Home / Minda Presiden / Tiba masa tuntut hak

Tiba masa tuntut hak

maliki_mpat61leh Mohamed Maliki Mohamed Rapiee

PENGUMUMAN kelewatan penerbangan pesawat pada malam minggu dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur mengundang rasa gelisah keseluruhan penumpang, termasuk penulis di ruang menunggu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Ada penumpang yang pasrah kerana sedar akan ketinggalan penerbangan seterusnya. Paling menyakitkan hati, pengumuman kelewatan ini hanya dimaklumkan tidak sampai tiga puluh minit daripada jadual sebenar. Sudah pasti hal sebegini akan merencat perasaan sebilangan besar penumpang yang mahu memenuhi percutian sempena cuti umum Hari Keputeraan KDYMM Sultan Kelantan dan juga cuti persekolahan.

Mujurlah ada kemudahan kerusi urut berbayar di ruang menunggu. Pastinya tauke kerusi urut akan tersenyum lebar kerana kebanyakan penumpang rela kehilangan beberapa keping nota satu ringgit di kerusi urut demi mengusir rasa bosan dan sakit hati yang mencengkam.

Rakan baru di sebelah kerusi urut sempat mempersoalkan adakah pihak pengendali pesawat mampu mengganti masa yang hilang dan membayar ganti rugi sama ada berbentuk kos, kehilangan tenaga, keletihan dan tekanan penumpang berikutan penangguhan mendadak seperti ini? Ironinya, pihak penumpang pasti akan mendapat hukuman ‘kad merah’ dan terlepas penerbangan sekiranya terlewat walaupun dengan sedikit waktu.

Penulis bersama seorang rakan pernah mengalami situasi tidak dibenarkan memasuki pesawat dengan alasan laluan sudah ditutup. Walaupun pesawat masih jelas tidak bergerak di depan mata rayuan kami tidak dilayan. Memandangkan kami perlu menghadiri mesyuarat penting di negara jiran, maka kami bergegas ke terminal utama untuk membeli tiket penerbangan nasional lain.

Namun amatlah menjengkelkan kerana sewaktu kami sedang beratur membeli tiket di terminal utama (selepas mengambil masa agak lama membuat pengesahan imigresen, pembatalan penerbangan yang pertama dan mendapatkan teksi ke terminal lain), kami mendapat pesanan SMS daripada rakan yang terlebih awal berada di dalam pesawat menyatakan bahawa pesawat masih belum berlepas! Cubalah pembaca bayangkan betapa banyaknya masa dan wang dibazirkan hanya kerana tiada sifat kompromi dalam perniagaan.

 

Penulis yakin senario seumpama di atas turut dirasai sebilangan besar pengguna lain. Lazimnya, masyarakat kita lebih gemar dan cenderung mendiamkan diri walaupun hati dan perasaan berasa perit dengan ketidakadilan yang berlaku. Sikap tidak banyak soal dan kurang periksa pengguna kita banyak memakan diri dan membabitkan mereka kepada situasi yang amat merugikan.

Kebanyakan pengguna masih mengamalkan sikap percaya kepada kepetahan jurujual dan wakil pemasaran produk. Dengan wajah cantik serta menawan, ditambah pula dengan gaya kemas dan menarik pasti sebahagian jurujual mampu menambat hati pengguna yang sebenarnya malas untuk berfikir panjang. Orang kita memang terbukti mudah percaya kepada individu yang memiliki perawakan kemas, memakai pakaian dan aksesori mahal serta kenderaan mewah. Lihat saja peristiwa rompakan senjata oleh kumpulan pelampau di sebuah kem tentera beberapa tahun dulu. Bekas seorang anggota tentera berpangkat rendah mampu menipu keseluruhan anggota keselamatan dalam sebuah kem hanya dengan membuat penyamaran sebagai pegawai tentera berpangkat tinggi yang kononnya ingin membuat pemeriksaan senjata secara mengejut.

Kaedah yang sama juga dilakukan jurujual palsu yang memasuki premis pada waktu pejabat dengan menyasarkan penghuni warga emas. Mereka akan memeriksa peralatan dapur dan mendakwa terdapat kebocoran hos penyambung tong gas ke dapur memasak. Sudahnya, warga emas ini kehilangan ratusan, malah ribuan ringgit hasil transaksi berasaskan rasa takut dan panik.

Jurujual penipu seperti ini begitu bijak mencampur aduk fakta dan auta sehingga kelihatan amat meyakinkan dan profesional. Beberapa hari lalu, penulis sempat meneliti ruang sembang dalam facebook berkaitan sejenis produk yang sebenarnya disahkan mengandungi racun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Malah, produk yang didakwa mampu menurunkan berat badan dan mujarab sebagai ubat pelangsing badan ini tidak pernah didaftarkan di bawah KKM. Malangnya, pengguna yang seterusnya menjadi peniaga melalui sistem jualan langsung (MLM) masih bermati-matian mendakwa produk ini amat mujarab dan menyatakan KKM bersifat jahat dalam membuat keputusan.

Walaupun terdapat beberapa orang ahli farmasi dan doktor perubatan yang cuba menerangkan fakta sebenar tetapi pengguna juga penjual yang kelabu mata dengan keuntungan tetap menegakkan benang yang basah. Perkembangan perniagaan dalam talian juga memerlukan perhatian dalam masyarakat kita. Paparan laman web interaktif yang menarik dengan gambar serta pengakuan pengguna tertentu belum menjanjikan satu transaksi menguntungkan.

Terdapat banyak kekeliruan dan ketidaktelusan dalam perniagaan dalam talian. Terdapat banyak aduan berkaitan barang yang tidak memenuhi kualiti sebagaimana dijanjikan. Penghantaran lewat dan tiada jaminan perkhidmatan selepas jualan. Akhirnya, urus niaga yang sepatutnya menjimatkan sebenarnya menjadi beban berpanjangan. Lebih buruk lagi pihak penjual bersifat lepas tangan dan menutup laman web terbabit selepas mengaut untung yang banyak melalui penipuan. Kita harus memuji inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang dengan pantas melancarkan beberapa dokumen penerangan dalam amalan perniagaan seperti garis panduan pelaksanaan tebus rugi pengguna dan garis panduan mengelakkan iklan palsu atau mengelirukan baru-baru ini.

Menyedari pengguna muda dan belia adalah golongan sering menjadi mangsa ketidakadilan dalam kepenggunaan, maka Majlis Belia Malaysia (MBM) sedang membuat perancangan rapi untuk membantu pihak KPDNKK agar maklumat seperti di atas dapat menembusi golongan belia secara menyeluruh.

Di antara strategi MBM ialah dengan menggunakan kekuatan keseluruhan 116 Majlis Belia Daerah (MBD) di seluruh negara untuk mengadakan sesi penerangan pada peringkat lokaliti masing-masing.

Pihak kepemimpinan setiap MBD akan bekerjasama dengan agensi peringkat daerah serta kumpulan profesional seperti peguam, anggota polis dan guru untuk turut serta dalam sesi ini. Di antara lokasi menjadi sasaran ialah tempat tumpuan awam seperti kompleks beli-belah dan pasar awam.

Program bersifat santai dan informatif ini akan diisi juga dengan sesi dialog serta penerimaan aduan daripada orang awam. Pada perenggan akhir artikel ini ditulis tiba-tiba ada pengumuman baru menyatakan penerbangan penulis mengalami sekali lagi penangguhan selama satu jam. Sekali lagi hak pengguna diragut tanpa rasa simpati! Penulis Presiden MBM berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM

About admin

Leave a Reply