Home / Kenyataan Akhbar / MAJLIS BELIA MALAYSIA (MBM) GANTUNG HUBUNGAN DENGAN JAKARTA

MAJLIS BELIA MALAYSIA (MBM) GANTUNG HUBUNGAN DENGAN JAKARTA

malikilogo

KENYATAAN AKHBAR

SDR. MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE

PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA

MAJLIS BELIA MALAYSIA (MBM) GANTUNG HUBUNGAN DENGAN JAKARTA

Majlis Belia Malaysia (MBM) melahirkan rasa kesal dan dukacita terhadap insiden segelintir rakyat Indonesia yang secara berterusan mencaci serta menghina Negara ini ketika mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta.  Insiden tersebut  kini bertambah buruk dengan tindakan yang lebih agresif dengan menceroboh premis  perniagaan rakyat Malaysia dan ada yang bertindak di luar batasan dengan mengancam keselamatan rakyat Malaysia .

MBM mendapati sehingga hari ini tiada tindakan tegas telah diambil oleh Jakarta dan NGO-NGO lain bagi menghalang tindakan liar kumpulan ini. Malah pihak media kelihatan memberikan publisiti yang meluas seolah menggalakkan lagi tindakan provokasi tersebut. Jakarta seolah-olah tidak mampu melakukan apa-apa tindakan secara serius dan hanya mampu memberikan janji-janji manis kepadaMalaysia bagi menjamin keselamatan rakyat dan kepentingan Malaysia  di Indonesia.

MBM juga merasakan bahawa surat bantahan yang dihantar oleh MBM dan NGO-NGO lain ke Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur hanyalah sia-sia sahaja kerana  tiada tindakan proaktif telah diambil oleh pihak terbabit  untuk menggesa Jakarta bertindak dengan lebih berkesan.

MBM melihat tindakan Jakarta yang tidak serius dalam menangani perkara tersebut boleh menyebabkan hubungan dua hala antara dua buah negara akan terjejas teruk.

Sehubungan itu, sebagai tanda bantahan dan mempertahankan kedaulatan Negara dan rakyat Malaysia, MBM mengambil tindakan untuk menggantung semua hubungan antara belia Malaysia – Indonesia  sama ada melalui program pertukaran belia, dialog dan lawatan kerja termasuklah Dialog MALINDO yang dijadualkan pada  hujung tahun ini di Indonesia. Penggantungan ini akan berterusan sehinggalah MBM merasakan Jakarta dan rakan NGO belia di sana iaitu Komite Nasional Pemuda Indonesia (KNPI) telah mengambil langkah yang perlu bagi meredakan keadaan ini.

MBM juga menggesa agar Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) menilai semula keputusan  menyertai Sukan Bandung (Bandung Games) yang akan berlangsung pada Oktober ini di Bandung, Indonesia.  Penarikan diri ini sangat penting bagi menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mempunyai harga diri sebagai warganegara sebuah Negara yang berdaulat dan tidak boleh dicaci dan dihina sewenang-wenangnya.  Keputusan meneruskan program sukan ini dibimbangi akan dijadikan bahan sindiran seolah-olah rakyat Malaysia terlalu  lemah dan tidak mampu mempertahankan maruah bangsanya.

Jika KBS bertindak menarik diri dari sukan tersebut, ianya akan memberi kesan yang besar kepada pemerintah Indonesia dan ianya menunjukkan bahawa Malaysia begitu serius mahu Jakarta dengan segera menyelesaikan pergolakan tersebut. MBM juga mahu agensi-agensi kerajaan yang lain mengambil tindakan yang sama bagi memberi kesedaran kepada Jakarta yang kini hanya mampu melihat rakyatnya bertindak agresif bagaikan melepaskan batuk di tangga. Ini akan memberi gambaran kepada Jakartabahawa kita sanggup melakukan apa sahaja demi menjaga kedaulatan dan maruah negara dari dipijak-pijak oleh rakyat mereka.

Namun begitu, MBM tetap yakin dan percaya bahawa apa jua masalah yang timbul antara dua buah negara tetangga yang berpegang pada ajaran Islam mampu diselesaikan melalui proses diplomatik. Insiden yang hampir sama telah berlaku di perbatasan Malaysia – Thailand tetapi ianya telah berjaya diselesaikan secara aman melalui saluran diplomatik  sedangkan kedua-dua buah negara tidak mempunyai sebarang persamaan dari segi budaya, bahasa serta agamanya.

Akhir kata, MBM menyanjung tinggi sikap serta akhlak rakyat Malaysia yang tidak mudah melatah serta terpengaruh dengan tindakan segelintir rakyat Indonesia. RakyatMalaysia masih lagi berpendirian rasional atas apa yang berlaku pada hari ini dan sebelumnya kerana kita telah dididik  dengan nilai-nilai murni sejak sekian lama dan kita amat bertuah kerana mempunyai negara yang harmoni serta kerajaan yang begitu prihatin dengan nasib rakyatnya.

Sekian. Terima kasih.

MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE

Presiden

Majlis Belia Malaysia

Tarikh  : 3 September 2010

About Bee Zaleha

Leave a Reply