Home / Wawancara / 3K pacu belia ke Wawasan 2020

3K pacu belia ke Wawasan 2020

image_pdfimage_print

Tuesday, 22 May 2007

YO!: Wawancara

3K pacu belia ke Wawasan 2020

Ada 13 tahun saja lagi. Apabila dicampur angka itu dengan tahun 2007, bermakna Malaysia akan mencapai gagasan Negara iaitu Wawasan 2020. Satu pihak melihat 13 tahun masih lama, tetapi satu pihak lagi menganggap tempoh tersebut sebenarnya pendek. Alasannya ialah ‘pejam celik pejam celik’ (siang berganti malam) tahun 2020 sudah agak dekat. Masalahnya, adakah seluruh warga Malaysia terutama generasi muda benar-benar mampu untuk berdepan dengan era 2020 yang persaingannya ternyata lebih kompleks. Malaysia kini mempunyai kira-kira 11 juta rakyat berstatus belia. Namun begitu, Cuma kira-kira tiga juta sahaja yang menganggotai organisasi belia.

Kira-kira tiga juta orang belia berpersatuan itu pula, mereka dipayungi oleh satu organisasi besar iaitu Majlis Belia Malaysia (MBM). Kali ini wartawan YO!, Bazli Abdul Rahman menemu bual Presiden MBM, Dato’ Shamsul Anuar Hj. Nasarah bagi mengetahui sejauh manakah persediaan belia untuk mendepani tahun 2020.

 Yo!: Daripada 11 juta belia, Cuma tiga juta berpersatuan. Bagaimana MBM boleh membentuk lapan juta orang lagi?

 Shamsul : Saya akui perangkaan itu. Sebenarnya adalah mustahil semua 11 juta belia (berumur 15 hingga 40 tahun) yang ada di negara ini akan berpersatuan secara aktif. Lainlah jika ada satu undang-undang yang mewajibkan setiap belia mesti berpersatuan. Sekarang cuma 3 juta golongan muda menyertai 40 organisasi belia manakala lapan juta lagi kedudukannya secara berterabur. Maksud berterabur itu ialah daripada lapan juta sebahagian besar masih di bangku sekolah menengah, di institut pengajian tinggi (IPT) termasuk universiti manakala yang lain sudah bekerja. Penuntut IPT pula tidak boleh aktif berpersatuan belia kerana terikat dengan akta universiti. Walaupun mereka (pelajar, penuntut IPT dan belia yang berkerja) tidak boleh terlibat secara langsung dengan program MBM tetapi yang penting bagi kami ialah mereka tahu MBM menyediakan program pembangunan untuk mereka sebagai kumpulan sasar.

 Yo!: Tahun 2020 kian hampir. Bagaimana cara MBM mendekatkan diri dengan belia demi memacu mereka untuk mencapai Wawasan 2020?

 Shamsul: Banyak cara yang telah kita laksanakan. Antaranya ialah MBM memberi tumpuan kepada konsep 3K iaitu Kepimpinan, Kemahiran dan Keusahawanan. Konsep 3K itu pula MBM pecahkan kepada lima bahagian iaitu ilmu pengetahuan, masalah sosial dan dadah, memasyarakatkan gerakan belia, mengantarabangsa belia dan keahlian pertubuhan belia. Untuk mendampingi mereka kita mengambil pendekatan yang bersifat matang dan global. MBM sentiasa memahami kehendak dan cita rasa orang muda yang telah berubah. Kita tidak boleh lagi menggunakan budaya lama. Contohnya, dulu orang muda mudah dipanggil ke dewan sivik di kampung bagi mendengar ceramah. Kini, amalan lama itu sudah tidak digemari lagi. Belia mahu ke program yang menyeronokkan seperti aktiviti bersukan dan ada unsur hiburan. Menerusi program sebegitu barulah MBM dapat kumpulkan mereka, kemudian kita selit atau tanamkan semangat memajukan diri dan negara. Secara tidak langsung kita dapat jadikan belia sebagai tonggak utama pembangunan Malaysia.

 Yo!: Kenapa MBM tidak menggunakan cara pembangunan belia negara lain seperti di Eropah sebagai contoh di Malaysia?

 Shamsul: Kita mahu majukan Malaysia mengikut acuan sendiri. Sebab itulah kita tidak meniru bulat-bulat pendekatan yang digunakan di sesetengah negara. Sebenarnya, gerakan belia di Malaysia berbeza dengan di Amerika Syarikat, Afrika dan Filipina. Organisasi belia kita bukan tidak kuat, tetapi ada perbezaannya apabila dibandingkan dengan di negara-negara yang saya sebutkan tadi. Ini kerana organisasi belia di sini memiliki pemimpin yang terdiri dari individu yang kuat bekerja, termasuk dalam kabinet sendiri. Dalam kesempatan ini saya menyeru supaya orang muda mestilah faham bahawa mereka sekarang sudah menjadi ’pemain terbaik’ untuk mencapai Wawasan 2020 nanti.

 Yo!: Bagaimana pula cara pelaksanaan 3K MBM?

 Shamsul: Dalam aspek keusahawanan, kami bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Menerusi kerjasama itu, MBM memperjelaskan buat orang muda mengenai peluang perniagaan, peluang mendapat kemahiran  dan peluang memperoleh  pinjaman yang disediakan oleh kementerian berkaitan. Pada masa yang  sama MBM mengambil pendekatan memaklumkan kepada belia bahawa peluang perniagaan bukan hanya berkisar di Malaysia sahaja. Pasaran global juga perlu mereka beri perhatian, terutama ke China, India dan Vietnam. Kita kena ingat bahawa pembangunan di tiga negara itu sedang melonjak yang secara tidak langsung ia turut memberi kesan kepada pembangunan di negara ini sendiri. Berteraskan kepada kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu juga MBM mahu melahirkan lebih ramai usahawan peringkat rendah termasuk menjelaskan kepada belia mengenai fungsi Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (CIDB). Dalam aspek kepimpinan pula, MBM sentiasa melatih anak muda untuk diberikan kefahaman tentang kepimpinan yang tulen. Bagi mencapai matlamat itu, kami kenalah merapati mereka menerusi pertemuan seperti forum dan mengedarkan risalah bermaklumat. Pada masa yang sama, MBM juga memberikan penekanan secara lebih serius untuk memastikan belia kita sentiasa memiliki pengetahuan yang berganda. Pengetahuan itu termasuklah berhubung bahayanya pelbagai gejala sosial terutama penyalahgunaan dadah.

About admin

Profile photo of admin

Leave a Reply

Skip to toolbar