Home / Minda Presiden / Berani menongkah arus

Berani menongkah arus

beranimenongkaharusOleh Mohamed Maliki Mohamed Rapiee

OLIMPIK 2012 sudah membuka tirainya. Sejurus perasmian oleh Ratu Elizabeth, maka bermulalah episod perjuangan jaguh olimpik dari seluruh dunia, termasuk atlet Malaysia. Pada temasya kali ini, pasukan Malaysia tampil dengan identiti tersendiri dengan mengenakan pakaian tradisional Malaysia, iaitu baju kebaya dan baju Melayu berwarna kuning dan berjalur hitam yang melambangkan Harimau Malaya.

Keberanian untuk ‘bertindak di luar pemikiran konvensional’ seperti ini seharusnya mendapat pujian ramai pihak walaupun ada segelintir yang mengkritik pemakaian kontinjen negara.

Perasaan bangga menyelinap di setiap sanubari rakyat Malaysia kerana kejayaan menjejakkan kaki ke pentas Olimpik hanya mampu dilakukan atlet yang memenuhi piawaian sukan antarabangsa.

Untuk sampai ke tahap tersebut, terlalu banyak pengorbanan ditumpahkan yang semestinya tidak semua orang mampu melaluinya. Gelanggang Olimpik bukan untuk ahli sukan yang sekadar bertanding atas dasar suka-suka atau mencuba. Tanggungjawab besar yang digalas dengan harapan tinggi kadangkala boleh membunuh semangat dan ketabahan seseorang individu. Namun bagi atlet yang tulen pasti akan tabah dan cekal menyahut cabaran. Pencapaian dalam temasya Olimpik ini juga akan mengukur kewibawaan setiap pihak yang terbabit secara langsung dalam persediaan ke kejohanan terbesar ini. Adalah diharapkan nanti agar janganlah hanya atlet saja yang akan disanjung sekiranya berjaya membawa pulang kilauan emas.

Begitu juga janganlah hanya atlet yang menerima kritikan jika keputusan yang diraih kurang menggembirakan. Persatuan sukan, agensi pentadbiran sukan serta pengurus dan jurulatih haruslah menerima manfaat serta tanggungjawab dalam setiap pencapaian atlit. Amatlah menyedihkan sekiranya atlet hanya dihargai sewaktu meraih kemenangan sedangkan mereka akan dicemuh apabila kalah.

Malah terdapat atlet terpaksa bersara pada usia muda kerana kecederaan sewaktu beraksi. Sesetengah mereka ini terus terasing dan kehilangan pendapatan pada usia masih panjang untuk dilalui.

Kebanyakan mereka sudah kehilangan masa-masa emas remaja yang sepatutnya dinikmati seperti orang lain. Mujurlah kini ada Yayasan Kebajikan Atlet (Yakeb) yang berperanan mengambil perhatian terhadap kebajikan serta nasib bekas atlet.

Syukurlah juga kerana kini kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi memperkenalkan skim pengajian bersifat fleksibel kepada atlet di beberapa institusi pengajian tinggi terpilih. Maka bolehlah atlet meneruskan kehidupan bersandarkan sijil dan kelayakan akademik masing-masing. Dalam tempoh jangka panjang, suasana ini akan membantu pembangunan sukan negara kerana atlet dapat diserap masuk ke jawatan profesional sebagai jurulatih dan pengurusan sukan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa Olimpik adalah medan pertempuran paling sengit di antara atlet seantero dunia. Justeru, tidak hairanlah memperoleh sesuatu medal menjadi kebanggaan pada setiap atlet and negara amnya.

Ini kerana untuk tampil di podium memerlukan usaha dan tindakan luar biasa. Kejayaan meraih medal bukan lagi semata-mata bersandarkan kekuatan fizikal, namun juga keupayaan mencipta teknik dan strategi baru serta luar biasa. Sebagai contoh, sebelum 1968, dalam acara lompat tinggi, atlet biasanya akan berlari menghampiri galah dan melakukan lompatan dalam keadaan badan ke depan. Ia berlaku begitu sehingga Dick Fosbury tergerak untuk mencuba lompatan dengan cara membelakangkan badan, dan dia berjaya melompat dengan jarak lebih daripada satu kaki berbanding dengan cara lompatan konvensional pada ketika itu.

Sehingga kini, gaya lompatan Dick Fosbury menjadi ikutan oleh atlet seluruh dunia. Oleh itu, tidak hairanlah ramai dalam kalangan orang yang berjaya adalah mereka yang sering berfikir melawan arus ataupun mencabar status quo.

Masyarakat secara amnya sering mengaitkan ini dengan istilah ‘berfikir di luar kotak’. Sebagai manusia normal, kita sering takut melawan arus semasa. Kita takut berdepan dengan pandangan sinis masyarakat, dan sering kali takut menjadi bahan jenaka sesetengah pihak. Malah yang lebih menyedihkan, kita takut untuk menghadapi kegagalan.

Hasilnya, kita hanya bertindak dalam ruang lingkup arus semasa. Ataupun dengan kata lain, kita berada dalam zon selamat ataupun selesa. Dengan cara ini, kita tidak mungkin dapat melahirkan idea kreatif and inovatif.

Kesudahannya, kita hanya menjadi insan biasa, yang bertindak dengan cara biasa, dan seterusnya membuahkan hasil biasa, dan tidak mempunyai nilai tambah diri yang dapat dibanggakan. Bagi mereka yang tidak takut bertindak di luar pemikiran konvensional, mereka cenderung untuk melakukan sesuatu baru dan yang paling penting mereka tidak pernah berputus asa. Contohnya, jagoan badminton negara iaitu Datuk Lee Chong Wei, yang dinobatkan sebagai pemain nombor satu dunia.

Beliau tidak melihat kecederaan dialaminya sebagai halangan untuk melakukan yang terbaik dalam temasya Olimpik kali ini, bahkan beliau berazam untuk memberikan kilauan emas pertama kepada negara. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Kesimpulannya, untuk bertindak melawan arus semasa, kita perlulah mempunyai cara berfikir ataupun ‘set minda’ yang betul. Pemikiran positif selalunya sering melahirkan tindakan positif.

Oleh itu, janganlah takut sekiranya kita salah dan idea kita tidak diterima ataupun gagal. Percayalah, lebih baik kita menyesal kerana idea yang kita lakukan tidak menjadi, berbanding menyesal kerana kita tidak melakukan apa apa.

Olimpik 2012 bukan sekadar impian dan harapan warga yang cintakan sukan. Namun, ia adalah cerminan ketabahan generasi muda Malaysia. Kami doakan yang terbaik buat mu atlet negara. Berjuanglah hingga titisan keringat serta darah yang terakhir. Penulis Presiden MBM berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/30

About admin

Leave a Reply