.Di sinilah signifikan generasi mudadan kepimpinan belia dalam mendokong citi-cita besar ini.Menurut pepatah Dr Yusuf Qaradawi “hidup mestilah ada matlamat”.

 

Generasi muda adalah aset terpenting sesebuah negara.Berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM)pada 2010, statistik 12.05 juta belia mencerminkan kekuatan sesebuah negara pada masa hadapan.Keyakinan ini disuarakan oleh Prof Dr. Yusuf Al-Qaradhawi yang telah dianugerahi sebagai Tokoh Maal Hijrah 1431H/2009 Peringkat Kebangsaan bahawa;

“ yang berharga di negara Mesir bukannya kapas, minyak dan hasil bumi yang lain tetapi yang paling berharga adalah generasi mudanya”

Malah, di saat Saidina Umar ditanya apakah yang beliau inginkan? Beliau mengungkapkan;

‘”Aku menginginkan sejumlah pemuda hebat seperti Abu Ubaidah Al Jarrah, Muadz Bin Jabal dan Salim Maula Hudzaifah untuk membantuku mencapai cita-cita ini”.

Tahun ini juga merupakan tahun yang bersejarah dan perlu difahami sedalam-dalamnya oleh para generasi muda negara. Tahun ini kita meraikan ulangtahun ke– 50 pembentukan Malaysia (1963-2013). Pastinya ia bukan cuma pengulangan angka, tetapi ia mengandungi kejayaan dan komitmen pembangunan kepimpinan negara. Ia suatu sejarah bangsa dan negara yang perlu diterokai semula oleh kita sebagai asas kepada kestabilan dan kemakmuran negara. Usaha membina Negara ini bermula pada zaman pemerintahan tradisional feudal, beralih kepada zaman penjajahan demi penjajahan dan seterusnya terjerumus dalam kancah perang dan kemelesetan. Lebih getir lagi, Negara ini terbina dari serpihan konflik perkauman dan ancaman keganasan pemberontak komunis.Justeru, melalui ruang ini, MBM ingin merakamkan jutaan penghargaan dan kalungan budi buat para pembina Negara. Penghormatan yang tertinggi juga kami kalungkan buat Mendiang Datuk Temenggung Kanang Anak Langkau, lambang perwira negara yang sanggup bergadai nyawa demi Negara yang baru sahaja meninggalkan kita selamanya. Ketabahan serta keikhlasan mendiang Datuk Temenggung Kanang seharusnya menjadi inspirasi buat anak muda Malaysia agar sanggup memperjudikan nyawa demi mempertahankan Negara

2.0 Kesukarelaan dan Aktiviti Kebeliaan

Sememangnya belia telah sinonim dengan perkataan kesukarelaan.Kelompok belia dilihat golongan yang ‘adventoures’ dan punya banyak masa serta tenaga.Berbekalkan tenaga dan masa yang ada para belia terbukti telah pun menyahut segala seruan kesukarelaan ini dengan jayanya. Pada sepanjang tempoh penggal yang lalu, MBM telah menggerakkan segala usaha bagi memaparkan sumbangan golongan belia dalam pelbagai misis kesukarelaan samada dalam atau luar Negara. Hasilnya, kerajaan semakin menyedari dan mengiktiraf tenaga belia yang mampu membangunkan Negara melalui usaha kesukarelaan.Inisiatif kerajaanmemperkenalkan 1M4Umerupakan suatu usaha tepat agar anak-anak muda menjadikan aspek kesukarelaan sebagai gaya hidup dan amalan harian. Malah lebih signifikan Tahun 2013 telah diisytiharkan sebagai Tahun Kesukarelaan bagi Negara ini. Semoga inisiatif di atas mampu meningkatkan imej Malaysia yang kini berada pada ranking ke 76 berbanding 160 negara yang dikaji dari segi i) kesanggupan meluangkan masa untuk kerja kesukarelaan, ii) memberikan wang untuk orang lain, dan iii) bersedia membantu orang lain yang bukan warganegara. Kajian World Giving Index2012 oleh Charities Aid Foundationmenunjukkan masih terlalu banyak usaha perlu dilakukan untuk menjadikan kesukarelaan sebagai teras kehidupan rakyat Malaysia.Amatlah mengharukan apabila mendapati Negara-negara yang kelihatan kurang makmur berbanding Malaysia, seperti Negara Indonesia dan Filipina telah berada di tangga teratas dalam kalangan negara Asia Tenggara bagi penilaian yang sama. MBM serta badan gabungannya harus menjadikan hakikat di atas sebagai satu cabaran besar yang harus digalas bersama.

