Home / Artikel / Belia dan patriotisme

Belia dan patriotisme

image_pdfimage_print

TAHUN 2010 bakal berakhir dan 2011 akan menjelma. Tentunya banyak perkara yang belum dilunaskan dan banyak juga yang masih berada di takuk lama. Isu-isu mengenai belia juga banyak mewarnai 2010. Daripada berita kejayaan hingga kepada pelbagai masalah yang membabitkan golongan itu.

Yang paling sinonim dengan mereka ialah gejala sosial. Sama ada dadah, bohsia, rempit, ragut dan seks luar nikah. Ia banyak membabitkan golongan belia.

Kewujudan semua masalah itu banyak berkaitan dengan ketiadaan jati diri. Satu lagi isu yang sering dibangkitkan ialah nilai patriotisme yang dikatakan semakin menipis dalam kalangan belia.

Belia dikatakan lebih suka mengejar kebendaan dan perkara yang berkaitan hiburan sehingga mereka lupa kepada nilai patriotisme. Ini menyebabkan mereka mudah terjerumus ke dalam pelbagai kancah masalah. Patriotisme adalah dari akar perkataan Inggeris ‘patriot‘. Ia berasal dari bahasa Greek iaitu ‘patriotes‘ yang bermakna rakan senegara.

Secara umumnya patriotisme boleh dirujuk sebagai perasaan bangga dan cinta kepada negara dan sedia berkorban deminya.

Ia bersifat rohani, rasa cinta yang bersungguh-sungguh dan mempertahankan setiap simbol yang berkaitan dengan negara.

“Biarpun, kayu ukur patriotisme sangat subjektif, namun ia tetap boleh dilihat menerusi sikap kebanggaan individu menjadi warganegara sesebuah negara.

“Riak balas individu jika negara diperlekehkan dan membetulkan keadaan sekiranya berlaku salah laku dalam negara,” kata Naib Presiden MAYC Kebangsaan, Budiman Mohd. Zohdi.

Kefahaman patriotisme adalah berbeza antara setiap individu dengan individu lain. Ia bergantung kepada bagaimana mereka dibesarkan dan pengalaman hidup yang dilalui. Jika ditanya kepada pejuang kemerdekaan dan para belia masa kini, tentunya akan berlaku pertembungan pendapat dari segi penghayatan patriotisme.

Sebab itu kata Budiman, makna patriotisme iaitu kecintaan kepada negara tidak akan berubah sampai bila-bila. Katanya, apa yang berbeza ialah pendekatan untuk menunjukkan rasa kecintaan tersebut. Apa pun cabaran pada 2011 amat mencabar rakyat negara ini termasuk masyarakat belia.

Pertembungan ekonomi Amerika Syarikat dan China dijangka akan memburukkan keadaan ekonomi dunia. Malaysia juga akan menerima tempiasnya. Penembusan jalur lebar yang semakin meningkat menyebabkan maklumat akan sampai ke setiap jendela biarpun tanpa dipinta.

Maklumat-maklumat ini jika gagal diurus dengan sempurna boleh menghakis identiti bangsa dan negara. Aliran maklumat sama ada yang bermanfaat mahupun yang negatif tidak mampu disekat.

Ini kesan daripada globalisasi yang mana ia telah mengubah trend kehidupan menjadi gaya hidup sejagat. Golongan yang menguasai media dan satelit akan menentukan corak kehidupan orang lain. Golongan pemilik itu yang akan menentukan perkara yang bakal dijadikan rujukan dalam hidup. Jika bahan siaran televisyen dari Amerika Syarikat, Hong Kong dan Indonesia yang menjadi rujukan rakyat negara ini, maka sudah tentu budaya masyarakat kita akan mengikut acuan budaya popular dari negara terbabit.

Maklumat-maklumat yang dihidangkan oleh negara tersebut menjadi model utama dalam proses sosialisasi masyarakat negara ini.

Sebab itu kata Budiman, semangat patriotisme mesti dipupuk dan disuburkan. Hanya melalui pemupukan semangat itu dalam kalangan generasi belia, sedikit sebanyak dapat dijadikan benteng bagi menghadapi ancaman budaya luar.

“Hanya dengan semangat ini ia akan menjadi benteng yang kekal untuk mencintai negara dan mempertahankan identiti diri,” katanya.

Budiman memberitahu, Indeks Belia Malaysia (2008) yang dibentuk dari sejumlah 4,673 sampel yang berumur dari 15 hingga 40 tahun menunjukkan skor petunjuk Patriotik meningkat dari 68.2 pada tahun 2006 kepada 69.4 pada tahun 2008.

“Walaupun ada peningkatan terhadap skor tersebut, tetapi jika tidak dipelihara oleh generasi kini, tidak mustahil akan menyebabkan negara dijajah lagi walaupun dalam situasi yang berbeza,” katanya. Penjajahan itu boleh berlaku melalui kemasukan doktrin pemikiran luar yang mempengaruhi belia yang mahukan ketidakstabilan politik berlaku dalam negara.

Ini dapat dilihat melalui sikap belia yang sanggup membakar Jalur Gemilang, tidak menghormati lagu Negaraku dan menonjolkan Malayan People’s Anti Japanese Army (MPAJA) sebagai ikon patriotisme mereka.Doktrin luar itu yang menyebabkan belia kita sanggup memburukkan Malaysia di negara luar.

Sebab itu kata Budiman, kita tidak boleh alpa kerana ia adalah petanda kepada penghakisan nilai patriotisme. “Keadaan menjadi semakin sulit apabila tindakan ini disokong oleh individu-individu tertentu demi kepentingan politik kepartian mereka.

“Senario ini dijangka akan berterusan jika yang melakukan kesalahan tidak rasa bersalah kerana tidak didakwa, bahkan mencipta keegoan kerana disokong oleh puak yang berkepentingan,” ujarnya. Untuk memastikan belia mempunyai benteng dan tidak terpengaruh dengan doktrin luar yang boleh melenyapkan nilai mereka, perlu ada proses untuk menyuburkan semangat dan nilai patriotisme.

Ini merupakan satu proses kehidupan yang panjang. Sama ada secara langsung atau tidak. Melalui pendidikan formal dan tidak formal.

“Pelan Strategik Patriotisme Negara yang menyeluruh dan komprehensif mesti diperkenalkan. “Ia bermatlamat agar semua rakyat negara ini mempunyai roh patriotisme dalam diri, memahami makna patriotisme dan menterjemahkan dalam tindakan.

“Penambahbaikan kurikulum pendidikan, kefahaman pemilik media cetak, elektronik dan sosial akan membantu meningkatkan semangat patriotisme,” jelas Budiman. Selain itu, kepelbagaian masyarakat yang unik di negara ini mesti diurus dengan baik dan mengambil kira supaya semangat patriotisme dirasai dengan menyeluruh.

Untuk itu kata Budiman, gagasan 1Malaysia merupakan satu jenama nasional yang mesti disokong. Identiti etnik tidak boleh dibiarkan menjadi punca yang memecahbelahkan perpaduan hingga mengganggu gugat kestabilan negara. Malaysia adalah tanah tumpah darah setiap rakyatnya tanpa mengira kaum.

“Pepatah lama memperingatkan di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Nasionalis Allahyarham Dr. Burhanuddin Al Helmi pernah mengingatkan ‘di atas runtuhan kota Melaka, ki ta dirikan jiwa merdeka’.

“Ahli Falsafah Rom pula mengungkapkan ‘ubi panis, ibi patria‘ yang maksudnya di mana ada roti, di sanalah negaraku,” ujarnya.

Seperti kata Budiman, tidak salah jika para belia menjadikan agenda menyuburkan semangat patriotisme sebagai azam utama tahun 2011.

About admin

Profile photo of admin

Leave a Reply

Skip to toolbar