Home / Minda Presiden / AES untuk disiplin diri

AES untuk disiplin diri

image_pdfimage_print

Oleh Mohamed Maliki Mohamed Rapiee

TAHUN 2012 sedang berlabuh ke hujung pelayarannya. Bulan Disember hampir tiba pada pertengahan putarannya, namun bagi penggiat belia, akhir tahun seperti sekarang bukan bermakna kegiatan pembangunan belia turut dikendurkan. Majlis Belia Malaysia (MBM) baru saja menjalankan program Jom Layan Orang Muda (JLOM) di Dataran Pahlawan, Bandaraya Melaka Bersejarah.

Program yang menghimpunkan orang muda dengan pelbagai acara santai serta informatif itu antara paling menarik ialah berkhatan beramai-ramai bagi kanak-kanak. Ketibaan musim cuti sekolah dan putaran kesibukan orang kita mengejar hari untuk menyelesaikan segala kerja pada hujung tahun memberikan kesan yang kadang-kadang tidak dapat dielak iaitu memandu laju.

Tuntutan tugas di lokasi yang berlainan pada waktu berdekatan menyebabkan masa dirasakan begitu terhad. Mahu tidak mahu kita akan menggunakan kenderaan sendiri kerana dapat memanfaatkan masa secara fleksibel dan berhenti di beberapa lokasi dalam sekali pemanduan. Maka, risiko yang kadangkala tidak dapat dielakkan ialah memandu laju melebihi had.

Kebetulan pula sekarang orang sedang heboh dengan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik – Automated Enforcement System (AES) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Bagi yang sudah kena saman sudah pasti berasakan dasar ini hilang sifat kemanusiaan kerana tidak lagi boleh meminta simpati atau berunding berbanding saman dikeluarkan pegawai JPJ atau PDRM di lokasi.

Penulis juga ada menerima surat saman AES kerana memandu 126km/j di lokasi had laju 110km/j. Inilah pertama kali penulis menerima surat saman siap dengan gambar hadapan dan gambar sisi kereta. Tertanya-tanya juga mengapa wajah isteri di sebelah dalam gambar tersebut dipudarkan? Mungkin juga kerana yang membuat kesalahan adalah pemandu, bukannya penumpang.

Alangkah bagusnya jika wajah penumpang hadapan tidak dipudarkan, maka orang berhasrat menipu isteri masing-masing dengan membawa teman wanita sewaktu kerja luar daerah akan berfikir dua tiga kali kerana berisiko akan dirakam oleh kamera AES dan bukti akan dihantar ke rumah tidak lama kemudian.

 

Penulis sempat membuat beberapa kajian serta tinjauan terhadap maklum balas pelaksanaan AES. Rata-rata orang yang marah adalah yang kena saman kerana memandu laju melebihi had.

Maknanya had laju tidak dikurangkan dengan pelaksanaan AES. Had laju tetap sama di sesuatu kawasan. Atau lebih tepat lagi, ia membuktikan majoriti orang kita memandu melebihi had laju pada setiap masa. Penulis sempat membaca tesis Lim Aik Kuan yang bertajuk ‘Hubungan Sikap Pengguna Dengan Keterlibatan Dalam Kemalangan Jalan Raya: Kajian Kes di Negeri Melaka’, antara lain menyatakan bahawa soal tekanan masa dan elemen inginkan cabaran serta keseronokan menjadi faktor utama pembentukan sikap pemandu yang cenderung memandu laju sebagai punca utama kemalangan jalan raya.

Walaupun kajian ini ditumpukan kepada negeri Melaka saja, namun maklumat menyeluruh berkaitan kadar kemalangan serta pelaksanaan dasar yang bersangkutan adalah berkaitan Malaysia keseluruhannya.

Fakta ini disokong oleh penulisan seorang pakar pengangkutan awam dari UKM iaitu Profesor Dr Abd Rahim Md Nor yang menyatakan bahawa penggunaan sistem pengawasan dan penguatkuasaan kamera automatik adalah satu langkah tepat dan tegas untuk menangani sikap pemandu memandu laju yang secara terang-terangan menjadi punca kemalangan maut.

Buktinya, Forum Pengangkutan Antarabangsa di Paris menunjukkan bahawa Malaysia adalah di antara tiga negara, termasuk Kemboja dan Argentina yang terus menunjukkan peningkatan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di antara tahun 2000 hingga 2009. Sedangkan 30 negara lain yang dikaji menunjukkan kadar penurunan signifikan.

Malah kadar kematian akibat kemalangan di negara kita adalah 6.3 kali lebih tinggi daripada United Kingdom. Sedar atau tidak, setiap tahun negara akan kehilangan penduduk 7,300 orang akibat kemalangan. Dengan purata kematian 20 orang sehari, maka Malaysia akan kehilangan 146,000 nyawa dalam tempoh 10 tahun antara tahun 2000 hingga 2020 akan datang.