MBM melihat golongan belia di seluruh negara masih lagi aktif dalam mengerakkan kerja-kerja kesukarelaan ini dengan pelbagai kelompok penggerak dan pelbagai ragam aktiviti dan program.Namun jika ditinjau daripada jumlah sukarelawan berdaftar di negara ini ternyata kita masih jauh daripada matlamat tersebut.Namun terdapat aspek lompong di dalam mengerakkan pemahaman kesukarelaan ini sehingga yang nampak masa kini belia hanya berkerja jika ada T-shirt dan makanan.

Pergerakan belia dan aktivis belia perlu memberi makna kepada gerak kerja kesukarelaan ini.Makna dan semangat ini perlu lahir dari rasa tanggungjawab generasi muda untuk mensejahterakan dan memperbaiki diri dan masyarakat.Usaha ini umpama memberikan sinar dan cahaya di dalam kegelapan.Pastinya sinar dalam kegelapan itu menerangi diri pembawa cahaya dan juga kawasan sekitarnya.MendiangRachel Corrie, seorang wartawan dan aktivis dari Amerika Syarikat yang dibunuh oleh tentera Israel dengan menggunakan jentolak sewaktu beliau berusaha menghalang tindakan meroboh rumah-rumah penduduk Palestine pernah mencatatkan pendiriannya sewaktu hayat beliau;-

‘We’ve got to understand that they are us and we are them…… My dream can and will come true if we all look at the future and see the light that shines there”

Idealisme sebeginilah yang harus kita sematkan dalam perjuangan ini.Pengorbanan Rachel Corrie telah membuka mata sebahagian besar warga dunia bahawa isu Palestine bukanlah atas persoalan agama sebaliknya satu fenomena jenayah kemanusiaan yang tidak berpenghujung.

Sesungguhnya gerakkerja kesukarelaan ini merupakan kerja mulia dan ia adalah ubat kepada kerosakan dan masalah sosial dalam masyarakat. Usaha pemerataannya perlu disegarkan dan diperluaskan agar ia mampu menjadi budaya dalam masyarakat dan bukannya hanya aktiviti musim-musiman.

Bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton sewaktu lawatan beliau ke INTI International Universiti di Nilai Negeri Sembilan beberapa tahun yang lalu ada menyatakan;

“Évery educated person with awareness of social conditions should also devote his time, skill and even resources to solve public concerns as a private citizen

Ini menjelaskan bahawa setiap rakyat yang berpendidikan harus menyumbang masa, kemahiran dan sumbernya untuk menyelesaikan pandemik masyarakat keseluruhannya.

Justeru, program-program belia perlu disusun agar lebih dekat dengan jiwa belia agar yang diajak menghadiri aktiviti itu adalah jiwa bukan jasad semata-mata. Dalam kata lain program pengisian kita bukan sekadar meminta kehadirin sekelompok belia untuk memenuhi ruang kosong yang kaku. Cabaran masa kini adalah mengerakkan hati nurani golongan belia, memberi kefahaman keperluan penglibatan mereka dalam aktiviti kesukarelaan. Sehubungan itu juga, saya mendesak agar sekretariat 1M4U memperkemaskan perancangan program kesukarelaan dan mempertingkatkan usaha penyampaian kepada golongan sasar.

3.0 Belia dan Keamanan Sejagat

Setiap negara memiliki keunikan sendiri, demikian juga dengan Malaysia yang telah sekian lama dan terkenal dengan kemajmukan penduduk yang berbilang kaum. Menurut falsafah Ban Ki Moon, “many say our world is at a tipping point. If we do not act together, if we do not act responsibly, if we do not act now, we slipping into a cycle of poverty, degradation and despair”. Jelaslah bahawa jika tiada kesatuan dan tanggungjawab, manusia hanya akan menyumbang kepada kemunduran dan kejatuhan.

Keunikan inilah yang yang membezakan Malaysia dengan sebahagian besar Negara di luar sana yang sebahagiannya pernah melakar mercu tanda ketamadunan namun kini masih bergelut dengan pelbagai masalah yang pelbagai. Keunikan dan keistimewaan ini harus menjadi ramuan tersendiri yang membentuk gerakan belia di Malaysia seharusnya tampil sebagai sebuah model organisasi unggul dalam sebuah masyarakat majmuk. Oleh yang demikian bertitik tolak dari ini, gerakan belia seharusnya mampu mencipta contoh kemajmukan yang wujud dari pengalaman menangani realiti kepelbagaian berasaskan prinsippenerimaan tanpa syarat dan semangatberlapang dada dan berkasih sayang.Generasi muda mesti dan perlu terlibat dalam usaha meningkatkan perhubungan antara budaya, dialog budaya berasaskan tolerasi dan pemahaman antara agama.

Misi Keamanan Sejagat.

 

Dengan berpaksikan slogan belia bertindak untuk kebenaran dan keadilan, tergambar komitmen tinggi MBM bagi mempertahankan dan memperjuangan moto dan aksinya merentas sempadan geografi.Tidak kira di mana sahaja insan yang dinafikan haknya dan ditindas kehidupannya, maka menjadi tanggungjawab bagi MBM untuk bangkit bertindak memperjuangkan isu tersebut.

 

Semenjak 1948, lebih kurang 38 konflik besar melanda dunia yang sewajarnya mendapat respon masyarakat dunia tidak terkecuali MBM.Sebahagian masih berterusan sehingga kini dan sebahagian kecilnya berlaku di rantau ini.Konflik Palestin-Israel masih berlarutan semenjak 15 Mei 1948 sehingga kini namun jalan penyelesaian masih samar-samar.Ia adalah kerana kurangnya komitmen daripada negara-negara kuasa besar. Isu ‘evergreen’ seperti ini harus terus menjadi agenda utama pergerakan masyarakat sivil seperti MBM kerana ia merupakan ibu segala konflik. Jika isu ini berjaya diselesaikan, maka sebahagian besar masalah yang membelenggu dunia juga akan beres. Kesedaran masyarakat dunia semakin bertambah daripada semasa ke semasa dengan pelbagai inisiatif seperti Freedom Flotilla, Hunger for Freedom, Deir Yassin Remembered, March to Jerusalem dan lain-lain. Sebahagian besar digerakkan oleh pergerakan masyarakat sivil global.

Daripada isu ini muncul adiwira merentas agama, bangsa dan warna kulit seperti Rachel Corrie, Adam Shapiro, Katie Barlow, George Galloway, Norazman dan ramai lagi yang sebahagiannya terkorban mempertahankan hak asasi rakyat Palestin terhadap penindasan dan kekejaman Israel. MBM yang dibentuk daripada gabungan belia pelbagai latar belakang agama, kaum dan idealisme ini harus terus memperjuangkan isu ini bagi mewakili suara Belia Malaysia menyertai masyarakat dunia di pentas global.

 

Konflik Syria juga tidak kurang pentingnya di mana rakyat Syria terpaksa membayar harga yang mahal dengan kebangkitan menuntut perubahan daripada Bashar al-Assad semenjak 15 Mac 2011.Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sehingga Januari 2013 angka korban mencecah 60 000 nyawa.Paling menyedihkan nyawa 3 500 kanak-kanak yang tidak berdosa turut melayang.Ini menjadikan krisis Syria jauh lebih buruk daripada yang menimpa rakyat Palestin yang harus diberikan lebih perhatian dan dokongan masyarakat antarabangsa.Tidak harus diketepikan ialah peristiwa kematian sejumlah besar masyarakat awam Tamil Eelam di Sri Lanka, Rwanda dan Sudan ekoran konflik dalaman Negara-negara tersebut.Membiarkan konflik sebegini berterusan, bermakna kita membiarkan juga masalah tersebut berpindah ke Negara kita.

 

Menjelang Komuniti ASEAN 2015, MBM harus mengambil kesempatan untuk menjadi agen keamanan serantau bagi memastikan rantau ASEAN ini bebas dari sebarang konflik kemanusiaan.MBM harus terus menyinsing lengan memastikan konflik Selatan Thailand dan Etnik Rohingya di Arakan Myanmar ditamatkan segera sebagaimana semangat ‘orang tengah’ yang dimainkan secara berkesan oleh Kerajaan Malaysia dalam isu Mindanao melalui perjanjian damai yang ditandatangani pada Oktober yang lepas. Dalam hal ini, saya ingin menyatakan kekesalan terhadap sikap berdiam diri dan selektif Aung San Suu Kyi, penerima anugerah Nobel Keamanan Dunia yang kita sanjung dan sokong tanpa berbelah bahagi sebagai ikon demokrasi, tetapi kini mengelak untuk mengangkat nasib pelarian Rohingya dan Rakhine sedangkan ia jelas berlaku di depan mata sendiri. Timbul persoalan di benak hati ini, adakah nilai keamanan dan kemanusiaan ada perbezaannya?Dan masih wujudkan pejuang kemanusiaan tulen yang tidak terbuai oleh umpan dan desakan kuasa-kuasa lain yang berselindung di sebalik falsafah keamanan?

 

Peranan belia sebagai agen atau duta misi keamanan sejagat adalah amat penting.  Ini terilustrasi dalam Mesyuarat ke-7 Commonwealth Youth Ministers di Colombo pada April 2008, antara lain menegaskan penghakupayaan belia dalam menyumbang dalam proses ‘peace building’. Justeru mesyuarat telah memberikan mandat pada Commonwealth Youth Programme (CYP) untuk menyiapkan satu modul ‘Youth as Ambassador of Peace’ sebagai mempersiapakan belia untuk memainkan peranan yang amat signifikan ini.MBM secara langsung terlibat dalam menyemak modul ini ketika bengkel semakan modul di Tamil Nadu India pada tahun lepas.

 

Kesimpulannya, peranan belia Malaysia melalui MBM amat ‘crucial’ dalam menyumbang kepada keamanan sejagat dan sudah sampai masanya MBM menjadi ‘role player’ bagi memastikan dunia ini diwariskan kepada generasi masa depan dalam keadaan aman dan makmur.

 

4.0 Stategi Pembangunan Belia Masa Hadapan

ü Memperkukuh pendidikan kepimpinan belia

Melahirkan pemimpin yang seimbang rohani dan jasmani, duniawi dan ukrahwi, emosi dan spritual adalah tuntutan zaman.Kepimpinan belia perlu menjadikan diri mereka contoh teladan dan mempunyai prinsip perjuangan.Kekentalan prinsip ini perlu bukan cuma ditujukkan tetapi dilihat jelas oleh masyarakat.

 

Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang pemuda dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu. (20) Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayat petunjuk. (21)

 

Mari kita renungkan petikan Surah Yassin ayat 20 menyatakan 2 ciri kepimpinan yang berintegrati. Pertama, berusaha menyampaikan mesej kebenaran dan mendidik anak bangsa tanpa mengharapkan upah dan balasan.Kedua, sentiasa berusaha mendapatkan hidayah dan petunjuk agar menjadikan mereka pemimpin yang tegas dan berprinsip serta tanpa ragu dalam melaksanakan misi kepimpinan. menjaga akhlak dan ibadah untuk

 

Di sinilah pertemuan yang harmoni di antara ciri kepimpinan yang unggul yang akan membentuk ciri kepengikutan yang baik. Ciri kepengikutan digambarkan dengan watak pemuda dari hujung bandar yang mempertahankan perjuangan pemimpin yang diyakini kepimpinannya dengan bersunguh-sungguh.Semangat menjaga kerukunan organisasi dan masyarakat diserap dengan memberikan nasihat dan teguran kepada anasir-anasir yang mengugat kepimpinan.Kedua-dua ciri integriti ini menjadikan sesuatu kepimpinan itu mendapat dokongan yang tidak dijangkakan dan mengangkat keberkesanan seseuatu misi dan organisasi.

 

ü Mendidik akal budi

Ungkapan Rab’iy ibnu Amir panglima perang Islam dihadapan Rustum “Sesungguhnya Allah mengutus kami untuk membebaskan manusia dari mengabdi sesama manusia kepada mengabdi hanya kepada Allah yang Maha Esa, membebaskan manusia dari kezaliman ajaran songsang kepada keadilan Islam, dari kesempitan dunia kepada luasnya dunia”.Ia diucapkan tatkala Panglima Rustum membuat tawaran balas kepada tentera Islam dengan kesenangan dan kemewahan harta benda dan meninggalkan perjuangan mereka.Jiwa yang dilatih dengan akal budi menolak tawaran ini dengan tegas dan berprinsip.Kekentalan akal budi inilah perlu dijadikan iktibar kepada generasi muda dan kepimpinan belia menolak amalan yang merosakkan kesejahteraan masyarakat.

 

ü MBM dan pergerakan belia masa hadapan.

Menurut ROY pada 2008, Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 sebanyak 8,210 pertubuhan telah didaftarkan. Merujuk kepada status penghantaran MYKD sehingga kini, dianggarkan kira-kira 3,796 daripada 4,305 pertubuhan belia tunggal di seluruh negara berpotensi untuk dibatalkan pendaftarannya.

 

Sepenggal berlalu terlalu pantas dan kini kita kembali semula untuk memulakan penggal baru Jawatankuasa Majlis Belia Malaysia. Jika apa yang perlu kita lakukan penggal lalu untuk meneguhkan dan membina semula asas pentadbiran, membersihkan kesalahan persepsi dan kesalahfahaman tentang perjuangan asas MBM serta usaha-usaha berterusan menyatakan tujuan kita dengan jelas dan tegas, kita sekarang harus pergi melangkaui dari urusan-urusan itu dan mulakan memberikan tumpuan terhadap masalah-masalah yang timbul, dalam dan luar lingkup kacamata kebeliaan.

