MAJLIS BELIA MALAYSIA

Wacana Belia Diraja 2026 : Platform Dekatkan Belia dengan Institusi Beraja

Buat julung kalinya, sebuah platform intelektual yang mendekatkan belia dengan institusi beraja dianjurkan menerusi Wacana Belia Diraja 2026 bertemakan “Titah Diraja, Amanah Belia: Membina Masa Depan Pahang Berdaulat”.

Program ini merupakan anjuran bersama Majlis Belia Malaysia (MBM), Majlis Belia Negeri Pahang dan Yayasan Al-Sultan Abdullah berlangsung pada 24 Januari 2026 di The Zenith Hotel Kuantan, Pahang.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, serta diiringi oleh Kebawah Duli Paduka Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Wacana intelektual ini menghimpunkan seramai 500 peserta yang terdiri daripada kepimpinan persatuan belia, mahasiswa serta pelbagai pemegang taruh berkaitan pembangunan belia dan kenegaraan.

Turut hadir ialah YB Mordi Anak Bimol, Timbalan Menteri Belia dan Sukan serta YB Fadzli Mohamad Kamal, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang.

Wacana Belia Diraja 2026 berfungsi sebagai platform strategik bagi memperkukuh literasi kenegaraan dalam kalangan belia, khususnya dalam memahami fungsi, peranan dan kedudukan Institusi Raja Berperlembagaan dalam sistem pemerintahan negara.

Berteraskan tema yang diketengahkan, program ini menegaskan hubungan erat antara titah dan hikmah kepimpinan Raja dengan amanah serta tanggungjawab generasi muda sebagai pembina masa depan khususnya di Negeri Pahang yang berdaulat.

Pendekatan wacana, dialog terbuka dan perkongsian kepakaran diterapkan bagi memastikan belia bukan sahaja memahami peranan Institusi Raja sebagai teras kestabilan, kedaulatan dan perpaduan, malah mampu menghayatinya secara matang dan berwibawa dalam konteks kenegaraan masa kini.

Negeri Pahang menjadi permulaan kepada inisiatif ini, yang dirancang untuk diperluas dan dijelajah ke negeri-negeri lain sebagai usaha berterusan memperkasa belia di peringkat nasional.

Secara keseluruhan, penganjuran wacana ini dijangka dapat memperkasa kapasiti kepimpinan belia, memperkukuh jati diri serta melahirkan generasi pewaris yang beramanah dalam mempertahankan kedaulatan negeri dan negara.

Menggerak Belia!

AHMAD FARHAN ROSLI

Setiausaha Agung

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 22 Januari 2026

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »