Home / Minda Presiden / Minda: Gagasan komuniti Asean

Minda: Gagasan komuniti Asean

malikputih

Oleh Mohamed Maliki Mohamed Rapiee

HAJAT untuk melihat rantau Asia Tenggara terbentuk sebagai satu komuniti akan direalisasikan apabila semua 10 negara yang menganggotai Asean menyatakan kesungguhan dan persetujuan untuk menjadikan tahun 2015 sebagai tempoh akhir bagi merealisasikan gagasan berkenaan.

Komitmen ke arah komuniti Asean ini turut disuarakan oleh Perdana Menteri yang menghadiri Sidang Kemuncak Asean di Phnom Penh, Kemboja minggu lalu yang bertemakan ‘Asean: Satu Komuniti, Satu Matlamat’.

Malah, secara lebih tegas beliau menyatakan bahawa Asean perlu mencapai gagasan yang dirancangkan dengan meningkatkan peranan serta keupayaan golongan belia di setiap negara anggota Asean.

Kita amat bertuah memiliki seorang pemimpin yang sentiasa melihat masa depan dan mengaitkan generasi akan datang dalam setiap perancangannya. Amat menarik apabila beberapa perkara dipraktikkan Datuk Seri Najib Razak di Malaysia juga amat bersesuaian dan diterima baik pemimpin Asean.

Ini terbukti apabila persidangan tahunan dipengerusikan Kemboja turut menerima beberapa cadangan selama ini dilaksanakan kita, antaranya Asean Bebas Dadah 2015 dan penerimaan kertas konsep Gerakan Kesederhanaan Global.

Pemilihan Phnom Penh sebagai lokasi persidangan memberikan makna mendalam khasnya dalam aspek pembangunan masyarakat di rantau ini.

Kejayaan kemboja mempengerusi dan menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak Asean ke-20 adalah satu bukti kesungguhan serta iltizam negara terkenal dengan Angkor Wat itu untuk bangkit daripada sejarah hitam masa lalu.

Masyarakat dunia pasti tidak akan melupakan tragedi pembunuhan dan penyeksaan dilakukan rejim Khmer Rouge yang diketuai oleh Pol Pot bermula tahun 1975 hingga 1979.

Dalam tempoh tersebut lebih dua juta rakyat Kemboja dibunuh secara tragis. Demi mengekalkan kekuasaan, Pol Pot dan pengikutnya menyeksa dan membunuh rakyatnya sendiri tanpa sebarang sebab munasabah.

Kemboja yang sebelum ini kaya dengan sumber alam sudah diubah menjadi sebuah negara mundur dan miskin dek kerakusan sebuah kepimpinan.

Penulis yang berada di Phnom Penh bagi menghadiri Forum Belia Asean 2012 sejak 1 hingga 5 April lalu berpeluang menyaksikan bukti-bukti kekejaman regim Khmer Rouge terhadap rakyat Kemboja.

Amat malang bagi rakyatnya waktu itu apabila mereka tertipu dengan permainan politik Khmer Rouge pada awal 1975.

Regim Khmer Rouge awalnya membawa watak sebagai sebuah kumpulan yang mampu membawa sinar baru kepada rakyat Kemboja berikutan kelemahan pentadbiran sedia ada yang dibayangi sokongan oleh Amerika Syarikat dan konflik dengan Vietnam.

Pol Pot berjaya mempengaruhi dan memainkan emosi rakyat yang ketika itu berada dalam keadaan kesusahan. Maka, dengan mudahnya beliau menyebarkan fahaman komunis kononnya berpaksikan kepada keadilan sosial. Kelompok paling menyokong beliau adalah golongan muda yang amat ghairah ingin melihat perubahan dalam masyarakat mereka.

Ternyata sikap baik Khmer Rouge hanya bertahan tidak lebih tiga bulan apabila menunjukkan watak sebenar mereka.

Ideologi komunis Pol Pot yang radikal menyebabkan beliau menjadi buta hati dan tergamak membunuh begitu ramai rakyat Kemboja.

Golongan muda dan cerdik pandai adalah sasaran utama beliau kerana tidak mahu ada rakyat bangun menentang kezaliman dilakukan. Sehingga kini masyarakat masih boleh menyaksikan kesan kezaliman terbabit yang tercetus daripada nafsu serakah terhadap kuasa.