 

MBM akan sentiasa bersama Kerajaan dan menyokong sepenuhnya Program Transformasi yang sedang dijalankan oleh Kerajaan bagi memastikan kelangsungan pembangunan demi kesejahteraan masyarakat berbilang kaum. Ini seiringan dengan hasrat YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia di dalam perutusan yang disampaikan melalui blognya sempena tahun baru 2013 :

“Dalam menangani cabaran yang bakal mendatang untuk Tahun 2013, serta dalam rangka membina kejayaan yang berterusan, kita perlu mengambil iktibar dan pengajaran dari pengalaman yang lalu.Apa yang baik dan telah terbukti berjaya perlulah kita teruskan dan tambahbaik dengan segala kelemahan yang ada dibaiki. Sementara apa yang terbukti gagal patut ditamatkan dan diambil teladan daripadanya. Untuk meneruskan usaha bagi memastikan wawasan nasional Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi akan tercapai, kita perlu membina di atas asas yang telahpun diletakkan melalui lembayung Dasar Transformasi Nasional

 

Untuk menjadi organisasi yang kekal berterusan menjuarai perjuangan belia di negara ini, dan mengambil kira saranan yang telah diberikan oleh YAB Perdana Menteri dalam meneruskan agenda perjuangan, ada dua hal utama yang kita harus terus lakukan pada tahun ini.

 

Pertama, kita harus mengembalikan, mengekalkan dan mempromosikan idea asas kewujudan (idealisme perjuangan) MBM di dalam memperjuangkan nasib golongan belia di negara ini.

 

Kedua, memacu ke hadapan dengan inisiatif perubahan strategik yang akan mengubah cara kita melaksanakan program dan mewujudkan hubungan secara terusan dengan semua lapisan belia di negara ini.

ü Merangsang Idealisme Perjuangan

Perangsang kepada sebarang bentuk idealisme perlu berteraskan kepada realisasi kebenaran, dan dinaungi bayangan keadilan. Komitmen kita untuk memperjuangkan martabat masa depan generasi dan kedaulatan negara bangsa ke arah kegemilangan harus meliputi pencapaian objektif dan matlamat hakikinya. Untuk menjadi sebahagian daripada aset yang berharga kepada Negara, seorang belia perlu memahami sebenar-benar makna idealisme dan memenuhi tuntutan-tuntutannya.

Izinkan saya membacakan sebuah puisi nukilan Iqbal yang bertajuk, “Harapan untuk Pemuda” :

Aku harapkan pemuda inilah yang akan sanggup

membangunkan zaman yang baru

memperbaharui kekuatan iman

menjalankan pelita hidayat

menyebarkan ajaran Khatamul-anbiya’

menancapkan di tengah medan pokok

ajaran Ibrahim

 

Api ini akan hidup kembali dan membakar

jangan mengeluh jua, hai orang yang mengadu

jangan putus asa, melihat lengang kebunmu

cahaya pagi telah terhampar bersih

dan kembang-kembang telah menyebar harum narwastu

Khalifatul Ard akan diserahkan kembali ke tanganmu

 

bersedialah dari sekarang

tegaklah untuk menetapkan engkau ada

denganmulah Nur Tauhid akan disempurnakan kembali

Engkaulah minyak atar itu, meskipun masih tersimpan

dalam kuntum yang akan mekar

 

Tegaklah, dan pikullah amanat ini atas pundakmu

Hembuslah panas nafasmu di atas kebun ini

Agar harum-harum narwastu meliputi segala

Dan janganlah dipilih hidup ini bagai nyanyian ombak

hanya berbunyi ketika terhempas di pantai

 

Tetapi jadilah kamu air bah, mengubah dunia dengan amalmu

Kipaskan sayapmu di seluruh ufuk

Sinarilah zaman dengan nur imanmu

Kirimkan cahaya dengan kuat yakinmu

Patrikan segala dengan nama Muhammad”

 

Dalam tempoh sepenggal yang lalu, adalah diakui kita tidak akan mampu melonjakkan perjuangan ini terus ke puncak menara dengan drastik. Banyak usaha dihabiskan untuk menyelesaikan beberapa masalah asas yang membelenggu.Sebab itulah saya menyedari terdapat penilaian dan analisa-analisa daripada pihak luar mengatakan bahawa pertubuhan belia dan golongan belia hari ini dikatakan tidak memiliki idealisme perjuangan yang kukuh dan matlamat perjuangan yang semakin tandus. Namun ia tidaklah seburuk yang digambarkan.Saya memahami, pandangan tersebut adalah ekspresi sebilangan kepimpinan kita yang mahu melihat MBM terus maju dan menjuarai pelbagai isu di dalam dan luar Negara.Ingin saya meyakinkan semua bahawa idealisme perjuangan belia di kalangan gabungan pertubuhan belia dalam MBM masih hidup.Semangat kita tetap kuat.Hasil kerja kita secara sedar boleh dilihat dan dinilai. Cuma ia memerlukan suntikan baja yang kuat untuk terus merangsang dan menyuburkannya. Berilah kita terus peluang dan membuktikannya! Sebagai seorang pemimpin yang memilih sikap bersederhana atau wassatiah, saya sentiasa memegang kata-kata pujangga Cina iaitu;-

 

“You quan ye yao, di diao zuo ren – Walau memiliki kekuasaan tetap harus berkepribadian luhur”

 

Oleh itu, MBM akan melaksanakan beberapa inisiatif penting bagi membajai idealisme perjuangan demi mengangkat martabat perjuangan MBM agar MBM akan tetap sentiasa relevan dalam memayungi pertubuhan belia di negara ini. menurut Mother Theresa pernah mengungkap bahawa kebergantungan antara satu sama lain adalah penting untuk mengekalkan keamanan-“if we have no peace, it is because we have forgotten that we belong to each other”.Malah inilah juga yang kita sentiasa amalkan dalam organisasi ini.Apa pun jua perbezaan yang ada, atau sehebat mana pun masalah yang kita hadapi, pasti kita mampu tangani kerana semua ahli badan gabungan MBM adalah pecinta keamanan.

Inisiatif perjuangan dalam memartabatkan MBM

 

Pertama: membugarkan, menyemarakkan dan mengembalikan semangat patriotisme dan nasionalisme di kalangan belia di negara ini.

Semangat cintakan negara perlu terus dipupuk dalam kalangan generasi belia khususnya pemimpin muda supaya mereka tidak terus lupa jasa dan pengorbanan pejuang lama yang telah sanggup berkorban segala-galanya demi anak bangsa dan tanah air tercinta untuk kebahagiaan dan keselesaan mereka masa kini.Semangat tidak cintakan budaya sendiri dan tidak yakin dengan kemampuan bangsa menyebabkan mereka mudah terpesong dan mengagungkan budaya asing. Jika semangat patriotisme tidak dipupuk, lambat laun perasaan cintakan negara akan terus lenyap dan mereka suatu hari nanti akan hilang identiti dan sudah tidak tahu siapa sebenarnya diri mereka.

 

Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud dalam bukunya Pembangunan di Malaysia : Ke arah Satu Kefahaman Yang Lebih Sempurna menyedarkan kita bahawa

“Kita tidak harus bermimpi baahwa kesejahteraan, kemakmuran dan kebahagiaan dalam masyarakat dan negara dapat dicapai dan dikekalkan dengan membelakangkan pengislahan diri peribadi golongan terbanyak pemimpin dan rakyatnya. Kebaikan atau kejahatan diri perseorangan, khasnya yang memimpin setiap lembaga masyarakat dariapda sebuah keluarga sehinggalah sebuah negeri dan negara akan menentukan kebaikan atau keburukan lembaga tersebut. Rakyat yang berilmu dan berakhlak tinggi tidak akan rela dipimpin oleh pemimpin yang sentiasa mengingkari nilai-nilai unggul negara dan akhlak masing-masing.”

Kedua: meneruskan program-program kepimpinan yang holistik

MBM akan meneruskan program-program kepimpinan yang lebih holistik bagi memastikan kader-kader kepimpinan yang berkualiti sentiasa dapat dihasilkan. Program-program yang dirancang adalah dalambentuk pendidikan, latihan dan pendedahan amali kepemimpinan yang sistematik dan konsisten.

Bantuan Pentadbiran oleh Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia yang telah ditingkatkan adalah usaha bersungguh-sungguh MBM bagi tujuan pengurusan pentadbiran serta pemberian bantuan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian. Sudah pasti iajuga diharap dapat membantu penyediaan budaya kepimpinan yang baik.

Ketiga: Memperkemaskan sistem penyampaian

Memperkemaskan sistem penyampaian program pembangunan belia dan maklumat-maklumat berkaitan belia yang tersedia.Jentera dan sistem penyampaian perlu ditingkatkan dari segi struktur, sistem pelaksanaan, keupayaan tenaga manusia, ilmu pengetahuan dan kemahiran. Di samping itu, pendekatan penyampaian melalui aplikasi teknologi ICT akan diperluas akan digerakkan sepenuhnya.

Keempat: Penambahbaikkan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)

Penyelidikan dan pembangunan akan ditingkatkan di dalam pembangunan belia dengan melibatkan beberapa item kepada kejayaan pelaksanaan sesuatu aktiviti/program yang dirancang, seperti perkembangan dan keaktifan pertubuhan belia serta fungsinya, pengurangan gejala sosial, peningkatan semangat patriotisme, sumbangan belia kepada kemajuan dan ekonomi negara serta sumbangan belia kepada keamanan, ketahanan dan kesejahteraan. Sistem Key Performance Index (KPI) juga akan cuba dipraktikkan di dalam pelaksanaan program-program pembangunan belia.Kita tidak mahu berjuang hanya berdasarkan ikut rasa hati. Atau lebih malang lagi gerakan kita dipandu oleh maklumat palsu, “hear say” atau gossip yang pasti memerangkap kewibawaan sendiri.

ü Inisiatif perubahan yang strategik

 

MBM memiliki begitu banyak daya, jaringan dan sumber samada di dalam atau di luar system badan gabungannya.Ia harus dimanfaatkan dengan baik dan efisien untuk memperoleh manfaat yang maksima. Kadangkala, menebar daya dan upaya ke ruang yang terlalu luas tidak akan memberikan hasil yang begitu lumayan sedangkan memberikan penumpuan kepada arus yang lebih deras atau lubuk yang lebih dalam, hasilnya pasti lebih membanggakan.

Inisiatif perubahan perlu lebih fokus dan memberikan penumpuan kepada isu yang dapat menghasilkan perubahan yang lebih besar termasuklah menyediakan kepimpinan yang berkualiti, memperbaiki sistem penyampaian, mengembangkan modal insan secara umum termasuklah penyesuaian terhadap perubahan besar dalam sistem pendidikan, meningkatkan dana pertubuhan dan mengurangkan kebergantungan secara serius kepada dana-dana kerajaan untuk bergerak.

Perkara asas dalam memperkenalkan konsep inovasi kepada pertubuhan belia ialah penambahbaikan proses urus tadbir untuk mencapai perkhidmatan yang cemerlang melalui penambahbaikan prestasi dan pematuhan kepada keperluan-keperluan mengurustadbirkan organisasi. Kaedah pelaksanaannya termasuklah merangkumi inovasi urus tadbir, inovasi pengurusan kewangan, pengurusan perkhidmatan dan inovasi penjenamaan semula pertubuhan belia dan program-programnya.

Kita perlu menjadi pemimpin yang berjiwa besar untuk mempertahankan idealisme, mempengaruhi anggota pasukan, serta memastikan pelaksanaan dengan memiliki fikiran kreatif dan inovatif, sikap yang positif dan tindakan yang cekap dan berkesan. Soalan ini perlu ditanya kepada diri, “Adakah saya pemikir strategik dan inovatif yang berjaya untuk membawa pertubuhan saya ke hadapan?”

Ini penting dan diperlukan untuk memastikan transformasi berjalan dengan lancar dan komitmen kita terhadap pelaksanaan selaku organisasi belia terbesar di negara ini dilihat signifikan oleh semua pihak yang berkepentingan (stakeholder).

Masa depan Negara dan Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13)

Kebimbangan dan keluh kesah akan masa depan Negara pasca-PRU13 kini tidak dapat dielakkan dalam setiap pemikiran rakyat Malaysia. Kita juga menyedari bahawa kumpulan pengundi muda kini menjadi tumpuan dan penentu dalam proses demokrasi ini. Seramai 13.1 juta pengundi akan menentukan nasib Negara yang kita cintai ini. Daripada jumlah tersebut terdapat kira-kira 5.6 juta pengundi muda atau 43% yang juga sebahagiannya adalah pengundi buat pertama kali.Sebagai sebuah NGO yang berjuang untuk pembangunan belia sejak sebelum era kemerdekaan sehingga era pembangunan dan kemajuan Malaysia hari ini, MBM mengakui dan mengiktiraf bahawa kerajaan yang ada tidak pernah gagal menjalankan tanggungjawabnya dengan tulus, berkesan dan bertanggungjawab.Suara dan keperluan anak muda dipenuhi samada secara individu atau secara organisasi.

