ALOR GAJAH 24 Ogos – Seramai 83 orang anak muda dari Melaka, Johor dan Negeri Sembilan berkampung selama tiga hari di Pusat Latihan Kenegaraan Alor Gajah bagi menyertai Tunas Madani 30 (Siri 7): Transisi Kepimpinan Belia 2025.
Program anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) ini menjadi platform penting dalam melahirkan belia berjati diri, berwawasan dan berintegriti sebagai pemimpin pelapis, seiring dengan pindaan Akta 668.
Majlis penutup disempurnakan oleh Presiden MBM, Sdr. Mohd Izzat Afifi Hj Abdul Hamid yang menzahirkan penghargaan atas semangat luar biasa peserta sepanjang program.
“Ilmu kepimpinan yang diperoleh di sini perlu diterjemahkan melalui peranan aktif dalam persatuan belia dan komuniti. Semua peserta TM30 juga akan diserap sebagai sukarelawan MyVOC (Komuniti Sukarelawan Belia Malaysia) bagi program-program MBM akan datang,” ujar beliau.
Turut hadir Pegawai Latihan AKM, Encik Ahmad Fikri Mohamad, Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan, Sdr. Mohd Fairos Rusli, Bendahari Kehormat Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Sdr. Muhammad Firdaus Abdul Razak dan Ketua Penerangan MBM, Sdr. Syafiq Ridzwan Jamaluddin.
Tahniah buat semua peserta dan tenaga penggerak!
Siri seterusnya bakal menutup tirai Fasa 1 Tunas Madani 30 di utara tanah air!





































































