Home / Artikel / Meletak Malaysia di peta belia dunia

Meletak Malaysia di peta belia dunia

image_pdfimage_print

Oleh Saifuddin Abdullah
Hari ini ialah kali ketiga Hari Belia Dunia dirayakan. Ia diisytiharkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai menyahut cadangan Persidangan Dunia Menteri-Menteri Mengenai Hal Ehwal Belia Pertama yang dianjurkan PBB dengan kerjasama kerajaan Portugal di Lisbon pada 1998. Cadangan awalnya ialah menggunakan tarikh hari perasmian persidangan itu, iaitu 8 Ogos. Tetapi, memandangkan ia telah terlebih dahulu digunakan sebagai Hari Belia ASEAN, maka dipilihlah tarikh hari penutupnya, iaitu 12 Ogos.

PBB mendefinisikan belia sebagai mereka yang berumur 15-24 tahun. Justeru, belia adalah 20 peratus daripada penduduk dunia. Namun, tidak semua negara mempunyai definisi yang sama. Ada yang menggunakan kumpulan umur 6-30, 12-25, 14-19, 14-29, 15-30, 15-35 dan 18-30.

Definisi belia yang bersandarkan kumpulan umur bukanlah yang paling sempurna. Malahan, memang terdapat beberapa cara lain untuk mendefinisikan belia. Contohnya ialah menggunakan teori psikologi pengembangan atau antropologi dan sosiologi. Tetapi, bagi membolehkan sesuatu dasar sosial digubal, maka sesuatu kumpulan umur tetap diperlukan.

Forum Belia Dunia anjuran PBB yang terakhir, iaitu di Dakar, Senegal, pada tahun lalu, membentuk konsensus agar kumpulan umur itu dilanjutkan hingga 30 tahun. Sama ada disengajakan atau tidak, konsensus tersebut senada dengan satu teori pengembangan yang mencadangkan tahap tambahan remaja sehingga umur 30 tahun. Jika konsensus belia ini dipengaruhi realiti negara masing-masing, maka teori pengembangan ini dipengaruhi pula oleh perubahan dan keperluan sosioekonomi kontemporari.

Definisi Malaysia, yang dipakai sejak Dasar Belia Negara (1985), iaitu 15-40 tahun, sebenarnya menjadikan belia Malaysia sebagai belia paling tua di dunia! Kerana itu, tidak hairanlah, jika setelah seseorang itu melampaui umur 40 tahun, tetapi masih mengaku belia, maka beliau digelar belia purba!

Kerana itu, adalah dianjurkan supaya mereka yang telah melampaui umur siling itu agar tidak memegang jawatan dalam persatuan belia. Tetapi, jika masih berminat dengan dunia belia, mereka wajar melibatkan diri melalui badan-badan yang berkaitan dengan belia, seperti yayasan, institut dan sebagainya, iaitu sebagai penasihat, jurulatih dan pengajar.

Perkara ini penting kerana ia mencer-minkan kefahaman dari segi perspektif yang tepat tentang dunia belia. Jika definisi belia pun tidak difahami dengan tepat, bayangkanlah betapa sukarnya untuk memahami pendekatan-pendekatan dan bidang-bidang baru seperti penghakupayaan belia atau youth empowerment, belia dan masyarakat sivil, tadbir urus baru dan politik baru bagi belia.

Apakah hubungan di antara perspektif yang tepat tentang dunia belia dengan Hari Belia Dunia ini? Sebenarnya, isunya bukanlah sangat Hari Belia Dunia. Isu yang sebenar ialah bahawa dunia belia Malaysia perlu mempunyai pandangan dunia yang lebih luas.

Ini meliputi pelbagai spektrum atau dimensi. Dari satu segi, dunia belia Malaysia dapat belajar daripada dunia belia antarabangsa, terutamanya yang berlaku di PBB, iaitu peringkat yang paling tinggi. Manakala dari segi yang lain pula, dunia belia antarabangsa juga dapat belajar daripada Malaysia.

Contohnya, dasar belia Malaysia yang pertama (1985) itu adalah bersempena de-ngan tahun tersebut yang diisytiharkan PBB sebagai Tahun Antarabangsa Bagi Belia. Manakala, proses dari bawah ke atas (atau kini popular sebagai penghakupayaan belia) yang dipelopori MBM dalam penggubalan kedua-dua dasar belia Malaysia (1985 dan 1997) itu diterima oleh Persidangan Dunia di Lisbon pada 1998 itu sebagai satu amalan terbaik yang perlu diteladani.

Sebenarnya, dunia belia Malaysia perlu meningkatkan interaksinya dengan dunia belia antarabangsa. Tetapi, bukan terhad kepada persatuan dan program belia sahaja. Yang lebih penting lagi ialah dari segi dasar dan keputusan dunia belia antarabangsa.

Dari segi persatuan belia, prestasi MBM sukar ditandingi. Kini, di samping setiausaha agung dan sekretariat Majlis Belia Asia (AYC) dan Jawatankuasa Kerjasama Belia ASEAN (CAYC), ia juga presiden dan sekretariat Himpunan Belia Sedunia (WAY).