Jumlah tersebut melebihi kematian akibat beberapa peperangan besar seperti perang Bosnia pada 1992 seramai 110,000 kematian dan hampir separuh jumlah kematian dalam perang Korea iaitu 373,599 orang pada 1950-an. Hakikatnya, jumlah kematian akibat peperangan sedemikian sering mengakibatkan pemimpin negara terbabit boleh dipersoalkan kewibawaannya dan dibawa ke muka pengadilan.

Setiap pemimpin negara akan disiasat sejauh manakah pembabitan dalam peperangan itu dan sejauh manakah mereka komited untuk mengelakkan atau mengurangkan kejadian kematian? Justeru, bagi kejadian kematian akibat kemalangan yang tinggi di Malaysia, adalah wajar kerajaan memperkenalkan pelaksanaan AES selepas banyak usaha serta cara lain dibuat, namun masih gagal membendung kematian tinggi akibat kemalangan.

Walaupun berasa gundah kerana akan hilang wang RM300 kerana saman AES bulan lalu, namun, penulis tidak mahu melenting tak tentu fasal tanpa mencari fakta dan kebenaran. Kesempatan bertemu Datuk Abdul Rahim Bakri, Timbalan Menteri Pengangkutan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) minggu lalu, penulis jadikan ruang untuk mengasak pelbagai persoalan.

Seterusnya, penulis bandingkan dengan beberapa kajian serta resolusi forum berkaitan isu ini pada peringkat kebangsaan serta antarabangsa. Hasil kajian Malaysian Institute of Road Safety atau Miros bertajuk ‘Predicting Malaysian Road Fatalities for Year 2020’ menunjukkan bahawa kadar kematian penduduk menjelang tempoh lapan tahun lagi adalah pada kadar sangat dahsyat. Ia berkadar seiring dengan peningkatan jumlah penduduk serta jumlah kenderaan persendirian yang didaftarkan. Pelaksanaan AES bukan dibuat secara tangkap muat dan tergesa-gesa. Sebenarnya kajian ke arah penggunaan AES dibuat seawal 2003 dengan membuat perbandingan kepada praktis di negara lain. Seterusnya, hasil kajian tersebut dibawa kepada perbincangan Kabinet sehingga dipersetujui agar ia dilaksanakan pada 2006.

Pada 2007, kerajaan membuat tawaran tender terbuka untuk syarikat membuat cadangan bagi membekalkan sistem serta peralatan. Mengikut rekod, terdapat sembilan syarikat membuat tawaran dan tujuh daripadanya diberikan peluang untuk membuat sesi ujian yang turut membabitkan agensi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selanjutnya pihak panel penilai menyenarai pendek kepada dua syarikat untuk dibuat pertimbangan lanjut. Bagi membolehkan pelaksanaan AES, ia telah melalui proses perdebatan di Dewan Rakyat lebih 10 kali. Hasilnya ialah pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan dan Akta Miros yang memberi laluan kepada pelaksanaan AES kepada umum.

Maknanya, dakwaan menyatakan bahawa AES dilaksanakan secara tergesa-gesa adalah pandangan dangkal orang tidak bersandarkan fakta. Apatah lagi ada pandangan nakal yang mengatakan bahawa kutipan saman AES ini dibuat tergesa-gesa kerana kerajaan terdesak mahu mengutip wang bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Kenyataan sebegini amat nakal dan dangkal tetapi amat popular dan kelihatan betul bagi pencinta politik kedai kopi dan ceramah jalanan. Dalam hal ini amatlah tepat untuk kita mewujudkan Parlimen Belia Malaysia bagi memastikan kesedaran rakyat dipertingkatkan berkenaan proses membuat undang-undang dalam Parlimen.

Sebaliknya inilah hasilnya apabila rakyat lebih tertumpu kepada aksi pertikaman lidah dan pergaduhan ahli parlimen daripada isi perdebatan itu sendiri. Situasi rumah sudah siap, pahat masih berbunyi ini sering terjadi di kala kerajaan cuba melaksanakan keputusan yang kritikal, termasuk dalam isu pelaksanaan cukai GST beberapa tahun dulu. Kini adalah masa untuk semua orang, khususnya pemandu kembali kepada sikap yang betul. Apa yang diinginkan kerajaan ialah memandu mengikut had laju ditetapkan. Berkaitan lokasi kamera AES, ia mengikut data pihak pakar seperti Miros dan PDRM. Zaman sudah berubah, teknologi makin maju. Maka sikap dan pemikiran juga mesti semakin matang dan bertamadun.
Penulis Presiden MBM berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM

http://www.hmetro.com.my/articles/AESuntukdisiplindiri/Article/

Last Updated ( Thursday, 13 December 2012 12:24 )

About admin

Profile photo of admin

Leave a Reply

Skip to toolbar