MAJLIS BELIA MALAYSIA

Siri akhir TM30 Fasa 2- Pemimpin Belia Sedia Menyinar

PORT DICKSON, 30 Nov – Program Tunas Madani 30 (TM30) Fasa 2 Zon Selatan melabuhkan tirainya dengan penuh semangat, sekali gus melengkapkan keseluruhan siri TM30 Transisi Kepimpinan Belia Malaysia bagi tahun ini.

Seperti fasa terdahulu, TM30 Zon Selatan tampil lebih tuntas, strategik dan sarat dengan elemen pembinaan karakter. Sepanjang tiga hari dua malam, para peserta diasah melalui pengisian kepimpinan yang komprehensif merangkumi pengenalan potensi diri, analisis SWOT pertubuhan belia, strategi pendanaan, pengurusan konflik dan pelbagai modul teras pembentukan pemimpin masa hadapan.

Majlis penutup disempurnakan oleh Sdr. Shahriman Ramly, Naib Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan di Glory Beach Resort di sini.

“Harapan saya cukup besar — adik-adik yang menyertai edisi Selatan ini bukan sahaja mempraktikkan ilmu yang dipelajari, tetapi turut merekrut lebih ramai belia yang mampu memimpin pertubuhan apabila had umur baharu dikuatkuasakan tahun hadapan,” tegas Shahriman.

Program anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) ini merupakan langkah strategik dalam memperkukuh barisan pelapis kepimpinan pertubuhan belia menjelang pelaksanaan Akta 668 (Pindaan 2019) apabila had umur 30 tahun dikuatkuasakan sepenuhnya tahun hadapan.

TM30 bukan sekadar program—ia adalah platform melahirkan legasi kepimpinan belia nasional yang berwibawa, berkarakter dan bersedia memimpin masa depan Malaysia. Terus mara, pemimpin muda!

Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat menjayakan program ini – Akademi Kenegaraan Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia, badan-badan gabungan MBM, barisan tenaga pengajar (trainer), serta para sukarelawan. TM30 menjadi saksi bahawa andalah pencetus gelombang kepimpinan belia masa hadapan.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »