Home / Akhbar / NGO bidas Anwar burukkan negara

NGO bidas Anwar burukkan negara

malaysia-img

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membidas sikap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berterusan cuba memburukkan imej Malaysia di luar negara termasuk kenyataannya kepada sebuah akhbar di Filipina baru-baru ini bahawa demokrasi di negara ini kian terhakis.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, Anwar seperti orang yang sudah hilang pedoman dan mempunyai masalah apabila bertindak sedemikian.

“Anwar sendiri bebas di dalam dan luar negara, jadi apa alasannya mengatakan demokrasi di Malaysia kian terhakis? Kes liwatnya dibawa ke ceramah-ceramah. Semua ini menghina mahkamah tetapi tiada tindakan diambil.

“Malah pembangkang sendiri menang beberapa negeri ketika pilihan raya umum. Apakah itu tanda demokrasi terhakis? Mungkin pada Anwar demokrasi akan wujud hanya bila kes liwatnya itu digugurkan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan terbaru Anwar itu yang turut mendakwa rakyat Malaysia tidak mendapat pilihan raya yang bebas ketika Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berada di Filipina baru-baru ini.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee yang turut mengecam tindakan Anwar itu berkata, tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu merupakan pengkhianatan kepada negara.

“Beliau sendiri menikmati kedudukan tinggi di dalam politik hasil sistem demokrasi yang diamalkan Malaysia. Amat tidak wajar seorang pemimpin sepertinya berkata demikian,” katanya.

Katanya, tindakan Anwar itu telah menyebabkan rakyat Malaysia di luar negara mungkin sukar mencari rezeki kerana imej Malaysia yang telah buruk.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Datuk Seri Abdul Aziz Rahman berkata, tindakan Anwar itu menunjukkan beliau semakin terdesak kerana menyedari kedudukannya di dalam pakatan pembangkang yang sudah tidak selamat.

“Anwar cuba mengalih pandangan umum terhadap isu-isu peribadi yang dihadapinya. Namun rakyat Malaysia sedar bahawa apa yang dicapainya pada hari ini adalah kerana demokrasi yang diamalkan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu bertegas terhadap sesiapa juga yang memburukkan atau menjatuhkan imej Malaysia di luar negara termasuk menyiasat sumber kewangan yang digunakan untuk melakukan aktiviti di luar negara.

About Putri Balkis

Leave a Reply