Home / Berita / MBM syor wajibkan khidmat Internet ditapis

MBM syor wajibkan khidmat Internet ditapis

KUALA LUMPUR 8 Nov. – Majlis Belia Malaysia (MBM) menyarankan kerajaan supaya mewajibkan pembekal perkhidmatan Internet (ISP) menyediakan khidmat Internet yang bertapis.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa MBM, Norizan Sharif, banyak aduan diterima daripada ibu bapa yang bimbang dengan kemungkinan anak-anak mereka terdedah kepada laman-laman lucah dan tidak sihat sewaktu menggunakan komputer di rumah dan di kafe siber.

Dalam satu kenyataan di sini, hari ini, beliau berkata, MBM mencadangkan agar ISP menyediakan dua bentuk perkhidmatan bagi pengguna dewasa dan pengguna bawah 18 tahun.

”Cadangan ini sama seperti mewujudkan ‘jendela Islam’ di institusi kewangan sekarang yang diberi pilihan sama ada menggunakan sistem konvensional atau pembankan Islam,” katanya.

Justeru MBM mencadangkan agar kafe siber juga melaksanakan perkhidmatan Internet bertapis bagi menghindarkan pengguna bawah umur mengakses laman web lucah supaya premis itu tidak dilabel sebagai pusat menyemarakkan masalah sosial.

Norizan berkata, perkhidmatan ini telah lama diamalkan di negara-negara lain di mana pengguna membuat tapisan menggunakan perisian seperti Net-Nanny, Cyber Patrol dan sebagainya dengan tapisan dikawal oleh pengguna.

Beliau menambah, perbezaan pada cadangan MBM ialah tapisan dilakukan oleh ISP atas permintaan pengguna mengikut keperluannya.

Sehubungan itu, MBM berharap cadangan ini akan dilaksanakan agar menghilangkan rasa bimbang ibu bapa khususnya dan masyarakat amnya terhadap penggunaan Internet oleh remaja.

About admin

Leave a Reply