Home / Kenyataan Akhbar / MBM KECAM KENYATAAN MEMPERSOALKAN PERKARA 153

MBM KECAM KENYATAAN MEMPERSOALKAN PERKARA 153

image_pdfimage_print


KENYATAAN MEDIA

SDR. MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE
PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM KECAM  KENYATAAN MEMPERSOALKAN PERKARA 153

Majlis Belia Malaysia (MBM) mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi Evangelical Christian Fellowship Nasional (NECF), Reverend Dr. Eu Hong Seng mengenai Perkara 153 yang menurutnya adalah menyerupai membuli jika ia hanya melindungi hak satu kumpulan.

MBM amat kesal kerana kenyataan tersebut telah dibuat oleh seseorang yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakatnya dan beliau seharusnya lebih mengetahui sejarah dan rasionalnya Perkara 153 yang telah termaktub dalam perlembagaan sejak 54 tahun yang lalu.

MBM merasakan kenyataan tersebut  lebih bersifat menghasut dan boleh menimbulkan rasa tidak selesa di antara pelbagai kaum  yang berlainan di negara ini. Sebagai seorang pemimpin agama dan kaum, kita seharusnya mengambil pendekatan yang lebih rasional dalam usaha untuk menyatukan seluruh kaum bagi memastikan kekuatan perpaduan terus terpelihara.  Oleh itu, MBM mendesak agar Reverend Dr. Eu Hong Seng menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka daripada seluruh rakyat Malaysia.

MBM tidak mahu hak setiap kaum di negara ini ditafsirkan secara melulu dan tidak  mempunyai rasa tanggungjawab semata-mata untuk kepentingan sendiri sahaja tanpa memikirkan kesan buruk yang akan dirasai oleh kaum lain.

MBM yakin, perlembagaan yang kita amalkan kini masih  melindungi hak dan keistimewaan  setiap kaum di negara ini dengan adil dan saksama kerana setiap perkara yang termaktub di dalam perlembagaan mempunyai latarbelakangnya yang tersendiri dan ianya telah dipersetujui bersama ketika penubuhan negara yang merdeka.

MBM menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya golongan belia agar tidak mudah terpengaruh dengan kenyataan-kenyataan sedemikian yang jelas bercanggah dengan apa yang telah kerajaan amalkan dan kerajaan telah membuktikan bahawa perlembagaan negara dapat menyatupadukan seluruh kaum tanpa meminggirkan hak mana-mana kaum di negara ini.

Sekian. Terima kasih

MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Tarikh    : 28 Disember 2011

About Bee Zaleha

Profile photo of Bee Zaleha

Leave a Reply

Skip to toolbar