Home / Minda Presiden / Pemimpin unggul selari pembaharuan

Pemimpin unggul selari pembaharuan

maliki_simpleOleh Mohamed Maliki Mohamed Rapiee

AWAL minggu lalu saya menerima e-mel daripada seorang pemimpin belia dari sebuah negeri. Beliau menyatakan rasa tidak puas hati terhadap apa yang terjadi kepada bapanya. Menurut pemuda ini, bapanya seorang ketua kampung yang memegang jawatan berkenaan lebih lima tahun. Penduduk kampung menerima kepemimpinannya dengan baik.

Bapanya dikenali sebagai seorang ketua kampung yang rajin dan sedia membantu tanpa mengira masa. Namun, masalah paling besar dihadapi bapanya ialah apabila berhadapan dengan wakil rakyat di kawasan tersebut.

Dikatakan Yang Berhormat di situ sering menggunakan pendekatan keras terhadap ketua kampung yang didapati tidak menepati kehendak YB itu. Sesi mesyuarat bersama wakil rakyat adalah saat paling ditakuti oleh sebahagian besar ketua kampung di kawasan itu kerana YB pasti tidak akan teragak-agak memaki atau menyebut kata-kata tidak sepatutnya secara terbuka.

Setiap kali kejadian seperti ini berlaku maka ketua kampung yang terkena akan pulang dengan wajah sugul dan rasa malu amat sangat. Mana tidaknya, kisah tersebut akan sampai juga ke pengetahuan masyarakat di luar.

Apa yang menariknya, menurut penghantar e-mel tadi, tiada orang yang berani menegur sikap dan pendekatan keras YB itu kerana jika ada yang berani sekali pun maka sudah pasti tempoh memegang jawatan bagi seseorang ketua kampung akan berakhir dan tidak disambung. Tambahan pula wakil rakyat ini amat dikenali dan berpengaruh besar memandangkan beliau sudah memegang mandat sebagai YB kawasan lebih 4 penggal. Adalah amat dikesali jika keadaan dinyatakan oleh pemimpin belia di atas benar-benar berlaku. Pada hemat saya, sikap dan pendekatan yang ditunjukkan YB itu salah dan tidak bertepatan dengan tarafnya sebagai seorang pemimpin.

Apatah lagi zaman ini pemimpin dan pengikut memerlukan kerjasama secara simbiosis untuk mencapai maksud kepemimpinan. Ketua kampung adalah pemimpin peringkat akar umbi yang perlu didengari pandangan secara mendalam.

Mereka bekerja secara sukarela atas dasar menyayangi jiran sekampung. Elaun bulanan yang diterima kadang-kadang digunakan semula untuk membantu anak buah membeli buku, yuran sekolah atau tambang bas.

Menyentuh soal kepemimpinan, secara teori terdapat beberapa jenis kepemimpinan yang belia akan temui.

Pertama: Pemimpin Autokratik Ia akan memaksa pengikut membuat sesuatu tanpa mengambil kira keperluan individu pengikutnya. Beliau tidak prihatin pada perasaan pengikut, oleh itu selalunya tidak digemari. Pengikut akan melakukan sesuatu kerja atas dasar takut.

Saya yakin, dalam konteks belia, gaya kepemimpinan seperti ini tiada lagi sesuai diamalkan. Orang muda akan menjauh dan tidak berminat memberikan sumbangan. Kepemimpinan seperti ini akan terasing, menyendiri dan hanya popular dalam lingkungan pengikut yang masih terikat kepada kepentingan dan habuan tertentu. Akhirnya ia akan kelihatan seperti dalam kisah ‘si luncai yang terjun bersama labu-labunya. Alahai, biarkan! Biarkan!”.

Kedua: Pemimpin Demokratik Ia akan sentiasa membabitkan pengikut dalam membuat keputusan. Biasanya pemimpin seperti ini disukai ramai kerana pengikut akan berasa diri mereka dihargai dan ada rasa pemilikan serta kekitaan terhadap organisasi, tugasan atau perjuangan yang dipikul. Pemimpin demokratik akan sentiasa mendengar pandangan secara terbuka. Ia tidak akan hanyut dengan pujian semata-mata dan tidak pula mudah melenting sekiranya terdapat bantahan serta maklum balas yang tidak seiring dengan pandangan beliau.
Kepemimpinan demokratik adalah amat sesuai diamalkan pemimpin belia masa kini kerana zaman dan persekitaran jauh berubah. Pada zaman sekarang pengikut memiliki pelbagai kemahiran serta pengetahuan, justeru adalah penting pemimpin lebih banyak mendengar dan bersikap membantu. Pendekatan mengarah dan berfalsafah dengan ucapan berjela-jela hanya sesuai pada era awal kemerdekaan memandangkan waktu itu rakyat memang benar-benar memerlukan bimbingan dan panduan.

Jika dulu pengikut memerlukan lampu suluh serta tongkat untuk berjalan, kini pemimpin hanya perlu menyediakan alamat serta koordinat lokasi dan selebihnya pengikut akan mencarinya berdasarkan alat sistem pengesanan global (GPS). Maknanya, pemimpin masa kini harus lebih bersifat sebagai fasilitator berbanding mengarah.

Ketiga: Pemimpin Laissez-faire Pemimpin kategori ini akan menyerahkan kepada pengikut untuk membuat keputusan. Seringkali pembabitan beliau pada tahap sangat minimal dan peranannya pada peringkat mengesahkan dan mengumumkan sesuatu keputusan. Pemimpin seperti ini bukanlah pengambil tanggungjawab yang baik. Ia mungkin mahu kelihatan popular di kalangan pengikut, namun akhirnya akan dilihat sebagai pemimpin lemah dan tidak berpendirian.

Pemimpin kategori ini akan kalut dan serba salah khasnya dalam hal yang kritikal dan memerlukannya membuat keputusan sebagai seorang ketua. Kesannya, keputusan lambat dibuat dan kadangkala peluang yang datang terlepas begitu saja. Lebih buruk lagi keputusan dibuat akhirnya disanggah pengikut dan mampu menjejaskan imej serta keharmonian dalam organisasi. Sebenarnya, gaya kepemimpinan dan watak seseorang dipengaruhi tahap emosi dan personaliti dimiliki dirinya sebagai seorang individu. Maknanya, sebarang tingkah laku dan percakapan seseorang pemimpin akan menggambarkan sifat serta nilai dipegang olehnya. Amatlah penting seseorang itu sentiasa mengawal emosi agar berada pada tahap sederhana bagi memastikan watak dan perlakuan dipaparkan adalah matang, bersopan dan dihormati.

Seseorang pemimpin akan mampu menjadi contoh dan teladan yang baik kepada pengikutnya. Memandangkan kepemimpinan adalah amat rapat dengan hal berkaitan dengan perhubungan di antara manusia, maka perlu ada kesedaran pada setiap pemimpin bahawa setiap tindakan dan percakapan mereka sentiasa dinilai orang.

Setiap butir bicara, pergerakan tubuh badan dan penampilan akan dinilai sebagai hasil pancaran pemikiran yang dimiliki.

Menurut Charles Darwin melalui buku bertajuk ‘The Expression of the Emotions in Man and Animals’ menyatakan bahawa emosi adalah penting terhadap pemikiran rasional kerana emosi memberikan informasi penting mengenai pemahaman terhadap dunia sekitarnya. Maknanya, pemimpin yang memiliki tahap emosi baik akan sentiasa bersikap positif, terbuka dan proaktif. Pemimpin yang bersikap panas baran, berburuk sangka, keras kepala suka memaki-hamun adalah disebabkan tahap emosi dalaman yang tidak stabil. Golongan belia amnya individu yang bersifat mudah lentur dan mampu menerima pembelajaran baru. Justeru adalah disarankan agar golongan belia khasnya pemimpinnya menjalani latihan yang mampu membentuk personaliti unggul sebagai pemimpin. Kini terdapat banyak kursus dan program bina insan yang menyediakan latihan dan bimbingan khusus terhadap peningkatan personaliti diri.

Terdapat juga set soal selidik atau inventori personaliti yang boleh digunakan untuk menilai tahap keupayaan diri. Melaluinya belia boleh membuat proses pembetulan dan pembetulan diri. Proses melahirkan pemimpin bukan dapat dicapai sekelip mata. Hanya yang tabah dan kuat akan berjaya mengharungi proses tersebut dan menjadi pemimpin unggul. Inilah di antara peranan penting pertubuhan belia yang dinaungi Majlis Belia Malaysia. Kini terdapat hampir 8,000 pertubuhan belia bermula pada peringkat akar umbi sehingga kebangsaan bersedia menjadi platform belia mengasah bakat dan meluaskan pengalaman. Negara kita memerlukan pelapis belia yang mampu memacu pembangunan dan wawasan. Demi kelangsungan dan survival bangsa Malaysia, proses melahirkan pemimpin unggul perlu berterusan dan dipelbagaikan. Penulis Presiden MBM berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) Universiti Sains Malaysia

About admin

Leave a Reply