Home / Minda Presiden / Minda: Ibu bapa, guru perlu akrab

Minda: Ibu bapa, guru perlu akrab

hmetro14meiOleh Mohamed Maliki Mohamed Rapiee

SUATU fenomena biasa bagi masyarakat kota pada petang Jumaat ialah kesesakan jalan raya yang luar biasa. Di kota besar seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Georgetown dan Johor Bahru, kepadatan kenderaan mula dirasai sebaik saja tamat solat Jumaat.

Ada yang bergegas menghantar anak ke sekolah. Ada juga yang memecut untuk kembali ke tempat kerja masing-masing. Sebab itulah penulis berusaha sedaya upaya memilih tempat tinggal yang berdekatan dengan sekolah. Walaupun kadar sewa yang dikenakan agak tinggi namun ia memadai kerana tidak perlu terperangkap dalam kesesakan jalan raya setiap kali menghantar atau mengambil anak-anak di sekolah.

Bagi penulis saat yang terluang untuk menghantar dan mengambil anak di sekolah adalah amat penting untuk diisi kerana penulis menyedari tidak mampu melakukannya setiap hari. Kesibukan terhadap tugas yang memerlukan penulis sering berjauhan dengan keluarga sudah menjadi perkara biasa buat anak-anak.

Namun ia bukanlah tiket buat penulis untuk memandang remeh keperluan persekolahan anak-anak. Ada kalanya, penulis mengambil tiket kapal terbang kelas perniagaan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Pulau Pinang semata-mata tidak mahu terlepas peluang menonton perlawanan bola sepak pasukan sekolah membabitkan anak sulung penulis. Bukan kerana ada duit banyak tetapi sudah tiada lagi tiket murah yang bersesuaian dengan masa diingini.

Terpancar jelas rasa gembira dan bangga si anak apabila menyedari ibu bapanya tiba-tiba muncul di tepi padang. Sorak-sorai dan tepukan tangan ayah dan ibu sebenarnya mampu menjadi tonik penguat semangat setiap anak yang sedang bergelut dengan keringat di tengah padang.
Bagi penulis, kalah atau menang bukan keutamaan tetapi yang lebih penting ialah peluang buat si anak untuk meningkatkan keupayaan diri dalam persaingan melalui acara sukan. Pertemuan di tepi padang ini juga mampu membina hubungan yang sangat baik antara kita sebagai ibu bapa dengan guru yang bertugas sebagai jurulatih atau guru pengiring.

Karakter dan sifat keyakinan murid juga dapat dipertingkatkan kesan latihan intensif. Hasilnya amatlah mengejutkan kerana pasukan bola sepak Sekolah Kebangsaan Minden Height Pulau Pinang berjaya menjadi juara peringkat Zon Jelutong baru-baru ini sedangkan sebelum ini tidak pernah sampai ke tahap itu.

Khabarnya sekolah yang baru dianugerah status Sekolah Berprestasi Tinggi oleh Kementerian Pelajaran ini akan membuat lawatan perlawanan persahabatan di Korea Selatan pada hujung tahun ini sebagai hadiah kemenangan berkenaan. Namun, penulis menyedari bahawa kita tidak akan mampu berada di tepi padang pada setiap masa.

Tuntutan kerja dan aktiviti seharian mengehadkan peluang kita berbuat sedemikian. Saat yang paling penting untuk ibu bapa luangkan ialah memenuhi undangan untuk menghadiri mesyuarat agung tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan juga Hari Terbuka sekolah. Melalui dua acara penting ini, ibu bapa serta guru dapat bertukar-tukar pandangan berkenaan keperluan persekolahan dan prestasi anak-anak.

Namun, sering penulis dengar sambutan yang amat kurang daripada ibu bapa bagi dua acara penting di atas. Sering kali pihak sekolah terpaksa membuat pelbagai gimik termasuk memanggil artis jemputan dan membuat cabutan nombor bertuah semata-mata menarik hati ibu bapa untuk datang ke majlis penting sekolah. Jika tidak, majlis sedemikian menjadi amat hambar serta tiada sambutan.

Menjelang perayaan Hari Ibu dan Hari Guru pada 13 dan 16 Mei, hati dan fikiran penulis diasak-asak dengan persoalan masih kukuhkah hubungan ibu bapa dengan sekolah seperti waktu dulu-dulu? Khususnya di kawasan bandar, kesibukan dan tuntutan kerja sering dijadikan alasan sesetengah ibu bapa tidak dapat menghadiri peristiwa penting sekolah membabitkan anak masing-masing.

Sebenarnya kecemerlangan seseorang pelajar adalah hasil kasih sayang dan perancangan ibu bapa yang disambut oleh kesungguhan guru menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Namun, suasana masa kini kelihatan berubah sama sekali. Kedua-dua pihak iaitu iba bapa dan guru seakan-akan membina tembok pemisah antara satu sama lain.

Terdapat ibu bapa yang berlagak terlebih pandai dan sentiasa mengganggu sesi pembelajaran di sekolah. Kesannya, terdapat guru besar yang membuat keputusan tidak membenarkan ibu bapa berada dalam kawasan sekolah walaupun hanya duduk di kantin sekolah. Terdapat juga guru kelas yang enggan memberi nombor telefon kepada ibu bapa kerana bimbang menjadi mangsa gangguan serta sumpah seranah sesetengah ibu bapa yang berperangai melampau.

Lebih malang lagi, terdapat ibu bapa yang sanggup membawa kes pertikaian berkaitan anak-anak di sekolah hingga ke dalam kamar mahkamah. Jika zaman dulu ibu bapa menyerahkan sepenuhnya tugas mendidik anak murid kepada guru tanpa prejudis. Jika dulu sewaktu penulis berada di bangku sekolah, hukuman rotan dan berdiri atas bangku adalah amalan hukuman guru yang sudah jadi kebiasaan.

Tidak pernah kedengaran ibu atau bapa mengamuk di sekolah jika anak mereka dirotan guru. Malah jika tidak kena gaya si bapa akan menambah lagi bilangan sebatan di rumah. Namun, kini hal sedemikian pasti akan menjadi kes polis dan seterusnya berakhir di ruang mahkamah.

Fenomena ini menyebabkan kebanyakan guru akan menumpukan kepada tugas mengajar, bukan mendidik. Menurut kajian Bahagian Kaunseling Kementerian Pelajaran mendapati guru membina sentimen di mana mereka hanya boleh mengajar dan berasa amat sukar untuk benar-benar mendidik kerana blok perundangan yang ditimbulkan masyarakat, mahkamah dan pihak berkuasa.

Ibu bapa pula dihambat oleh masa untuk bekerja sepanjang hari. Mahu tidak mahu, kita harus menelan hakikat bahawa anak-anak kita menghabiskan 68 peratus (%) kehidupan hariannya di sekolah sedangkan hanya 32% dihabiskan bersama keluarga. Ini bermakna kita harus mengiktiraf peranan guru dan warga sekolah sebagai penjaga dominan anak-anak kita.

Jika dilihat rekod sekolah yang mencapai tahap cemerlang dan berprestasi tinggi pasti kita akan lihat betapa tingginya hubungan keakraban di antara guru, murid dan ibu bapa. Hubungan yang harmoni ini mampu memacu kejayaan sekolah. Ia membentuk sifat kerjasama yang tinggi berasaskan hubungan menang-menang semua pihak.

Akhirnya sekolah mampu dipandu dan mencapai tahap kecemerlangan yang tinggi. Lebih manis lagi terdapat bekas murid atau alumni yang masih sudi datang serta menghulurkan bantuan demi kecemerlangan sekolah.

Kecemerlangan sesebuah sekolah bukan hanya tanggungjawab guru tetapi memerlukan kerjasama erat ibu bapa serta masyarakat. Ibu bapa harus menjadikan PIBG selaku platform yang harmoni bagi menemukan dua kumpulan penting dalam dunia persekolahan.

Peranan dan fungsi PIBG akan menjadi sangat berkesan sekiranya ibu bapa memahami peranan masyarakat sebagai rakan setia pihak sekolah.

Setiap orang harus mempunyai fahaman mendalam mengenai peri pentingnya sikap mengambil tahu dan ringan tulang dalam kalangan komuniti. Sekolah harus dipandang sebagai ibu kandung yang amat berjasa melahirkan dan membesarkan seorang anak yang akhirnya menjadi manusia berguna apabila dewasa kelak.

Sempena sambutan Hari Guru ini, adalah amat wajar untuk kita sekurang-kurangnya menitipkan sepotong doa buat semua guru yang sebenarnya banyak berkorban keringat dan air mata untuk mendidik kita.

Pada masa sama, pasti kita tidak akan melupakan jasa dan budi ibu kita yang melahirkan dan menjaga kita hingga dewasa. Gurulah penyuluh hidup dan ibu teman ke syurga. Hargailah mereka.

Penulis Presiden MBM berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM

Last Updated ( Monday, 14 May 2012 17:09 )

About admin

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino