Home / Artikel / Bajet 2014: Gst Perlu Pemahaman Holistik

Bajet 2014: Gst Perlu Pemahaman Holistik

Bajet-2014Berakhir sudah pembentangan Bajet 2014 hari ini di mana kerajaan dilihat lebih bersifat mensejahterakan rakyat selepas mendapat mandat untuk memerintah negara untuk lima tahun lagi. Abaikan tindakan pihak-pihak yang berpersepsi negatif terhadap bajet kali ini kerana apapun yang baik diusahakan pasti mendapat tentangan kumpulan terbabit. Rakyat Malaysia seharusnya memberi sokongan kepada pemerintah dalam perkara-perkara makruf sesuai dengan tuntutan agama Islam. Kini kerajaan juga perlu terus fokus untuk melaksanakan ‘Aku Janji’ mereka semasa PRU13 yang lalu.
Antara fokus kerajaan dalam ‘Aku Janji’ berkenaan adalah untuk membina ekonomi mapan, dinamik dan inovatif. Ini termasuklah dengan membuat pembaharuan dalam struktur cukai sedia ada ke arah sistem percukaian yang lebih terbuka serta mengurangkan cukai individu dan korporat secara berperingkat-peringkat.
Bukan rahsia lagi bahawa kerajaan sejak tahun 90-an telah bercadang untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau Goods & Services Tax (GST) bagi menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang sedang diguna pakai kini. Walau bagaimanapun, cadangan ini senyap kerana kerajaan pada masa itu menganggap bahawa rakyat belum bersedia.
Begitu juga sekitar beberapa tahun yang lepas, kerajaan telah menguar-uarkan untuk melaksanakan GST dan undang-undang telah pun dibacakan di Parlimen kali pertama pada tahun 2009. Disebabkan cukai adalah isu sensitif kerana melibatkan ‘poket’ rakyat, maka pelaksanaannya sehingga kini masih lagi tertangguh.
Kini setelah PRU-13, cakap-cakap mengenai GST kembali muncul. Dan hari ini, menerusi Bajet 2014 kerajaan telah mengumumkan bahawa berkuatkuasa 1 April 2015, GST akan dilaksanakan. Di pihak kerajaan, menteri telah bercakap mengenai manfaatnya. Manakala di pihak pembangkang pula mula memperkatakan keburukan dan bercadang untuk menghapuskannya. Sama ada GST memberi manfaat atau keburukan, maka maklumat yang tepat haruslah disampaikan kepada rakyat.
Rakyat kini masih lagi berada dalam kesamaran tentang GST. Tidak dapat dinafikan bahawa amat kurang penerangan, kajian serta forum berkaitan GST diadakan oleh kerajaan. Ini mengakibatkan rakyat gagal memahami justifikasi pelaksanaan cukai baru ini tanpa menyedari bahawa lebih daripada 140 negara di seluruh dunia telah melaksanakan GST, termasuk jiran-jiran ASEAN kita seperti Singapura, Vietnam dan Indonesia.Ramai yang masih tidak tahu bahawa GST akan menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan sedia ada dan bukan menambah cukai sedia ada. Ramai yang masih tidak tahu bahawa pada masa kini mereka sedang membayar cukai walaupun ia tidak dipamerkan di dalam resit-resit pembelian. Masih ramai tidak mengetahui bahawa GST bakal menghapuskan cukai berganda yang mengakibatkan harga barangan menjadi lebih tinggi.

Rakyat terbanyak juga keliru dan tidak dapat membezakan antara Service Tax’ dan Service Charge. Ada juga yang keliru apakah Government Service Tax dan GST merupakan cukai yang sama sehingga berlaku ‘kekecohan’ di laman-laman sosial kerana manipulasi dan kekeliruan maklumat.
Sebelum pembentangan Bajet 2014, paling merisaukan pengguna adalah kesan pelaksanaan GST ke atas mereka sama ada ia akan menaikkan atau menurunkan harga barang. Di kala kakitangan agensi pelaksana GST diberi kursus bahawa GST bakal dilaksanakan pada kadar permulaan 4%, terdapat pula kenyataan dari menteri yang mengatakan bahawa GST pada kadar 7% bakal memberi impak positif kepada negara. Walaupun saya cenderung mempercayai bahawa beliau mengambil contoh kadar GST di Singapura, tidak dinafikan ia memberi kegusaran kepada rakyat kerana ada yang menganggap kadar itu agak tinggi sebagai permulaan. Dan kini, YAB Perdana Menteri telah pun mengumumkan bahawa GST akan berkuatkuasa 1 April 2015 iaitu kira-kira 17 bulan dari sekarang. Kadar GST yang ditetapkan adalah hanya 6% berbanding dengan kadar cukai jualan 5% dan 10% dan cukai perkhidmatan pada kadar 6%.
Oleh itu, saya menyarankan agar kerajaan melalui agensi-agensi berkenaan menggandakan usaha untuk menyalurkan maklumat kepada rakyat berkenaan GST seperti rencana, kajian, soal selidik, forum, pengalaman negara-negara yang telah melaksanakan cukai ini. Ini termasuklah manfaat-manfaatnya, kaedah cukai ini dikenakan, barangan serta perkhidmatan yang dikecualikan dari cukai dan lain-lain lagi.
Ini penting kerana rakyat perlu mempunyai maklumat yang cukup sebelum menerima sesuatu sistem. Ini diburukkan lagi dengan jentera-jentera propaganda pembangkang yang memanipulasi isu ini untuk meningkatkan populariti dengan memberi gambaran salah tentang GST.
Ini menunjukkan sebenarnya isu GST jika diuruskan dengan baik, bakal diterima dengan baik juga oleh rakyat. Ini termasuklah fakta kajian yang dipaparkan di laman sesawang GST bahawa akan berlaku purata penurunan harga barangan keperluan jika GST dilaksanakan. Sebagai langkah tambahan, kerajaan juga harus mengeluarkan harga ‘simulasi’ barangan keperluan di Malaysia jika GST dilaksanakan. Ini bakal meningkatkan kefahaman dan sokongan rakyat terhadap pelaksanaan GST.
RIZAN HASSAN
Exco Majlis Belia Malaysia
Timbalan Pengerusi J/Kuasa Tetap Pembangunan Manusia, Gejala Sosial dan Dadah MBM

About admin

Leave a Reply