MAJLIS BELIA MALAYSIA

Sultan Pahang Seru Belia Tolak Rasuah dan Penyalahgunaan Kuasa

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menegaskan bahawa perbuatan rasuah bukanlah satu kesalahan kecil, sebaliknya merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap negara dan masa depan bangsa.

Al-Sultan Abdullah bertitah, maruah sesebuah bangsa tidak diukur melalui ketinggian bangunan atau jumlah kekayaan, sebaliknya ditentukan oleh nilai dan prinsip yang dipertahankan ketika berdepan godaan kuasa dan wang.

Menurut baginda, banyak negara runtuh bukan kerana serangan musuh dari luar, tetapi akibat pengkhianatan dalaman melalui amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kerakusan yang tidak dibendung.

“Ketahuilah, rasuah bukan kesalahan kecil dan penyalahgunaan kuasa bukan kelemahan manusia biasa, sebaliknya kejahatan berjawatan. Apabila undang-undang dipermainkan oleh mereka yang sepatutnya menegakkannya, maka negara sedang dipimpin ke jurang kehancuran.

“Hari ini, ada yang memakai seragam, memegang kuasa dan membawa nama institusi, namun tangannya kotor dan hatinya mati. Mereka bukan sahaja merosakkan imej organisasi, malah mencuri masa depan anak bangsa,” titah baginda, seperti dipetik berita tempatan.

Baginda bertitah demikian pada Program Wacana Belia Diraja 2026 bertemakan “Titah Diraja, Amanah Belia: Membina Masa Depan Pahang Berdaulat” yang turut dihadiri paduka anakanda, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Anak Bimol; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal; serta Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menyeru golongan belia agar menjauhi amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta bangkit menjadi generasi yang memutuskan rantaian kebejatan berkenaan.

“Rasuah itu bukan rezeki, tetapi najis. Penyalahgunaan kuasa itu bukan kebijaksanaan, tetapi racun. Kekayaan haram pula bukan kejayaan, sebaliknya kutukan yang menunggu waktu.

“Jangan wariskan kepada anak cucu sebuah negara yang megah pada bangunan, tetapi busuk pada asas. Jangan jadikan Malaysia sebuah tanah air yang kaya di atas kertas, tetapi miskin dari segi maruah,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut menasihatkan golongan belia supaya mendisiplinkan diri, mengawal emosi serta memahami bahawa kekuatan sebenar tidak terletak pada populariti, jumlah pengikut di media sosial atau gaya hidup yang dipamerkan.

Sebaliknya, baginda bertitah kekuatan sebenar terletak pada keupayaan berpegang teguh kepada prinsip ketika diuji dan memilih jalan yang benar walaupun sukar serta sunyi.

Program wacana tersebut menghimpunkan seramai 500 peserta terdiri daripada kepimpinan pertubuhan belia, mahasiswa institusi pengajian tinggi serta pemegang taruh dalam bidang pembangunan belia dan kenegaraan.

Ia turut menjadi inisiatif strategik bagi memperkukuh literasi kenegaraan dalam kalangan belia, khususnya berkaitan peranan dan kedudukan institusi Raja Berperlembagaan sebagai teras kestabilan dan kedaulatan negara.

Berita penuh :

https://malaysiabangkit.com/sultan-pahang-seru-belia-tolak-rasuah-dan-penyalahgunaan-kuasa/?fbclid=IwY2xjawPkIB5leHRuA2FlbQIxMQBzcnRjBmFwcF9pZBAyMjIwMzkxNzg4MjAwODkyAAEeL8ET5mA1gWiiwiwAIXy87eMYqbJX1Br2tDpcSWMD7N0d1Twhm_-7VjuJoYk_aem_WRKEhPn8wxWlqMMfY7ntpA

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »