Home / Kenyataan Akhbar / MBM PERJUANGAN BELIA BERKEMAHIRAN DAN KEPERLUAN TENAGA MAHIR NEGARA

MBM PERJUANGAN BELIA BERKEMAHIRAN DAN KEPERLUAN TENAGA MAHIR NEGARA

 1
Dari Kanan: Sdr Nordin Malek (Presiden GILKSB), Sdr Mohamed Maliki Mohamed Rape (Presiden MBM),                                 Mr. Sailanathan (Presiden FeMAC) dan Ms. Mary Jim (Presiden Konsortium PLK Sabah)

2 3

 

 

KENYATAAN MEDIA BERSAMA
a. Majlis Belia Malaysia (MBM)
b. Persekutuan Pusat-Pusat Bertauliah Malaysia (FEMAC)
c. Gabungan ILKS Bumiputera
d. Konsortium Penyedia Latihan Kemahiran Bumiputera Sabah
MEMARTABATKAN PEMBANGUNAN BELIA BERKEMAHIRAN  UNTUK MENGISI KEPERLUAN TENAGA MAHIR NEGARA DALAM BAJET 2014
1.0. PENDAHULUAN
1.1. Majlis Belia Malaysia dan ahli-ahli gabungan berkaitan menaruh keyakinan yang tinggi bahawa kerajaan Malaysia amat prihatin terhadap pembangunan belia terutama dari aspek ekonomi dan modal insan.
1.2. Walaubagaimana pun, berdasarkan pemerhatian, kajian dan perbincangan dengan pelbagai pihak berkaitan, cabaran belia untuk berhadapan dengan situasi ekonomi masa depan terutama menjelang tahun 2020 sangat memerlukan  satu pendekatan strategik serta perlaksanaan secara berganda oleh semua pihak serta-merta.
1.3. Beberapa langkah drastik mesti dilakukan kerajaan termasuk mempertingkatkan keupayaan dan pencapaian belia dalam bidang kemahiran supaya impak pengisiannya dapat memberikan kesan yang lebih positif terhadap ekonomi belia dan kestabilan politik serta sosial negara pada masa hadapan.
1.4. Memandangkan tempoh menuju status negara maju dan pencapaian sasaran negara berpendapatan tinggi hanya tinggal 6 tahun daripada sekarang, MBM melihat langkah drastik hendaklah dimulakan tahun hadapan dengan memberi penekanan kepada pembangunan modal insan terutama latihan kemahiran dalam Bajet 2014.
2.0. CABARAN UTAMA BELIA SEBAGAI PENGGERAK EKONOMI MENJELANG TAHUN 2020.
2.1. Dalam mengejar status negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020, kerajaan merancang untuk menyediakan 3.3 juta peluang pekerjaan dengan sasaran  40 peratus daripada jumlah tersebut adalah dalam sektor teknikal dan vokasional.
2.2. Dalam tempoh enam tahun akan datang, kerajaan sepatutnya menyediakan 300,000 pekerja mahir terlatih setiap tahun hingga tahun 2020.
2.3. Situasi  ekonomi negara dan dunia hari ini serta masa depan menjadikan cabaran kepada golongan belia untuk menjadi pekerja mahir terlatih, seterusnya mengharungi rintangan ekonomi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
3.0. ISU-ISU BIDANG KEMAHIRAN  YANG MEMBIMBANGKAN MBM
3.1. Pada masa ini, daripada 12 juta golongan pekerja di negara ini, hampir 70 peratus adalah terdiri daripada pekerja tidak mahir.
3.2. Daripada 1.2 juta pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia (Sehingga Mei 2013) hampir 80 peratus adalah pemegang Sijil Tahap 1 dan 2 (yang dikategorikan berkemahiran rendah) dengan pendapatan bawah RM 2000.00 dalam tempoh 5 tahun selepas tamat latihan.
3.3.   Lebih membimbangkan, terdapat 200,000 lepasan SPM setiap tahun yang didapati tidak menyertai mana-mana pendidikan/latihan kemahiran peringkat ’tertiary’. Jumlah ini bukan sahaja menambah bilangan pekerja tidak mahir setiap tahun tetapi mereka juga memasuki sektor pekerjaan tanpa sebarang kelayakan.
3.4. Kajian jangka sederhana oleh Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) terhadap pelan pembangunan pekerja mahir tahun 2020 yang mensasarkan 1.3 juta pekerja mahir sukar dicapai. Pelbagai kekangan yang sedang wujud menyebabkan jumlah pelatih kemahiran setahun hanyalah sekitar 50,000 orang sahaja (Tahap 1 hingga 5), sedangkan sasaran latihan sepatutnya adalah sekurang-kurangnya 300,000 orang setahun hingga tahun 2020.
3.5. Dana pembiayaan utama iaitu Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), Kementerian Sumber Manusia hanya memperolehi sekitar RM 300 juta setahun berbanding PTPTN yang mencecah hingga RM 5 billion setahun. Saiz dana PTPK yang amat kecil hanya mampu menampung keperluan sekitar 24,000 orang peminjam (Tahap 1 hingga 5).
3.6. Rata-rata pemohon PTPK adalah berlatar belakangkan keluarga yang berpendapatan bawah RM 1,000.00 dan hampir 65 peratus adalah daripada belia luar bandar serta pedalaman.
3.7. Golongan pekerja muda tidak mahir  terlatih  sudah mula merasai kesan penguatkuasaan gaji minimum apabila majikan sukar untuk mengukur tahap pencapaian kemahiran pekerja terutama melibatkan Industri Kecil Sederhana (IKS).
3.8. Krisis pekerja tidak mahir juga memberi kesan kepada kadar pendapatan diri dan keluarga (isi rumah). Malah tekanan ekonomi ini akan mula dirasai dalam masa terdekat apabila kerajaan mula mengetatkan peraturan pinjaman hutang isi rumah dalam masa terdekat yang menyukarkan golongan belia yang berpendapatan rendah untuk memiliki keperluan asas kehidupan seperti perumahan, kenderaan dan lain-lain.
4.0. KESAN ISU
4.1. Kegagalan belia menjadi pekerja mahir sudah pasti menjadikan kehidupan mereka akan tertekan kerana berada di kedudukan pendapatan rendah terutama ketika negara sudah mencapai status negara berpendapatan tinggi.
4.2. Krisis kemahiran belia akan menyumbang kepada jurang pendapatan yang sangat ketara pada masa hadapan. Tidak kurang juga dibimbangi mewujudkan masalah ‘Middle Class Income Trap’ di kalangan rakyat pada masa depan.
4.3. Dari aspek tarikan pelaburan asing akan datang, kegagalan kita membuktikan keupayaan mencapai sasaran pekerja mahir menjelang tahun 2020 turut membantutkan usaha menyediakan peluang pekerjaan kepada generasi muda akan datang. Lebih-lebih lagi menyediakan suasana ekonomi yang lebih berdaya saing di peringkat global.
4.4. Paling membimbangkan ialah kesan ekonomi yang mendalam ini turut menyumbang kepada ketidakstabilan politik dan sosial negara pada hari-hari mendatang.
5.0. SYOR DAN CADANGAN
Menyedari kepentingan isu ini dan membendung penularan masalah yang lebih besar, MBM menyeru kerajaan agar memberi perhatian serius dalam isu pekerja mahir terlatih dalam bajet 2014 seperti berikut :
5.1 Menyusun semula pelan pembangunan latihan kemahiran dan melaksanakan segera langkah-langkah strategik melibatkan ILKA dan ILKS bermula tahun 2014 hingga tahun 2020.
5.2. Menggerakkan inisiatif 3P (Private-Public Partnership) antara ILKA dan ILKS serta pihak industri untuk menggandakan pengambilan pelatih kemahiran. Namun dalam masa yang sama turut menyediakan Indek Pencapaian Prestasi (KPI) supaya semua graduan mendapat akses pekerjaan / pendapatan yang baik di peringkat ‘post’ latihan.
5.3  Meningkatkan saiz dana PTPK daripada RM 300 juta setahun pada masa ini kepada RM 1billion setahun bermula tahun hadapan dalam bajet 2014 untuk menyediakan peluang latihan kepada sekurang-kurangnya 100,000 pelatih baru di ILKS serta sebahagian peminjam di ILKA.
5.4.   Meningkatkan fungsi dana dan inisiatif berkaitan seperti Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), SLDN dan lain-lain untuk menampung keperluan sasaran 300,000 pemegang sijil kemahiran setahun, seterusnya mencapai angka sasaran 1.3 juta pekerja mahir terlatih menjelang tahun 2020.
5.5. Menyediakan insentif khas seperti pengurangan atau diskaun cukai kepada mana-mana pihak swasta  yang memberikan komitmen yang tinggi terhadap latihan kemahiran dalam Bajet 2014.
Memandangkan belia adalah enjin pembangunan ekonomi menjelang negara maju pada tahun 2020 serta penentu landskap politik dan sosial negara pada masa depan, MBM memohon kerajaan untuk memberi perhatian serius syor-syor di atas untuk dilaksanakan dalam Bajet 2014.
TERIMA KASIH
4
5
6

 

 

About Bee Zaleha

Leave a Reply