Ternyata, kuasa boleh menjadikan manusia mabuk dan kejam. Lebih menakutkan lagi, Pol Pot membuktikan bahawa demi kuasa manusia boleh menyamar dan bertukar watak.

Pol Pot sebelum ini dikenali sebagai manusia sederhana dan baik tetapi bertukar ganas apabila mulai berkuasa. Semuanya kerana ideologi dan doktrin yang diterimanya.

Kembali kepada isu Asean tadi, penulis amat berharap semua pihak dapat memberikan perhatian mendalam terhadap perubahan yang akan dialami oleh komuniti besar ini.

Tempoh tiga tahun menjelang 2015 bukanlah satu tempoh lama.

Walaupun pembentukan komuniti Asean tidaklah seperti komuniti Eropah dengan penggunaan mata wang Euro dan dasar fiskal yang seragam, namun kita akan melihat peningkatan hubungan interaksi sosio-ekonomi-politik masyarakat Asean pada masa depan.

Maknanya, rakyat Malaysia perlu lebih bersedia untuk berinteraksi dengan lebih lincah dengan rakan di luar sempadan negara. Ia menuntut pelbagai keupayaan termasuk bahasa, komitmen, modal dan ketahanan.

Sebagai contoh dalam bidang perniagaan, kita perlu bersedia meneroka pasaran luar dan bekerjasama rapat dengan rakan di sana.

Kita perlu bersifat mesra, mudah bergaul dan kuat membawa jatidiri Malaysia. Apa yang penulis bimbang kerana kadang-kadang jatidiri sesetengah kita masih rapuh sebagai rakyat Malaysia. Mereka masih kuat dikenali sebagai ‘Melayu Malaysia, Cina Malaysia atau India Malaysia’.

Jadi, penulis amat berharap ruang dan peluang yang terhampar nanti akan mampu membentuk rakyat Malaysia dinamik, berani dan menonjolkan watak sebenar rakyat Malaysia.

Dalam hal ini, Majlis Belia Malaysia (MBM) sememangnya bersedia untuk memikul tanggungjawab untuk mengetengahkan lebih banyak peluang dan ruang kepada belia Malaysia untuk beraksi di peringkat Asean.

Belia kita perlu diterapkan dengan pemikiran bahawa gelanggang kejayaan kita bukan lagi pada radius negeri atau negara tetapi amat luas di luar sana.

Penulis amat yakin bahawa belia kita mampu menghadapi cabaran dan meraih peluang interaksi yang lebih luas bukan sekadar di Asean malah pada peringkat global.

Penelitian penulis adalah berdasarkan prestasi belia kita ke forum atau persidangan antarabangsa. Semua wakil dihantar Kementerian Belia dan Sukan dan MBM pasti tidak akan mengecewakan.

Orang Malaysia sentiasa dikenali sebagai sederhana, matang, mesra dan mudah didekati. Malah, dalam banyak keadaan, orang Malaysia sering diberikan mandat dan tugas untuk menjadi titik penyatuan komuniti antarabangsa yang mempunyai pelbagai ragam serta latar belakang.

Itulah di antara formula dimiliki rakyat Malaysia. Secara sedar atau tidak ia adalah ramuan yang paling mujarab untuk menyatukan rakan di luar sana.

Kita harus bangga dan iktiraf kehebatan orang kita. Kalau tidak hebat, mana mungkin Datuk Seri Ali Rustam boleh dipilih sebagai Presiden, Perhimpunan Belia Sedunia (WAY) suatu masa dulu.

Lebih manis lagi, komuniti belia antarabangsa tetap yakin dengan keupayaan rakyat Malaysia dengan memberikan mandat sama kepada Datuk Idris Haron sebagai Presiden pada masa ini.

Pada peringkat negara anggota Asean, MBM akan menggunakan kepakaran Mohd Zaidi Aziz, Setiausaha Agung MBM yang juga merupakan Setiausaha Agung, Jawatankuasa Kerjasama Belia Asean (CAYC).

Penulis Presiden MBM berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM

 

About admin

Leave a Reply