Home / Artikel / Belia perlu jadi benteng kukuh kekal keamanan

Belia perlu jadi benteng kukuh kekal keamanan

Hari ini adalah kemuncak Perayaan Hari Belia Negara 2013 yang disambut sejak 15 Mei lalu. Sekali lagi Putrajaya menjadi tumpuan belia dari seluruh negara sejak Festival Belia Putrajaya 2013 bermula kelmarin. Majlis pelancaran festival itu akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, malam ini. Perdana Menteri juga akan menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara 2013 sebagai menghargai sumbangan generasi muda kepada negara. Festival Belia Putrajaya 2013 yang dijenama semula daripada Himpunan Jutaan Belia itu dijangka menarik kunjungan lebih dua juta belia dari seluruh negara. Ia berkonsepkan pembangunan potensi diri, melestari kreativiti dan inovatif, memartabat perpaduan dan jati diri serta membabitkan 40 segmen dan 500 acara yang memberi fokus kepada aktiviti pendidikan, kerohanian, kemahiran, kesenian, bakat, interaksi dan sukarelawan. Himpunan di Putrajaya itu adalah petanda jelas bahawa generasi belia negara bakal memainkan peranan sebagai pemangkin dan pendukung kepada program transformasi kerajaan. Ia juga bukti kerajaan menghargai peranan dan sumbangan kira-kira 12 juta belia kepada pembangunan negara pada masa ini dan akan datang. Malah, konsep Festival Belia Putrajaya 2013 itu sendiri membuktikan denyut nadi generasi muda sentiasa dirasai pemimpin negara.

Justeru, menjadi tanggungjawab belia negara memanfaatkan program disediakan dan peluang yang diberikan kerajaan untuk memajukan diri masing-masing dan menjadi modal insan cemerlang untuk menjayakan Wawasan 2020. Belia Malaysia amat bertuah kerana kepentingan mereka sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan yang menyediakan pelbagai bantuan dan insentif untuk melahirkan generasi masa depan yang gemilang. Sebagai pemimpin masa depan, belia Malaysia perlu bersama kerajaan menjayakan pelbagai program transformasi untuk kemajuan dan kemakmuran negara. Mereka mestilah memantapkan semangat cintakan negara dan berusaha menjadi warga negara yang berguna. Generasi belia juga perlu memurnikan jiwa dan pemikiran supaya tidak mudah dipengaruhi anasir yang hanya akan memudaratkan masa depan rakyat dan negara. Ketika ada pihak yang cuba menghasut orang ramai mencetuskan kekacauan untuk menjatuhkan kerajaan dipilih rakyat, generasi belia perlu menjadi benteng kukuh mempertahankan kedaulatan undang-undang dan ketenteraman awam. Sesungguhnya masa depan rakyat dan negara ini bergantung kepada generasi belia yang berfikiran rasional, bersemangat waja dan berjiwa patriotik yang sanggup berkorban demi kesejahteraan bersama.

About admin

Leave a Reply