Home / Artikel / Perkasa belia langkah tepat perkukuh negara

Perkasa belia langkah tepat perkukuh negara

Kepemimpinan belia adalah kepemimpinan negara pada masa depan. Citra negara pada masa akan datang, terpapar pada generasi belia hari ini. Mempersiapkan kepemimpinan belia bermakna mempersiapkan kepemimpinan negara.

Pemimpin, aktivis dan penggerak pertubuhan belia akan berkumpul di Hotel Summit, Subang USJ pada Jumaat hingga Ahad ini bagi menghadiri Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan, Majlis Belia Malaysia ke-61. Mesyuarat kali ini akan menyaksikan perwakilan memilih barisan kepemimpinan belia bagi tempoh dua tahun akan datang.

Tempoh itu amat rencam apabila kita semakin menghampiri garisan penamat bagi menghambat status negara maju pada 2020. Ditambah dengan suasana politik yang tidak menentu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Bersedia hadapi cabaran

Berdasarkan suasana yang sedemikian, maka 2013 ini adalah tahun pemilihan kepemimpinan pada pelbagai peringkat. Dimulakan pada peringkat belia yang mengisyaratkan kepemimpinan belia harus bersedia berhadapan dengan segala cabaran, yang perlu diredah bersama kekuatan hikmah, bagi memastikan fokus dan pacuan ke arah gerbang negara maju tidak terganggu.

Kepemimpinan belia perlu bersifat transformatif. Ia perlu mampu mengubah dan berubah.

Namun ia perlu terikat dengan nilai yang mulia dan mempunyai makna yang signifikan terhadap pembaikan ummah. Berubah bukan kerana kita adalah generasi baru tetapi berubah kerana misi yang kita dukung, nilai yang kita perjuangkan dan keperluan perubahan. Seorang pemimpin perlu mampu berinteraksi dengan persekitaran bagi mengumpul maklum balas, kecenderungan serta kemahuan generasi bagi memetakan hala tuju perjuangan. Kecekapan analisis persekitaran dipamerkan oleh pemimpin besar dunia seperti Winston Churchill, Mahatma Gandhi, Abraham Lincoln dan Hassan al-Banna yang membaca persekitaran dan berjaya mengubah cabaran dan halangan kepada kesempatan.
Apabila diteliti semangat transformatif manusia lewat al-Quran, kita akan dapati perubahan total dan tulen perlu berlaku pada segenap peringkat, makro dan mikro, bagi menjamin kelangsungan misi perjuangan. Maka perubahan mestilah bermula dengan individu pemimpin itu sendiri. Pemimpin belia mesti memahami misi perjuangan dengan jelas.

Kefahaman ini memerlukan pembudayaan ilmu yang mengakar dalam setiap batang tubuh pemimpin belia. Perubahan bukan sebuah lakonan. Ia mesti ‘real’ datang daripada hati dan pemikiran.

Setelah itu, setiap pemimpin belia perlu bersiap dengan kekuatan untuk berinteraksi dengan berkesan. Idea perlu disampaikan, mesej perlu terjelma dengan betul dan hasrat perlu digarap agar impian kepada perubahan dapat dikongsi bersama.

Oleh itu paduan ‘pemimpin-pemikir’ seharusnya menjadi adunan kepada pemimpin belia. Pemimpin yang mampu memberikan pengarahan dan strategi yang diyakini berkesan oleh pengikut dan pemikir yang mampu mencanai idea serta menganggapi persoalan dengan berkesan.

Selain itu, seorang pemimpin perlu mempunyai sikap yang betul. Tidak mementingkan diri, mengutamakan perjuangan dan hidup dalam suasana pengorbanan yang tinggi. Belia di Malaysia ini khususnya memerlukan pemimpin yang mengendong segala impian dengan penuh rasa tanggungjawab.

Contohi Saidina Umar

Sesungguhnya amanah kepemimpinan ini amat berat untuk dipikul. Ia terpamer dalam reaksi Saidina Umar ra yang menyatakan memadai hanya seorang keluarga Umar yang merasai kepedihan api neraka, apabila anaknya, Abdullah, dicalonkan sebagai penggantinya.

Amat malang bagi generasi belia di Malaysia nanti jika mempunyai pemimpin yang menjadikan platform MBM ini, semata-mata sebagai batu loncatan, untuk bergelar ‘Yang Berhormat’ dan seterusnya mendapat kedudukan yang lebih baik di persada politik negara. Jangan biarkan wadah belia ini menjadi tunggangan pihak tertentu yang berkepentingan cangkat demi survival politik peribadi.

Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia

About admin

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino