Home / Kenyataan Akhbar / KEMPEN JALUR GEMILANG MAJLIS BELIA MALAYSIA SEMPENA HARI KEMERDEKAAN NEGARA KALI KE – 49

KEMPEN JALUR GEMILANG MAJLIS BELIA MALAYSIA SEMPENA HARI KEMERDEKAAN NEGARA KALI KE – 49

Friday, 25 August 2006

Majlis Belia Malaysia (MBM) yang merupakan badan induk kepada 40 buah pertubuhan belia dan mewakili golongan belia di Malaysia mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan kali ke – 49 kepada seluruh rakyat di negara ini.

MBM telah menyusun beberapa aktiviti bersempena bulan kemerdekaan ini dengan kerjasama Badan-badan Gabungan MBM di peringkat kebangsaan dan negeri. Aktiviti-aktiviti ini diatur di bawah Program Karnival Kemerdekaan MBM.

MBM bersama-sama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia akan mengadakan kempen mengedar Jalur Gemilang dan sticker kereta yang bertemakan “Hargai Kemerdekaan Negara – Penderitaan Orang Lain Menginsafkan Kita” di seluruh negara secara serentak pada 28 Ogos 2006 (Isnin) bermula jam 10.00 pagi.

Majlis Pelancaran akan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB Datuk Azalina Dato’ Othman Said pada 28 Ogos 2006 (Isnin) jam 10.00 pagi di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur.

YB Menteri Belia dan Sukan bersama Presiden MBM, Exco dan 100 orang sukarelawan MBM akan terlibat sama dalam mengedarkan Jalur Gemilang (bendera kereta) dan sticker secara percuma kepada pengguna-pengguna tol tersebut.

Serentak dengan pelancaran tersebut, majlis yang sama akan berlangsung di lokasi terpilih seluruh negara seperti Plaza Tol Batu Tiga Shah Alam (Selangor), Juru (Pulau Pinang), Skudai (Johor), Ipoh Selatan (Perak), Alor Setar Selatan (Kedah), Seremban (Negeri Sembilan) dan Ayer Keroh (Melaka), KB Mall (Kelantan), Pejabat Majlis Belia Negeri Terengganu, (Terengganu) dan Kangar, (Perlis).

Penganjuran program seumpama ini adalah sebagai satu usaha mengajak rakyat Malaysia terutamanya golongan belia untuk bersama-sama menghayati erti kemerdekaan agar semangat cintakan negara sentiasa tersemat dalam diri sekaligus meningkatkan rasa tanggungjawab terhadap keselamatan, keamanan dan kemakmuran negara.
Bagi menyemarakkan program ini, MBM dan Kementerian Belia dan Sukan mengadakan majlis simbolik penyerahan 15,000 Jalur Gemilang kepada persatuan-persatuan belia di bawah naungan MBM. Pada majlis ini juga, MBM akan menyerahkan sticker kereta kemerdekaan sebanyak 20,000 unit. Majlis penyerahan ini akan dilakukan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB Dato’ Liow.

MBM juga menyeru pertubuhan belia di semua peringkat supaya mengambil inisiatif menganjurkan aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk disertai belia daripada pelbagai kaum. Dengan cara demikian,  semangat penyatuan dan perpaduan dapat dipupuk di kalangan generasi muda di samping membangkitkan kesedaran serta rasa syukur nikmat kemerdekaan seperti yang dikecapi kini.

Pada masa sama, MBM berharap golongan belia yang menyertai acara-acara Hari Kemerdekaan supaya dapat menzahirkan semangat patriotik kepada negara secara sopan serta tidak bertentangan dengan nilai serta budaya masyarakat kita. Buktikan kepada semua bahawa belia Malaysia mempunyai semangat dan disiplin yang tinggi lebih-lebih lagi ketika menyambut ulang tahun kemerdekaan tanah air sendiri.

Sambutan kemerdekaan akan menjadi lebih bermakna jika golongan belia hari ini mempunyai azam untuk berubah serta bekerja keras meningkatkan jati diri dengan mencontohi semangat juang, cita-cita dan harapan pemimpin-pemimpin kemerdekaan terdahulu.

Terima kasih.

SHAMSUL ANUAR HJ NASARAH
Presiden

About Bee Zaleha

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino