Home / Minda Presiden / Ubah mentaliti makan gaji

Ubah mentaliti makan gaji

maliki_talkOleh Mohamed Maliki Mohamed Rapiee

MINGGU lalu saya menghadiri sesi dialog bersama Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang. Sesi yang santai tetapi hangat apabila anak muda ini melontarkan pelbagai pandangan berkenaan isu semasa. Hati dan fikiran saya semakin segar melayani setiap hujah dan pandangan kerana ia asas penting ke arah kematangan belia Malaysia.

Saya sentiasa menanamkan pendirian bahawa suara dan fikiran anak muda bagaikan air yang mengalir dari puncak gunung menuju ke tanah lebih rata. Ia harus diurus dan dialirkan sebaiknya. Jika tidak melimpah tanpa kawalan atau meresap hilang tanpa sempat dimanfaatkan.

Di antara isi dialog yang menarik ialah kebimbangan seorang peserta mengenai peluang pekerjaan yang dikatakan semakin mengecil. Anak muda ini tidak puas hati apabila kerajaan membuat keputusan memanjangkan tempoh bersara wajib kepada umur 60 tahun. Justeru, pada hemat beliau, ia akan mengecilkan lagi peluang pekerjaan kepada graduan. Pada satu sudut, saya juga bersetuju dengan pandangan anak muda ini. Majlis Belia Malaysia (MBM) sendiri sudah membuat kenyataan yang menegaskan tidak bersetuju dengan lanjutan umur persaraan itu. Kita bimbang adakah dasar ini selari dengan gagasan transformasi yang ingin dicapai negara? Proses transformasi amat berkait rapat dengan keperluan perubahan yang digerakkan tenaga dan idea baru.

Tempoh yang lebih lama seseorang penjawat awam berada di sesuatu jawatan kadang-kadang gagal mencipta idea baru. Yang ada hanya pengulangan kaedah lama dilaksanakan kepada pelanggan yang baru semata-mata. Sedangkan dalam masa sama idea dan potensi sumber tenaga muda tidak dimanfaatkan secara optimum.

Pada sudut lain pula saya juga dapat mengesan bahawa anak muda tadi masih berada pada kerangka kerja makan gaji di sektor kerajaan.

Memang masih ramai graduan kita yang meletakkan sasaran untuk bekerja di jabatan kerajaan sebaik saja tamat pengajian. Malah, tidak menghairankan terdapat graduan yang memohon jawatan lebih rendah berbanding kelayakan ijazah demi mencapai kehendak bekerja dalam bidang kolar putih. Pasti akhirnya masih ramai yang gagal menyertai perkhidmatan awam kerana jumlah tersedia amatlah terbatas.

Keluh-kesah mengenai pengangguran belia kini semakin jelas kedengaran apabila ekonomi dunia berada pada tahap yang tidak begitu memberangsangkan. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Setiausaha Agungnya, Ban Kin Moon menggesa setiap negara anggota membuat transformasi dalam merangka satu kontrak sosial masyarakat dengan pengagihan kekayaan ekonomi melalui peluang kerjaya lebih adil dan saksama.

Tegas beliau, peluang kerjaya golongan belia mesti diutamakan kerana dunia kini sedang dihuni oleh sebahagian besar golongan muda.

Gesaan ini memang bertepatan dengan keperluan masa kini memandangkan secara keseluruhannya angka pengangguran seluruh dunia meningkat secara nyata. PBB melaporkan pada 2009, kadar pengangguran global mencecah 75.8 juta.

Fenomena global ini pasti turut memberi kesan kepada peluang pekerjaan di Malaysia. Buat masa ini terdapat ahli belia yang ditawarkan Skim Pemberhentian Secara Sukarela (VSS) oleh majikan masing-masing mengadu nasib kepada MBM. Hal ini sememangnya tidak dapat dielakkan memandangkan kebanyakan sektor perkilangan di negara ini bergantung kepada permintaan pasaran luar yang kini mengalami kelembapan ekonomi. Dalam menghadapi cabaran ini, golongan belia harus kuat dan tabah. Jangan mengambil jalan singkat hingga terjebak dalam kerjaya yang kotor seperti menjadi keldai dadah atau GRO. Dalam masa yang sama, kerajaan dan rakyat harus mengubah pendekatan serta kerangka kerjaya yang ada.

Bagi pihak kerajaan, beberapa bidang yang selama ini disifatkan tradisional serta kurang menarik perlu dipertingkatkan agar dapat disertai golongan muda, antaranya pertanian dan perikanan.

Ia sektor penting negara yang kini mengalami kekurangan guna tenaga tempatan. Usaha transformasi kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Asas Tani yang sedang memajukan 16 projek permulaan (EPP) dengan menyasarkan tiga subsektor iaitu rumpai laut, penternakan burung walet dan ikan hiasan amatlah disokong. Difahamkan penaiktarafan ini menjanjikan 75,000 peluang pekerjaan baru kepada rakyat.

Usaha transformasi di atas tidak akan mampu mengatasi masalah pengangguran di kalangan belia sekiranya kita sendiri tidak mengubah pemikiran terhadap bidang yang sebelum ini dianggap tradisional dan kampungan.

Masih ramai anak muda keberatan untuk digelar usahawan tani, apatah lagi petani. Pelbagai alasan yang diberikan terhadap bidang sedemikian sedangkan potensi yang menunggu amat besar. Majalah Reader’s Digest pada 2011 menjadikan salah satu tajuk keluaran bulanannya berbunyi ‘If you want to be rich, be a farmer’ (Jika anda ingin menjadi kaya, jadilah seorang petani).

Di negara kita senario dalam kalangan anak muda agak berbeza. Kebanyakannya berpusu-pusu ke bandar besar semata-mata hendak mengejar jawatan yang belum tentu menjanjikan pulangan setimpal dengan tuntutan hidup di kota.

Di bandar semuanya perlu dibayar. Mungkin hanya udara yang disedut masih percuma. Itupun kadangkala tercemar dek asap dan debu. Sudahnya, ada yang mengalah dan tidur di bawah jejambat LRT atau menyeksa diri tinggal berhimpit-himpit bagaikan dalam tin sardin di flat usang di tengah bandar sedangkan nun jauh di kampung, masih banyak tanah kosong yang terbiar.

Yang masih setia hanyalah pak cik dan mak cik yang melepasi usia emas. Kalau pun ada anak muda yang tersisa ialah yang terikat dengan tanggungjawab menjaga orang tua yang uzur sedangkan hatinya digaru-garu agar turut merantau ke kota. Orang muda kini harus ubah mentaliti lapuk mereka terhadap makna masa depan serta kerjaya. Janganlah terpedaya oleh momokan kerjaya dan gaya hidup bandar sehingga seolah-olah bekerja dan tinggal di desa tiada masa depan.

Media harus membantu membina imej yang menarik berkaitan bidang tradisional ini agar mendapat perhatian dan tarikan orang muda. Cukup-cukuplah drama dan filem yang menggambarkan seolah-olah warga kota saja yang kenal fesyen dan ‘up to date’. Anak muda yang tinggal di desa sering digambarkan sebagai naif, rendah diri dan tiada personaliti.

Anak muda kini harus bangga dengan latar belakang kampung atau estet atau tanah rancangan Felda yang mereka miliki. Mereka harus pertahankan jati diri serta kemahiran asas yang dimiliki kerana mereka berpotensi untuk menjadi usahawan tani atau usahawan maritim yang berjaya. Bak kata pepatah, ‘ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya’. Bermakna bahawa anak muda kita tidak akan hilang kehebatannya dengan hanya mencebur diri dalam bidang pertanian, penternakan atau perikanan.

Saya sendiri sentiasa memasang impian agar di awal usia saya menjejak 40 tahun nanti saya akan menghabiskan banyak masa di bawah pokok kelapa sawit yang tersusun rapi bertemankan lembu gemuk yang diternak secara integrasi. Pendapatan sebulan? Saya pasti jawapannya ada pada pak cik, pak cik kita di kampung sana.

Di kala kita tidak sabar menanti gaji yang sedia ditolak pelbagai potongan menjelang tarikh akhir bulan, pak cik, pak cik kita itu tersenyum menerima bayaran tunai dua minggu sekali hasil jualan kelapa sawit.

Kepada rakan belia, saya sentiasa yakin dengan maksud firman Allah pada Surah Ar-Raad Ayat 11 yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib seseorang atau sesuatu kaum kecuali orang atau kaum itu yang mengubah nasibnya sendiri”. Ubahlah pemikiran kita ke arah hari esok yang lebih terjamin.
Penulis adalah Presiden Majlis Belia Malaysia berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM

Last Updated ( Monday, 13 February 2012 10:00 )

About admin

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino