Home / Artikel / Belia, Suara Masa Depan Negara

Belia, Suara Masa Depan Negara

image_pdfimage_print

oleh Yasmin Ahmad Zukiman dan Siti Fatimah Ahmad

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) — ‘Jika kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini’, kata-kata itu menjelaskan betapa pentingnya generasi muda atau belia bagi sesebuah negara.

Ia mencerminkan betapa belia adalah aset penting yang perlu digembleng sebaiknya kerana mereka mempunyai aura dan kuasa yang mampu menentukan jatuh bangun dan letak duduk pembangunan sesebuah negara termasuk Malaysia.

Persoalannya bersediakah permata negara ini untuk mengharungi cabaran yang diamanahkan?

Ini kerana belia hari ini dilihat lebih tertarik dan cenderung melibatkan diri dalam perkara yang lebih ringan dan santai berbanding dengan isu nasional dan kenegaraan.

Peranan dan tanggungjawab mendidik serta membimbing belia juga tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu kerajaan semata-mata namun pelbagai pihak perlu memainkan peranan dalam memastikan belia menjadi permata bukan kaca negara.

Untuk itu persatuan belia dan kegiatan belia juga wajar diperkasakan lagi bagi membantu kerajaan membentuk pemimpin pelapis negara pada masa hadapan, kata Presidennya Mohamed Maliki Mohamed Rapiee kepada Bernama.

PERANAN MAJLIS BELIA MALAYSIA

Majlis Belia Malaysia (MBM) yang ditubuhkan secara rasmi pada 1950 adalah badan induk yang bertanggungjawab menyelaras pertubuhan belia dan pelajar di negara ini serta berperanan dalam melengkapkan diri belia menjadi warga negara yang matang, kreatif, proaktif dan bertanggungjawab.

Peranan itu juga sentiasa diteliti dan diperluas mengikut keperluan semasa bagi memastikan belia negara ini berupaya memimpin, berkebolehan serta mengembangkan potensi diri kepada tahap sepatutnya, kata Mohamed Maliki.

Dalam usaha membangunkan belia negara ini, beliau berkata pelbagai program perlu disusun merangkumi sukan, kebudayaan, keilmuan, ekonomi, sosial dan politik.

Program kesukarelawanan adalah antara aktiviti yang sering dititikberatkan MBM kerana melaluinya belia dapat memupuk nilai positif seperti menjalin kasih sayang, kerjasama, prihatin, semangat patriotisme, nilai-nilai kemanusiaan serta menjana modal insan.

BELIA DAN AKTIVI KESUKARELAWAN

“Kita tahu kerja-kerja amal (sukarela) biasanya tidak dibayar dan hanya memerlukan tenaga dan masa namun ia adalah amalan murni yang perlu diterap dalam diri generasi muda untuk menjadikan mereka lebih bertanggungjawab,” katanya.

Belia yang menjadi sukarelawan boleh dianggap sebagai aset negara kerana ia sangat membantu dalam mengurangkan beban dan perbelanjaan negara dalam hal-hal berkaitan.

Mengambil contoh program ‘1Malaysia For Youth’ (IM4U) yang diilham dan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lepas, Mohamed Maliki berkata ia adalah inisiatif baik untuk menggalakkan pembabitan generasi muda dalam aktiviti kesukarelawanan secara meluas.

“Belia adalah golongan yang mempunyai idealisme tinggi dan segar, semangat juang yang tidak mudah menyerah, semangat aktivisme yang menggunung selain tahap intelektual yang sentiasa meningkat.

“Jadi IM4U adalah platform terbaik yang disediakan kerajaan dalam usaha memanfaatkan kelebihan yang ada pada belia sementara masih pada usia muda ini dengan menggalakkan mereka untuk mencurah bakti dan berjasa kepada masyarakat,” katanya.

CABARAN MENJALANKAN USAHA MURNI

Mengulas perbezaan aktiviti sukarela yang dijalankan di Malaysia dan di negara lain seperti Amerika dan Britain, Mohamed Maliki berkata di negara ini, aktiviti itu lebih dilihat dan ‘dicop’ sebagai untuk mengisi masa lapang semata-mata.

Malah, katanya, kesukarelawanan ini masih belum diangkat menjadi perkara asas dan penting yang perlu ditangani secara bersungguh-sungguh, sistematik dan konsisten oleh belia negara ini sendiri.

“Berbeza dengan beberapa negara maju, yang mana kerja sukarela telah lama menjadi sebahagian daripada perkara wajib yang dijalankan warganya khususnya belia, malah ada yang menjadikannya sebagai kerjaya.

“Bagaimanapun di Malaysia banyak pihak beranggapan kesukarelawanan sebagai sesuatu yang implisit atau hanya menjadi tanggungjawab kepada kerja dan pertubuhan belia sahaja, justeru tidak perlu dirisaukan,” katanya.

Keterlibatan belia di dalam aktiviti kesukarelawanan di negara ini juga agak terbatas apabila masih terdapat segelintir pihak yang memandang serong terhadapnya.

MEMPERKASA KESUKARELAWANAN

“Kebanyakan belia jika diberi pilihan antara kerja hakiki yakni kerja untuk cari makan dengan kerja sukarela pula sudah pastinya mereka akan mengutamakan kerja hakiki kerana kurangnya advokasi daripada pihak majikan ke arah itu.

“Yang menyedihkan ada majikan tidak kira dalam sektor swasta atau kerajaan yang berpendapat dengan memberi perlepasan kepada kakitangan untuk menyertai aktiviti sukarela, perjalanan operasi syarikat akan tergendala serta menjejaskan prestasi dan keuntungan organisasi,” katanya.

Kekangan itu menyebabkan belia yang berkerjaya terpaksa menumpukan perhatian kepada hal perancangan dan pelaksanaan di tempat kerja masing-masing yang seterusnya merencatkan pembahagian masa dan tenaga mereka kepada aktiviti kesukarelawanan.

Untuk itu beliau mencadangkan selain program ad hoc kesukarelawan di peringkat nasional, usaha ke arah mengkaji semula polisi di tempat kerja perlu bagi mewujudkan majikan benar-benar memahami dan turut sama komited terhadap agenda kesukarelawanan dan pembangunan belia.

Ia juga tidak memadai dengan hanya menubuhkan persatuan semata-mata, perlu ada strategi atau agenda yang mantap, keazaman politik dan tindakan konkrit untuk membangun dan menyerlahkan potensi kesukarelawanan dalam belia, tegas beliau.

MEMPROMOSI AKTIVITI KESUKARELAWAN

Mohamed Maliki berkata, pelbagai pihak juga perlu mengambil langkah menang-menang dalam usaha memperkasa aktiviti kesukarelawanan di negara ini.

“Contohnya satu mekanisme perlu atau boleh diwujudkan bagi menggalakkan pihak majikan membenarkan pekerja menjalani aktiviti sukarela seperti mengadakan tawaran pengurangan cukai, pemberian insentif atau memberi diskaun bagi pembelian bekalan bahan mentah syarikat,” ujarnya.

Di peringkat komuniti pula, cabaran utama yang dihadapi untuk mempromosi aktiviti sukarela adalah apabila wujudnya rasa keakuan dalam diri individu, kurangnya komunikasi asas antara satu sama lain, serta sikap tidak ambil peduli keadaan sekeliling.

“Interaksi adalah asas sebelum bermulanya semangat bekerjasama dalam menjalankan sesuatu aktiviti yang memerlukan penglibatan komuniti, maka ketua masyarakat, pihak berkuasa tempatan, organisasi kesukarelawanan disaran untuk menganjurkan aktiviti berasaskan ‘common interest’ misalnya bergotong-royong,” katanya.

Mohamed Maliki berkata pendekatan yang lebih santai juga amat penting bagi mendekati golongan belia masa kini kerana mereka menganggap paksaan dan mandatori bukan lagi sebahagian gaya hidup yang berkesan.

PERANAN MEDIA DALAM PEMBANGUNAN BELIA

Menyedari media juga memainkan peranan besar dalam pembangunan belia, Mohamed Maliki menyarankan pihak tersebut agar tidak hanya mengaitkan belia dengan gejala sosial kerana banyak lagi kisah mereka yang boleh dicontohi belia lain.

Mengambil contoh berita seorang pelajar sekolah, yang sanggup mengejar sebuah kenderaan yang dipandu oleh rakyat Singapura bagi memulangkan semula begnya yang tercicir dan berisi sejumlah wang, Maliki berkata kisah positif seperti itu dapat mendidik belia untuk turut sama melakukan kebaikan kepada masyarakat tanpa mengharapkan balasan.

Penyebaran budaya negatif dari barat yang pada hakikatnya datang daripada media sama ada media massa atau media elektronik juga jika tidak dibendung boleh mempengaruhi pembangunan sahsiah belia.

“Walaupun membuat penilaian baik buruk sesuatu perkara itu bergantung kepada diri belia itu sendiri namun pengaruh media sangat penting dalam membantu belia untuk hanya mengadaptasi pengaruh positif daripada setiap apa yang disebarkan media,” katanya.

SAMBUTAN HARI BELIA

Sambutan Hari Belia Negara adalah suatu hari yang ditunggu-tunggu khususnya oleh para belia yang cenderung kepada aktiviti secara beramai-ramai.

Setiap kali sambutan Hari Belia diadakan, tidak kira di mana sekalipun pasti lokasinya akan dibanjiri oleh ratusan ribu anak muda Malaysia, malah Mohamed Maliki berkata sambutan pada 2012 mencipta rekod tersendiri dengan kehadiran dua juta belia sepanjang lima hari sambutannya dan menjadi antara sambutan untuk belia yang terbesar dunia.

MBM turut menjangkakan situasi yang sama berlaku pada sambutan tahun ini yang bakal berlangsung dari 23 hingga 27 Mei, 2013 di Putrajaya.

“Bagi memastikan sambutan Hari Belia Negara berlangsung dengan penuh meriah dan pihak MBM telah menetapkan hari tersebut disambut dengan tema ‘Festival’ seiring dengan kehendak belia yang gemarkan acara berkonsep santai,” katanya.

Pada tahun ini segmen asal seperti keagamaan, kebudayaan, dan kemahiran akan tetap dikekalkan di samping pengisian baru yang dibuka kepada para pelajar sekolah vokasional di seluruh Malaysia.

Pada sambutan itu, MBM dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan serta Perbadanan Putrajaya akan menganjurkan pertandingan ‘My Mega Mind’ yang memfokuskan kepada kreativiti pelajar dalam merekabentuk ‘Bandar Mesra Belia’. Last Updated ( Monday, 13 May 2013 22:51 )

About admin

Profile photo of admin

Leave a Reply

Skip to toolbar