Home / Artikel / Pengguna mesti proaktif pertahan hak

Pengguna mesti proaktif pertahan hak

Monday, 05 July 2010

MINYAK_2

Rakyat perlu anjakan minda ubah tingkah laku kepenggunaan, bijak pengaruhi harga

PADA 2008, pengguna Malaysia mengalami krisis kenaikan harga makanan dan minyak secara mendadak. Ia membawa kesan negatif kepada rakyat khususnya yang miskin dan terpinggir. Krisis kenaikan harga makanan dan petroleum ketika itu bukan saja memberi impak kepada pengguna di Malaysia, pengguna seluruh dunia sebagai fenomena global.

Walaupun kenaikan harga fenomena global, di Malaysia wujud masalah serius iaitu persepsi rakyat.

Apabila harga makanan dan minyak naik, ramai pengguna marah terhadap kerajaan dan pengeluar minyak. Mereka berpendapat, menjadi tugas dan tanggungjawab kerajaan mengekalkan harga pada paras rendah tidak kira apapun yang berlaku di pasaran dunia. Persepsi seperti ini tidak tepat dan tidak realistik.

Pasaran Malaysia agak terbuka. Oleh itu, sebarang perubahan harga di dunia ada kesan secara langsung atau tidak langsung kepada pengguna Malaysia. Tambahan pula, harga ditentukan penawaran dan permintaan. Dalam konteks dunia sekarang, yang menyaksikan penawaran semakin menurun lantaran sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui semakin berkurangan. Selain itu, perubahan iklim dan permintaan semakin naik kerana pengguna kelas pertengahan yang baru di China dan India juga mewujudkan tekanan kepada kenaikan harga barangan pada peringkat antarabangsa.

Peranan kerajaan dalam penentuan harga agak terbatas. Kerajaan dapat menentukan harga barang tertentu melalui mekanisme kawalan harga iaitu melalui subsidi makanan dan minyak.

Dalam pembentangan pada Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi, Datuk Seri Idris Jala, memberi gambaran bahawa pada tahap sekarang ini kerajaan secara purata mengeluarkan sehingga RM12,900 setahun bagi setiap isi rumah pada 2009 tidak kira sama ada miskin atau kaya.

Seterusnya subsidi menggalakkan penyeludupan, sorok dan penggunaan berlebihan.
Pemberian subsidi yang diamalkan kini secara jelas tidak mapan. Dalam konteks ini pengguna harus memahami perkara berikut.

  • Peranan pasaran dalam penentuan harga.
  • Keterbatasan kerajaan dalam penentuan harga.
  • Kesan subsidi kepada ekonomi negara bukan saja kepada rakyat pada masa kini tetapi juga kesan kepada generasi akan datang.Seterusnya, pengguna tidak harus berasakan mereka mangsa pasif kepada kesan ekonomi. Mereka sebenarnya mampu menjadi pengguna yang bijak dan proaktif.

Namun, sudah tentu ini tidak akan berlaku secara automatik. Pengguna perlu pengetahuan, kemahiran dan perubahan sikap. Dengan itu, mereka akan melakukan anjakan minda seterusnya mengubah tingkah laku penggunaan. Perubahan ini hanya berlaku melalui kesedaran, latihan dan pendidikan pengguna.

Dalam konteks ini, FOMCA dengan kerjasama tiga organisasi peringkat kebangsaan iaitu Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) melancarkan Kempen Konsumer Kebangsaan pada 6 Mei 2008. Pada 1 Januari 2009, Petronas turut menjadi rakan kongsi kelima.

Tema kempen iaitu Perubahan Bermula Dengan Saya mencerminkan asas kempen iaitu pengguna harus lebih bertanggungjawab untuk melindungi dan mempertahankan kepentingan.

Mereka tidak harus mengharapkan semata-mata kepada kerajaan untuk menjaga kepentingan itu. Mereka harus memperoleh ilmu untuk menjamin kepentingan diri.

Kempen 3K dikendalikan melalui tiga kaedah. Pertama, melalui media massa. Dua rancangan radio diadakan untuk memberi panduan kepada pengguna mengenai kaedah menguruskan kewangan serta mengurangkan perbelanjaan. Seterusnya satu laman sesawang 3K juga diwujudkan.

Kedua, sempena kempen 3K, FOMCA mengendalikan beberapa kempen kebangsaan untuk menyedarkan pengguna mengenai beberapa aspek kepenggunaan iaitu:

  • Minggu Tidak Menonton Televisyen.
  • Hari Tidak Berbelanja.
  • Kempen Melindungi Anak Kita.
  • Kempen tanam Sendiri.
  • Kempen Gaya Hidup Sihat.
  • Kempen Wanita Sebagai Pengguna.

Ketiga, FOMCA mengendalikan program latihan 3K pada peringkat akar umbi. Ia dianggap program paling penting dalam pelaksanaan kempen 3K.

Program itu dikendalikan secara bersemuka dengan pengguna khususnya yang miskin di bandar, pinggiran bandar dan luar bandar.

Program latihan itu merangkumi topik seperti hak dan tanggungjawab pengguna, penggunaan berhemat, pengurusan kewangan dan cara berkesan membuat aduan.

Selain itu, 25 risalah diterbitkan merangkumi topik seperti penggunaan berhemat, pengurusan kewangan, berkebun di rumah, gaya hidup sihat, jimat penggunaan elektrik, lindungi alam sekitar, jimat penggunaan air dan cara mudah menjimatkan petrol.

Objektif utama kempen 3K adalah perubahan corak penggunaan pengguna. Adakah program dan aktiviti kempen 3K yang dijalankan pada 2009 mencapai objektif?

Berdasarkan soal selidik dikendalikan, didapati ada perbezaan signifikan antara pengguna yang menghadiri program 3K dengan mereka yang tidak hadir, berkaitan kepelbagaian niat untuk mengubah tingkah laku.

Seramai 30 peserta program latihan 3K dipilih secara rawak selepas sebulan menghadiri program ini.

Mereka diminta memberi maklum balas mengenai perbezaan pada diri sebelum dan selepas menghadiri program latihan 3K.

Antara jawapan diterima termasuk mengurangkan penggunaan elektrik, merancang kewangan, menyenaraikan barangan sebelum keluar membeli-belah, menanam sayuran di halaman rumah dan mengetepikan wang untuk simpanan sebelum membelanjakan pendapatan.

Maka jelas, kempen ini memberi kesan kepada pengguna dan mempengaruhi mereka untuk menjadi pengguna yang bijak dan proaktif.

Penulis ialah Penyelaras Nasional 3K dan Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA

About admin

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino