Home / Kenyataan Akhbar / MBM KESAL YB KARPAL SINGH SAMAKAN HIMPUNAN SEJUTA BELIA DENGAN PERHIMPUNAN BERSIH

MBM KESAL YB KARPAL SINGH SAMAKAN HIMPUNAN SEJUTA BELIA DENGAN PERHIMPUNAN BERSIH

KENYATAAN MEDIA

SDR. MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE

PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM KESAL YB KARPAL SINGH SAMAKAN HIMPUNAN SEJUTA BELIA

DENGAN PERHIMPUNAN BERSIH

Majlis Belia Malaysia (MBM) berasa amat kesal dan terhina dengan kenyataan YB Karpal Singh, Ahli Parlimen Tasik Gelugor yang seolah-olah menyamakan perhimpunan haram Gabungan Pilihanraya Bersih Dan Adil (BERSIH) dengan Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya baru-baru ini.

Kenyataan beliau dalam portal Free Malaysia Today amatlah memalukan dan tidak wajar memandangkan Himpunan Sejuta Belia adalah merupakan satu program yang dirancang secara teratur dengan melibatkan pelbagai program yang amat berfaedah kepada para belia seperti program pameran pendidikan dan kerjaya, sukan, kebudayaan, perniagaan dan sebagainya.

Program ini juga merupakan acara rasmi kerajaan melibatkan 220 acara bagi memberi peluang kepada belia terutamanya dalam soal pembinaan kerjaya dan pembangunan modal insan. Ia juga melibatkan semua agensi kerajaan serta kementerian sedangkan perhimpunan BERSIH adalah satu perhimpunan haram yang bertujuan mendatangkan kemudaratan dan suasana huru hara di kawasan yang menjadi tumpuan orang awam di ibu Negara.

Kenyataan YB Karpal Singh yang menyamakan perhimpunan BERSIH dengan Himpunan Sejuta Belia adalah bertujuan mengelirukan rakyat khususnya golongan belia agar turut menyokong perhimpunan ini.

MBM juga mempersoalkan tindakan YB Karpal Singh yang turut mengheret Himpunan Sejuta Belia kepada isu perhimpunan BERSIH sedangkan beliau sendiri tidak terlibat dengan apa-apa program belia apatah lagi dengan Himpunan Sejuta Belia ini.

MBM mahu YB Karpal Singh jangan sesuka hati mengeluarkan kenyataan dan menyeru semua pihak serta para belia agar tidak terpengaruh dan menjauhi perhimpunan haram BERSIH kerana kita mempunyai cara dan saluran yang betul bagi meluahkan pandangan kepada kepimpinan Negara.

Sekian, terima kasih.

MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE
Presiden
Majlis Belia Malaysia

Tarikh    : 4 Julai 2011

About Bee Zaleha

Leave a Reply