Lebih penting lagi, MBM telah meneroka pendekatan-pendekatan dan bidang-bidang baru kerjasama belia antarabangsa. Contohnya, dengan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Asia Pasifik PBB (ESCAP), ia adalah konsultan bagi dasar dan latihan belia. Ia juga pengasas Majlis Antarabangsa Bagi Dasar Belia Negara (ICNYP) yang berpusat di Vienna.

Kemuncak interaksi dunia belia antarabangsa bagi MBM ialah apabila Kofi Annan menubuhkan Panel Tertinggi Setiausaha Agung PBB Tentang Pekerjaan Bagi Belia yang dipengerusikannya sendiri, salah seorang daripada dua belas ahlinya, dan satu-satunya daripada persatuan belia, adalah daripada MBM. Kini, suara belia Malaysia dapat disampaikan terus kepada Setiausa-ha Agung PBB dan hasilnya terus menjadi resolusi PBB.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga semakin aktif di pentas dunia belia antarabangsa. Pada 1998, KBS berjaya mendapatkan persetujuan negara-negara ASEAN atas Dasar Belia ASEAN yang dicadangkannya. Melalui perkongsian maklumatnya, Program Rakan Muda kini diterima sebagai satu amalan terbaik.

Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda dilancarkan tahun ini sebagai versi tempatan bagi program antarabangsa Duke of Edinburgh Award. Manakala, sebagai rakan pembangunan, mulai tahun ini, KBS dan MBM, telah memulakan Perkhemahan Belia Antarabangsa Malaysia (MIYOCA) sebagai program belia antarabangsa tahunan buatan Malaysia.

Terdapat dua mercu tanda signifikan dalam dunia belia antarabangsa. Pertama, ialah pengisytiharan PBB bahawa 1985 ialah Tahun Antarabangsa Bagi Belia. Tahun ini telah meletakkan kerangka pembangunan belia yang ditandai oleh tiga perkara, iaitu: dasar belia, agensi kerajaan bagi belia dan persatuan belia. Setiap negara anggota disaran agar mewujudkan kerangka ini.

Malaysia telah merayakan tahun tersebut secara besar-besaran. Dan ia paling diingati dengan pengumuman Kabinet me-ngenai Dasar Belia Negara.

Mercu tanda kedua ialah dokumen bertajuk Program Tindakan Belia Dunia Untuk Tahun 2000 dan Selanjutnya (WPAY) yang diluluskan PBB pada 1995. Dokumen ini menyenaraikan sepuluh bidang prioriti pembangunan belia yang perlu diambil kira oleh negara-negara anggota. Bidang-bidang itu ialah: pendidikan, pekerjaan, kebuluran dan kemiskinan, kesihatan, alam sekitar, penyalahgunaan dadah, kesalahan juvana, aktiviti masa senggang, beliawanis dan wanita muda, dan partisipasi belia.

Menurut Joop Theunissen, Ketua Unit Belia PBB, satu dokumen PBB bertajuk Laporan Belia Dunia 2003 sedang disiapkan. Ia disusun dalam tiga bahagian. Bahagian pertama menilai prestasi sepuluh bidang prioriti WPAY. Bahagian kedua membincangkan lima bidang baru, iaitu: globalisasi, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), HIV/AIDS, pencegahan konflik, dan kebergantungan intergenerasi. Manakala bahagian ketiga membuat penilaian terhadap hubungan antara belia dan PBB, khususnya masa depan Fo-rum Belia Dunia.

Dalam hal ini, Pelan Tindakan Pembangunan Belia (Pembina) yang dicadangkan MBM dan Akademi Belia supaya pelaksanaan Dasar Pembangunan Belia Negara itu menjadi lebih bersepadu dan intersektoral adalah relevan. Pembina berada di antara WPAY dan Laporan 2003 itu kerana ia memilih enam bidang utama, iaitu: Pendidikan, kesihatan, pekerjaan, sosiobudaya, partisipasi dan ICT.

Manakala, jika Forum Belia Dunia tidak diadakan lagi, WAY dan MBM telah bersiap untuk menjadikan Dialog Belia Antarabangsa Melaka (MIYD) sebagai gantinya.

Memandangkan mercu tanda dunia belia antarabangsa muncul setiap sepuluh tahun, maka kedatangan 2005 adalah satu kesempatan buat Malaysia. Mungkin sebagai tuan rumah atau sekurang-kurangnya sebagai penaja kepada satu dasar PBB tentang belia.

Penonjolan rasminya boleh bermula pada tahun depan. Sempena menjadi Pengerusi Gerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Malaysia wajar menganjurkan Persidangan Belia NAM dan OIC – yang tidak pernah wujud di peta dunia belia antarabangsa sebelum ini.

DATUK SAIFUDDIN ABDULLAH,

Pengerusi Akademi Belia.

About admin

Profile photo of admin

Leave a Reply

Skip to toolbar