Home / Berita / MBM yakin lebih bertenaga dengan penyertaan MAYC

MBM yakin lebih bertenaga dengan penyertaan MAYC

KUALA LUMPUR 8 Jan. – Majlis Belia Malaysia (MBM) yakin gerakan belia di negara ini akan lebih bertenaga dengan penyertaan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan sebagai ahli gabungannya yang baru.

Presiden MBM, Saifuddin Abdullah berkata, pertubuhan tersebut mempunyai banyak kelebihan yang boleh dimanfaatkan bersama demi kepentingan golongan belia.

Beliau berkata, MAYC Kebangsaan memiliki ramai pemimpin berpengaruh dalam masyarakat serta mempunyai bakat kepimpinan yang tentunya akan memudahkan pelaksanaan program di peringkat akar umbi.

Sehubungan itu, beliau menggesa MAYC Kebangsaan mengemukakan permohonan rasmi secepat mungkin mengenai hasratnya untuk bergabung semula.

Kata Saifuddin, prosedur tersebut perlu dipatuhi kerana ia termaktub dalam perlembagaan badan induk belia itu.

”Lagipun MAYC Kebangsaan telah memenuhi segala syarat yang ada dan kerana itu tiada sebab permohonan mereka akan ditolak walaupun kes mereka agak unik,” katanya ketika menghubungi Utusan hari ini.

Semalam, Presiden MAYC, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, pihaknya bersedia untuk bergabung semula dengan MBM bagi mengukuhkan lagi gerakan belia di negara ini.

Beliau berkata, hasrat itu bukanlah sesuatu yang menghairankan memandangkan kedua-dua belah pihak pernah bergabung sebelum ini.

Bagaimanapun, kata Syed Hamid keputusan muktamad berhubung perkara itu hanya akan diumumkan selepas mesyuarat Exco MAYC Kebangsaan pada 17 Januari ini.

Saifuddin menambah, beliau turut yakin permohonan MAYC itu akan disokong oleh kesemua pertubuhan gabungan MBM walaupun ia pernah menarik diri dari gabungan tersebut lebih 20 tahun dulu.

Ujar beliau, walaupun pertubuhan berkenaan pernah menarik diri dari MBM dahulu ekoran sebab-sebab tertentu, namun masalah lama tersebut sudah tidak diambil kira lagi.

”Apa yang penting penyertaan mereka akan mengukuhkan lagi MBM,” katanya.

Saifuddin memberitahu, antara program yang dirancang untuk digerakkan bersama MAYC Kebangsaan nanti apabila penggabungan menjadi kenyataan ialah ‘Patriotisme Alaf Baru’.

Menurutnya, MAYC Kebangsaan mempunyai rangkaian jaringan yang baik dalam gerakan belia berhubung penganjuran aktiviti di peringkat akar umbi yang membolehkan program sedemikian diperluaskan ke luar bandar.

About admin

Leave a Reply