Home / Personaliti / Wan aktif bantu belia
Wan Salwati, Naib Presiden MBM

Wan aktif bantu belia

Terang dan jelas sekali setiap bait puisi itu kala Wan Salwati Abdullah cuba menggugah semangat khalayak belia menerusi karangan bapanya ketika sambutan Festival Belia Putrajaya, baru-baru ini.

Seakan-akan meluahkan rasa hatinya, wanita kental ini nyata tidak mahu sekadar menjadi pelaung semangat tapi selaku pendukung harapan sang belia negara kala diperlukan.

Pada lewat usia 30-an, hampir tiada apa yang dapat mengekang langkah ibu kepada lima cahaya mata ini dalam membantu meningkatkan lagi taraf hidup golongan belia malah makin bertenaga meneruskan usaha sedia ada.

Melihatkan pencapaiannya selaku Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan merangkap Naib Presiden ­Majlis Belia Malaysia ini, sama sekali tidak terlintas di fikiran penulis wanita ceria ini pernah berdepan saat getir dalam hidupnya.
Menyewa di rumah kecil satu bilik dengan berkongsi tilam bersama suami dan tiga anak yang ketika itu masih kecil selain perniagaan tadika yang merosot hingga memaksanya menutup pusat terbabit, di samping beberapa siri kegagalan dalam perniagaan, nyata mengubah perspektifnya pada dunia sekeliling.
“Saya tidak rasakan semua itu satu kegagalan dalam hidup. Bagi saya, apa yang dialami itu adalah pengajaran hidup paling berharga yang banyak membentuk diri saya hari ini.

“Saya sudah alami keperitan dalam hidup dan kini dengan apa yang ada pada saya akan digunakan sebaiknya untuk membantu yang lain,” katanya yang lebih senang disapa dengan panggilan Wan.

Tambah penerima Anugerah Tokoh Belia Wanita Negeri Sembilan ini, setiap yang berlaku ada rahmatnya dan setiap pengalaman yang dilaluinya bersama keluarga merapatkan lagi hubungan mereka.

Sememangnya sejak kecil Wan didedahkan dengan aktiviti kemasyarakatan oleh bapa dan ibunya.

“Bapa dan arwah ibu saya seorang aktivis yang terbabit dengan kerja sukarelawan, begitu juga arwah datuk. Mereka pasti membawa saya ke mana pun mereka pergi.

“Saya lihat apa yang mereka lakukan banyak memberi impak positif kepada masyarakat dan dari situ timbul minat untuk turut aktif.

“Saya sentiasa berpegang kepada pesanan bapa bahawa kadangkala rezeki yang kita ada hari ini sebenarnya bukan 100 peratus kepunyaan kita, jadi kita perlu berkongsi sedaya mungkin.

“Benar, apabila kita saling membantu, ia kepuasan yang tidak dapat dinyatakan ­dengan kata-kata,” ujarnya.

Usai memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Wan banyak terbabit dalam kegiatan golongan muda sekitar Seremban, Negeri Sembilan.

“Saya mula bekerja di bidang pengkeranian di Kesatuan Pekerja-Pekerja Negeri Sembilan sebelum menyertai Biro Tatanegara (BTN). Dari situ saya mula belajar dan memahami apa itu politik hinggalah mencetuskan minat untuk mendalaminya.

“Tapi minat ketika itu sekadar ingin memenuhi sifat ingin tahu dan tidaklah sampai mahu serius dalam bidang itu,” katanya.

Wan meneruskan aktivitinya di BTN, di samping menjadi guru sandaran di Perak. Pada masa sama, Wan sempat mengikuti beberapa kursus kepemimpinan yang dianjurkan sekitar Negeri Sembilan.

Nyata jiwa belianya mendorong Wan melanjutkan pengajian diploma dalam jurusan belia dan pembangunan iaitu satu-satunya program inisiatif berkembar antara Universiti Putra Malaysia dan Kesatuan Komanwel.

“Saya cuma berpeluang untuk menyambung pelajaran di peringkat diploma selepas berkahwin atas dorongan suami yang juga melanjutkan pelajarannya di peringkat sarjana.

“Bagi saya, untuk memimpin dan membimbing generasi muda ini, kita perlu lengkapkan diri dengan ilmu dan bukan semata-mata bergantung kepada pengalaman.

“Saya bersyukur kerana berpeluang melakukan apa yang saya inginkan dan saya kini mahu berkongsi pengalaman dan ilmu ­dengan generasi muda.

“Saya mahu tekankan kepada belia apa jua kesukaran yang mereka hadapi pasti lambat-laun membuahkan hasil lumayan jika berusaha keras memperbaikinya.

“Saya harap dengan apa yang saya dan pasukan lakukan ini dapat membantu meningkatkan lagi golongan belia cemerlang yang kelak memimpin negara,” katanya.

PUISI:

Belia belia belia
pernah kau dengar
pernah kau sebut kata
merdeka merdeka bukan
untuk berpeluk
tubuh dan meminta-minta
tapi merdeka menyahut
suara meminta tenaga
untuk negara
bersatu belajar bekerja
dan berkhidmat
bersatu belajar bekerja
dan berkhidmat
alunannya menyerumu menunaikan amanah.

– Dikau Harapan Bangsa, Abdullah Awang Embun

Last Updated ( Friday, 21 June 2013 08:08 )

About admin

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino