Home / Berita / Patriotisme Alaf Baru dilancar

Patriotisme Alaf Baru dilancar

image_pdfimage_print

KUALA LUMPUR 1 Jan. – Majlis Belia Malaysia (MBM) hari ini melancarkan projek ”Patriotisme Malaysia Alaf Baru” (PMAB) yang bertujuan meningkatkan penghayatan patriotisme di kalangan belia dalam menghadapi cabaran mendatang.

Projek tersebut akan berusaha mencari definisi PMAB berdasarkan sudut pandangan generasi belia alaf baru.

Presiden MBM, Saifuddin Abdullah berkata, melalui projek itu, setiap badan gabungan MBM akan menganjurkan pelbagai aktiviti untuk mendapatkan definisi berkenaan.

Ia akan dibuat dalam bentuk seminar, perkhemahan, pertandingan dan lain-lain lagi manakala tarikh akhir bagi setiap aktiviti ialah pada 30 November 1999, katanya selepas majlis pelancaran projek itu oleh Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid, di sini hari ini.

Selain itu, katanya, penyertaan juga akan dibuka kepada semua warga Malaysia berumur di bawah 40 tahun untuk menulis definisi patriotisme tersebut dan kemudian menghantarnya kepada MBM.

Katanya, setiap tulisan mengandungi definisi patriotisme itu boleh dihantar dengan surat ke alamat: MBM d/a Pusat Belia Antarabangsa, Jalan Tenteram, 56000 Bandar Tun Razak (Tel: 03-9732761/3) atau faks (03-9732759) tidak lewat daripada 30 November.

Katanya, mereka yang berminat menyertainya juga boleh menghantar e-mel melalui alamat mbm97@po.jaring.my.

Saifuddin menjelaskan, sebagai tambahan, MBM akan mengadakan pertandingan mencipta logo PMAB, forum karyawan, pertandingan menulis dan mendeklamasikan puisi patriotisme di kalangan belia dan remaja.

Katanya, kemuncak projek PMAB ialah Perhimpunan Belia Merentas Alaf yang akan diadakan di sini selama tiga hari mulai pada 30 dan 31 Disember 1999.

Ia dijangka dihadiri oleh 2,000 orang belia.

Menurutnya, pada 31 Disember, setiap 35 badan gabungan MBM dan perwakilan belia yang lain akan membentangkan definisi PMAB masing-masing.

”Selepas itu pada 1 Januari 2000, Deklarasi PMAB akan diisytiharkan,” ujarnya.

Beliau juga berkata, aktiviti susulan akan diadakan sekitar tahun 2000 hingga 2002 iaitu mengedarkan poster PMAB kepada belia seluruh negara, sekolah dan persatuan belia.

Katanya, sebuah benteng sepanjang 650 meter dicadang untuk dibina di sebuah lokasi yang sesuai.

Pada sepanjang benteng itu, menurut Saifuddin, Deklarasi PMAB dan nama 2000 belia yang terlibat menghasilkan deklarasi itu akan turut diukir.

”Projek ini merupakan sebahagian daripada penglibatan MBM dalam proses perancangan pembangunan belia negara dalam jangka masa panjang,” ujarnya.

Sementara itu Ahmad Sarji turut memuji usaha MBM menghasilkan PMAB itu kerana definisi patriotisme sentiasa berubah dari semasa ke semasa.

Dulu, katanya, definisi patriotisme bermaksud mengangkat senjata untuk menentang penjajah bagi memerdekakan negara.

Kemudian definisi itu berubah kepada mereka yang berusaha mengisi kemerdekaan negara serta mesti setia kepada negara serta mempertahankannya.

”Sekarang ini pula saya berpendapat patriotisme bermaksud sesiapa sahaja yang menyumbangkan bakti mereka kepada negara dalam apa bidang sekalipun yang baik tetap dianggap patriotisme,” menurut beliau lagi.

Oleh: SAMSOR JUNET

About admin

Profile photo of admin

Leave a Reply

Skip to toolbar