Home / Minda Presiden / Mudarat ketua tanpa wawasan

Mudarat ketua tanpa wawasan

malikiOleh Mohamed Maliki Bin Mohamed Rapiee

TARIKH 24 Februari lalu mengukir satu sejarah paling manis buat Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) apabila menemukan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pemimpin dan penggiat belia dari seluruh negara.

Program dipanggil Bicara Minda bersama Tun Dr Mahathir Mohamad itu yang diberi tajuk Transformasi Kepimpinan Belia: Meniti Cabaran Wawasan 2020 amat menakjubkan apabila belia di pusat pengajian tinggi atau memegang jawatan dalam barisan kepimpinan peringkat nasional, negeri atau daerah sanggup datang secara sukarela semata-mata ingin mendapatkan buah fikiran negarawan ulung itu.

Pihak penganjur terpaksa menambah jumlah kerusi dan membuka dewan tambahan kerana kapasiti Dewan Tun Dr Ismail di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sudah tidak mampu menampung kehadiran penonton yang sanggup duduk di lantai dan bersambung hingga ke tangga pentas utama. Jujur saya katakan bahawa amat sukar untuk menarik golongan belia pelbagai kaum mengikuti sesi ceramah sebegini tanpa sebarang gimik iringan seperti cabutan nombor bertuah atau pemberian cenderamata seperti topi atau baju-T.

Namun, kami mengakui bahawa Dr Mahathir memiliki kuasa magis yang mampu menarik belia untuk datang awal dan berebut kerusi bagi mengikuti syarahan beliau.
Kejayaan program Bicara Minda yang dianjurkan bersama MBM dan KBS ini sekurang-kurangnya menolak pandangan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa orang muda tidak berminat kepada program bersifat keilmuan, sebaliknya hanya meminati acara hiburan.

Saya dapat merumuskan bahawa orang muda sebenarnya peka dengan sebarang perubahan di sekeliling mereka. Satu perkara yang diakui ialah orang muda sangat selektif dengan isu dan kandungan program yang ingin mereka sertai.

Berdasarkan soalan yang dikemukakan peserta sewaktu sesi dialog juga kita boleh mengukur bahawa pemikiran anak muda Malaysia juga berada pada tahap tinggi kerana mereka mampu mengutarakan pandangan bermutu serta kritis. Sudah pasti ini adalah berkat pembangunan negara yang digerakkan Dr Mahathir sendiri suatu masa dulu. Tema Wawasan 2020 yang dibincangkan sebenarnya cuba membawa pemahaman belia mengenai pentingnya perancangan dan matlamat dalam kehidupan manusia serta pembangunan negara.

Tempoh kurang daripada lapan tahun menjelang tahun keramat 2020 adalah tempoh sangat singkat untuk kita benar-benar bersedia menjejakkan kaki ke gerbang Malaysia sebagai sebuah negara maju.

Tun Mahathir mengulangi bahawa hasrat melihat Malaysia menjadi negara maju bukan sekadar kita mampu memiliki teknologi canggih atau gaya hidup moden, tetapi juga dengan memiliki nilai Malaysia dengan kerangka serta acuan bangsa Malaysia itu sendiri.

Menurut Tun Dr Mahathir, kunci utama pembangunan masyarakat dan negara adalah pada keupayaan pemimpinnya. Pemimpin mesti tahu apa yang harus dilakukan untuk kebaikan pengikutnya. Sekiranya pemimpin tahu keperluan masyarakat serta rakyat, sudah pasti rakyat akan menyokong dan terus bergerak secara positif untuk memastikan segala matlamat dicapai bersama.

Beliau mengingatkan pemimpin belia agar tidak menjadikan organisasi dan pengikut sebagai alat untuk mencapai kehendak peribadi. Seseorang pemimpin yang tiada wawasan dan tiada kemahiran menentukan matlamat akan menjadikan organisasi lemah seterusnya pengikut tidak mendapat manfaat daripada kepemimpinannya. Dengan mengambil contoh kesan perbezaan gaya kepimpinan dua pemimpin utama China iaitu Mao Zedong dan Deng Xiaoping. Mao Zedong (1893-1976) adalah pemimpin ulung China yang berjaya menyatukan rakyat dengan pendekatan gerakan gerila, namun kehebatan beliau masih gagal membawa negaranya sebagai kuasa ekonomi yang hebat.

Malah, sewaktu pentadbiran Mao Zedong, China masih dianggap dunia ketiga.

Berbeza dengan gaya dan pendekatan Presiden Deng Xiaoping (1904-1997) yang berjaya menggerakkan transformasi sosioekonomi China sehingga ia menjadi sebuah kuasa ekonomi terkuat dunia.

Buktinya apabila kini China memiliki rizab wang AS$4 trilion sedangkan Amerika Syarikat sedang menanggung hutang AS$14 trilion.

Tegas Tun Dr Mahathir ini disebabkan Presiden Deng Xiaoping mempunyai matlamat yang jelas iaitu untuk mengoptimumkan sumber daya rakyat China agar berubah menjadi sebuah negara yang kaya.

Tun Dr Mahathir seterusnya memetik kata-kata yang sering diungkapkan oleh Deng Xiaoping iaitu: “Saya tidak kira sama ada kucing itu hitam atau putih, yang penting ia mampu menangkap tikus.” Kata-kata di atas seharusnya jadi pegangan dan teladan baik buat belia Malaysia.

Kehebatan orang muda Malaysia bukan diukur pada cara gaya pemakaian, pemilikan gajet atau latar belakang keluarga. Apa yang penting, ia mesti mampu memberi sumbangan bermakna buat dirinya sendiri serta masyarakat sekeliling.

Belia Malaysia sama ada di estet, pedalaman, pekan kecil atau kota metropolitan harus menyedari bahawa potensi diri mereka adalah sama. Jangan ada yang menjadikan alasan kemiskinan atau nasib buruk sebagai halangan untuk mencapai kejayaan.

Bagi yang bernasib baik berada di puncak haruslah terus melonjak ke angkasa manakala yang ditakdirkan bermula dari bawah lembah harus meningkatkan ketabahan mendaki denai sehingga ke puncak yang diingini.

Kejayaan tokoh lampau membangunkan diri dan keluar daripada kemelut kemiskinan serta penderitaan haruslah diteladani. Terdapat banyak catatan serta hasil penulisan autobiografi tokoh lalu di Malaysia yang amat membanggakan dalam pelbagai bidang.

Dalam usaha mencapai kejayaan sudah pasti timbul suasana persaingan dan perebutan. Ini harus dilalui dengan penuh rasa hormat, beretika dan positif. Strategi Lautan Biru yang berasaskan perkongsian sumber serta keupayaan harus diamalkan oleh belia masa kini. Maknanya, jangan lagi bersifat berpuak-puak mengikut kaum, negeri atau ideologi.

Mereka harus bersikap terbuka, berlapang dada serta sanggup belajar banyak perkara baru daripada semua orang, termasuk daripada individu atau organisasi lain yang di luar kepompong asal kehidupannya.

Penulis adalah Presiden MBM berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) Universiti Sains Malaysia

About admin

Leave a Reply