Selaku Presiden, saya menyaksikan watak dan keikhlasan kepimpinan Negara membangunkan belia Malaysia. YAB Dato Seri Najib Tun Razak telah membuktikan dirinya sebagai seorang Perdana Menteri yang dimiliki rakyat.Kesungguhan beliau bukan sekadar pada acara “ceremonial” untuk menggamit hati anak muda.Bukan sekadar melambai dan bersalam. Namun saya selaku pemimpin kerdil ini menyaksikan kesanggupan beliau berjaga malam, berjalan berbatu-batu, dan duduk beralaskan lantai dan debu demi kita Belia Malaysia! Beliau adalah pendengar yang baik dan mampu mengerakkan jentera kerajaannya turut mendengar suara belia.Paling harus kita sedari bahaw sepanjang 3 tahun lalu, peruntukan untuk pembangunan belia tidak pernah dilupakan malah semakin ditambah.Perkataan BELIA disebut berulang-ulang kali dalam dokumen rasmi Bajet Kerajaan 2013. Malah nama Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Daerah disebutkan dengan jelas oleh YAB PM buat pertama kalinya di dalam Dewan Rakyat yang mulia itu. Hal ini amat berbeza senarionya apabila saya meneliti kertas cadangan bajet Pakatan Rakyat 2013 di mana saya gagal mencari sebarang cadangan atau komitmen parti tersebut terhadap pembangunan belia sekiranya Pakatan Rakyat memerintah Negara ini. Justeru, MBM tanpa berbelah bahagi tetap menyokong agar pentadbiran Barisan Nasional dikekalkan bagi memerintah Negara dalam PRU13 yang akan datang.

MBM juga komited untuk memastikan proses pilihanraya nanti berlangsung dengan aman dan lancar. Justeru, MBM bersedia menjadi Pemantau Tempatan – local observer dengan menempatkan para sukarelawan belia untuk melaporkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan proses pilihanraya yang dijangka paling getir dan sengit ini. Hal ini adalah sangat penting bagi memastikan keesahan kuasa kepada Negara ini diterima dan sentiasa diiktiraf oleh semua pihak khususnya masyarakat antarabangsa.

 

6.0 KESIMPULAN

Akhir kata, selamat maju jaya dan selamat berjuang kepada semua.Telanlah semua kepahitan dalam perjuangan ini.Rasailah keindahan perjuangan ini walaupun hasil yang diraih masih kecil berbanding usaha yang dilakukan.Dalam menggerak masyarakat memang ada cabaran dan halangannya. Hanya dengan hati, niat serta iltizam yang tinggi maka kebenaran dan kebaikan akan terserlah. Pejuang kemanusiaan hebat masa lampau iaitu Mahatma Ghandhi pernah menyatakan;-

“First they ignore you. Then they laugh at you. Then they fight you. Then you win!”.

Dalam keghairahan kita berjuang, saya tetap menjadikan pesanan seniman Allahyarham Usman Awang sebagai peringatan melalui puisi beliau bertajuk Melayu;-

Melayu itu orang yang bijaksana

Nakalnya bersulam jenaka

Budi bahasanya tidak terkira

Kurang ajarnya tetap santun

Jika menipu pun masih bersopan

Bila mengampu bijak beralas tangan

 

Melayu itu berani jika bersalah

Kecut takut kerana benar

Janji simpan di perut

Selalu pecah di mulut

Biar mati adat

Jangan mati anak

 

Baiknya hati Melayu itu tak dibandingkan

Segala yang ada sanggup diberikan

Sehingga tercipta sebuah kiasan:

Dagang lalu nasi ditanakkan

Suami pulang lapar tak makan

Kera di hutan disusukan

Anak dipangkuan mati kebuluran

 

Jadilah bangsa yang bijaksana

Memegang tali memegang timba

Memiliki ekonomi mencipta budaya

Menjadi tuan di negara Merdeka!

 

 

Semoga kita mampu membina hari esok yang lebih baik berbanding hari ini.Selamat berjuang.Selamat bersidang.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

RUJUKAN

Azimi, H., Turiman, S. & Ezhar, T. 2002. Persatuan belia di Malaysia: perkembangan dan penyerlahan potensi. Unit Pengajian Pembangunan Belia, FPP:UPM

Ban Kin Moon. Secretary General. The United Nations. New York.

Charities Aid Foundation, World Giving Index 2012, 3rd Edition, United Kingdom

Hussain, M. 1997. Belia di Malaysia : masalah, gerakan dan masa depan. Aneka Publishing. Kuala Lumpur

Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud (2005) Pembangunan di Malaysia : Ke arah Satu Kefahaman Yang Lebih Sempurna

Abdul Ramlie Ibrahim (2012) Pengurusan Pentadbiran Kualiti Pertubuhan Belia (Majlis Perundingan Belia Negeri Sabah 2/2012)

Tun Dr Mahathir. 24 Feb 2012. Transformasi Kepimpinan Belia; Meniti Cabaran Wawasan 2020.Program Bicara Minda Bersama Tun Mahathir. Kementerian Belia Dan Sukan dan Majlis Belia Malaysia

 

Rachel Corrie. 1990. 5th Grade Press Conference on World Hunger. Rachel Corrie Foundation For Peace And Justice. Washington.

About admin

Leave a Reply