Home / Kenyataan Akhbar / MBM KECAM TINDAKAN PROVOKASI TUKAR JALUR GEMILANG

MBM KECAM TINDAKAN PROVOKASI TUKAR JALUR GEMILANG

KENYATAAN MEDIA

SDR. MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE

PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM KECAM TINDAKAN PROVOKASI TUKAR JALUR GEMILANG,

PIJAK GAMBAR PERDANA MENTERI

Majlis Belia Malaysia (MBM) merasa amat kesal dan membantah sekeras-kerasnya tindakan biadap peserta perhimpunan Janji Bersih yang menghina pemimpin Negara dan Jalur Gemilang di ibu kota baru-baru ini.

Perbuatan memalukan ini jelas menunjukan sikap tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima akal oleh masyarakat negara ini. Lebih dari itu, perbuatan ini dikhuatiri akan menyemai sikap kebencian dalam kalangan masyarakat terutamanya generasi muda terhadap pemimpin Negara yang akhirnya menimbulkan suasana perpecahan sesama sendiri.

MBM percaya perkara ini tidak akan berlaku sekiranya setiap rakyat memahami sistem demokrasi Negara di mana pemimpin yang dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi. Tindakan ini amat-amat memalukan bagi sebuah Negara yang baru menyambut kemerdekaan ke-55 di mana sepatutnya rakyat mempertahankan simbol kedaulatan Negara apatah lagi tindakan ini ditonton oleh masyarakat luar Negara.

Sehubungan itu, MBM meminta kerajaan khususnya pihak bertanggungjawab seperti Kementerian Dalam Negeri supaya bertindak lebih tegas mengikut lunas undang-undang sedia ada. Sikap berlembut dan teragak-agak akan menyebabkan tindakan dan sikap buruk penjenayah ini berterusan.

MBM beranggapan, insiden ini bukan soal perbezaan politik tetapi tindakan jenayah yang mampu mengancam kestabilan dan keharmonian Negara. MBM bimbang sekiranya perlakuan ini jika tidak ditanggani dengan tindakan undang-undang, dikhuatiri pihak-pihak terbabit lebih berani melakukan pelbagai tindakan drastik atas dasar perjuangan sempit mereka

MBM tidak mahu ideologi berpolitik ditafsirkan secara melulu tanpa ada rasa tanggungjawab sehingga merosakkan moral serta nilai-nilai murni selain bercanggah dengan Perlembagaan Negara.

MBM meminta seluruh masyarakat terutamanya golongan belia agar tidak terikut-ikut dengan perlakuan yang jelas amat bertentangan dengan nilai-nilai agama masyarakat Malaysia terutamanya agama Islam

Sekian, terima kasih.

MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE

Presiden

Majlis Belia Malaysia

About Bee Zaleha

Leave a Reply