Home / Minda Presiden / Minda: Sukan medium bina karakter

Minda: Sukan medium bina karakter

maliki

AWAL pagi baru-baru ini saya dikejutkan oleh panggilan telefon bertalu-talu daripada isteri yang berada di Pulau Pinang. Agak kalut juga kerana saya sedang bersiap-siap menjalani rakaman rancangan Meja Bulat Astro Awani di Kuala Lumpur.

Rupa-rupanya beliau ingin maklumkan pesanan anak sulung kami supaya dapat membuat tempahan gelanggang badminton di Universiti Sains Malaysia (USM) untuk pasukan sekolahnya iaitu Sekolah Kebangsaan Minden Heights bagi menjalani latihan intensif sebelum pertandingan peringkat daerah minggu hadapan.

Demi memenuhi keperluan itu, isteri saya sanggup berulang-alik menghantar dan menunggu anak kami berlatih selama dua jam. Saya bangga dengan kesungguhan anak sulung saya berlatih, namun lebih bangga kerana isteri saya tiba-tiba menjadi ‘pengurus’ merangkap ‘jurulatih’ tidak rasmi pasukan.

Senario di atas adalah kelaziman yang terjadi kepada ramai ibu bapa yang cuba memenuhi minat anak dalam bidang sukan. Sokongan yang perlu diberikan bukan sekadar mencari gelanggang dan menyediakan peralatan sukan, tetapi perlu menyusun serta merombak jadual harian anak agar bersesuaian dengan latihan serta pertandingan sukan yang disertai.

Malah, ramai juga ibu bapa yang sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menemani anak di tepi padang perlawanan. Kadang-kadang juga timbul konflik serta perbalahan di antara ibu bapa apabila melihat anak pulang ke rumah dalam keadaan letih dan lesu. Sesekali berlaku sedikit kecederaan seperti luka atau terseliuh.
Tambah merumitkan apabila keputusan ujian anak sedikit terjejas berikutan kurang tumpuan kepada ulangkaji dan sering meninggalkan kelas. Pernah saya lihat insiden si ayah minta anak berhenti bersukan sementara guru merayu pada si ibu agar memujuk si ayah beri peluang kedua kepada anak. Si anak pula merajuk sebab dihalang bersukan.

Sememangnya pembabitan murid dalam aktiviti sukan mewujudkan pelbagai polemik di kalangan ibu bapa. Ada yang setuju, ada yang membangkang dan tak kurang pula yang tak hirau sama ada anak mereka terbabit atau tidak.

Saya amat yakin kebanyakan ibu bapa khasnya golongan muda amat memaklumi kepentingan sukan kepada anak masing-masing. Minat dan kesedaran rakyat terhadap potensi sukan sebagai bidang yang mampu menjamin masa depan anak pastinya makin subur apabila melihat berita kejayaan atlet tersohor negara Datuk Nicol Ann David, Datuk Lee Chong Wei dan yang terbaru Safee Sali.

Jika diberi peluang, pasti ramai ibu bapa yang ingin mempelajari cara betul bagi memastikan anak kesayangan masing-masing mampu menjadi juara sebagaimana tokoh sukan yang saya nyatakan tadi.

Bagi Majlis Belia Malaysia (MBM), sukan adalah satu bidang amat penting dalam masyarakat. Ia menjanjikan persekitaran sihat bagi individu, apatah lagi membabitkan pertandingan yang pasti melahirkan individu unggul dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual.

Elemen berkenaan akan mengalir dan meresap ke dalam diri secara berterusan tanpa disedari. Ahli sukan yang baik akan berpegang kepada etika permainan yang menuntut mereka bersifat ‘gentleman’ dengan disiplin yang tinggi. Sukan membina nilai ketabahan, kepantasan serta kematangan dalam kehidupan. Tiada tempat untuk si pemarah, pemalas, penakut dan penyendiri dalam dunia sukan.

Justeru, MBM menyokong langkah Kementerian Pelajaran mewujudkan Dasar 1 Murid 1 Sukan yang mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah.

Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan selaras dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan di kalangan masyarakat. Melalui dasar ini, dua strategi disediakan iaitu aktiviti Sukan Untuk Semua bagi memupuk dan membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan kepada semua murid manakala strategi Sukan Untuk Kecemerlangan digunakan untuk memberi peluang serta mencungkil ahli sukan berpotensi di kalangan murid.

Strategi yang digariskan adalah bertepatan dengan pendekatan Pembangunan Belia Positif yang diguna pakai MBM serta Kementerian Belia Dan Sukan.

Sukan seharusnya menjadi medium terbaik untuk anak muda membina karakter dan jati diri. Majikan juga tiada sebab untuk menolak mana-mana calon pekerja yang mempunyai profil pembabitan dalam sukan. Malah, majikan yang lebih bijak akan menjadikan mereka sebagai pekerja merangkap duta kecil syarikat melalui tajaan atau perwakilan dalam satu-satu kejohanan sukan.

Dalam konteks pembinaan negara bangsa, sukan juga diakui mampu menjadi medan interaksi amat berkesan untuk menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Kita berkongsi rasa resah dan duka apabila Chong Wei mengalami kekalahan dalam perlawanan akhir badminton di Sukan Olimpik.

Seluruh rakyat tanpa mengira kaum juga secara spontan bergabung rasa bangga dan terharu apabila Harimau Muda berjaya membaham Anak Garuda dalam perlawanan akhir bola sepak Sukan Sea yang lalu.

Keringat dan air mata atlet mampu menjentik rasa semangat cintakan negara tanpa mengambil kira latar belakang kaum, agama, ideologi dan darjat rakyat Malaysia. Melalui pembabitan sukan yang cemerlang juga mampu membuang rasa prejudis rakyat Indonesia terhadap rakyat Malaysia.

Minggu lalu, dunia sukan dikejutkan dengan kejayaan pemain sensasi bola sepak negara, Safee yang ditawarkan kontrak bernilai RM2 juta berserta penghormatan sebagai Ketua Pasukan Pelita Jaya. Kisah kejayaan seperti ini pasti menjadi pendorong kepada kita untuk terus menyokong agar sukan dijadikan sebagai budaya positif rakyat Malaysia.

MBM mahukan agar setiap belia yang mahu dilihat sebagai bernilai mestilah terbabit dalam aktiviti sukan. Sebagai Presiden MBM, saya amat berharap setiap pemimpin belia memiliki minat dan pembabitan mendalam terhadap sekurang-kurangnya satu jenis sukan.

Amat malang dan mengecewakan sekiranya seseorang pemimpin belia berumur masih di bawah 40 tahun mengisytiharkan ‘bersara’ daripada sebarang bentuk aktiviti sukan.

Melangkah jauh ke hadapan, MBM mahu menjadikan bidang sukan sebagai satu daripada cabang untuk belia mengembangkan potensi diri dalam bidang perniagaan. Sukan harus dilihat sebagai satu industri yang menjana peluang ekonomi masyarakat. Hakikatnya industri sukan menjana nilai RM30.2 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2009.

Impak sukan yang besar kepada negara ini mendorong Tahun Industri Sukan dilancarkan Julai 2011. Belia yang terbabit dalam industri sukan dengan sendirinya akan mengasah elemen 3K yang MBM fokuskan iaitu kepemimpinan, kemahiran dan keusahawanan.

Untuk itu, MBM mengorak langkah menarik lebih ramai belia terbabit dalam bidang sukan melalui penganjuran Malaysia Sport Industry Exhibition yang dijadual dilancarkan pada 5 Mei 2012.

Penulis adalah Presiden Majlis Belia Malaysia berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM

About admin

Leave a Reply