MAJLIS BELIA MALAYSIA

Retreat Kepimpinan Exco MBM Perkukuh Hala Tuju 2026

1 Mei – Majlis Belia Malaysia (MBM) telah menganjurkan Retreat Kepimpinan MBM yang dihadiri barisan Exco MBM sebagai platform strategik memperkukuh kesepaduan kepimpinan serta merangka hala tuju gerakan belia negara bagi tahun 2026.

Program dimulakan dengan pembentangan oleh Setiausaha Agung MBM yang merangkumi laporan prestasi bagi suku tahun pertama 2026. Pembentangan tersebut turut menggariskan fokus utama MBM ke hadapan yang menekankan aspek demokrasi, penyertaan belia dan literasi kewangan sebagai teras pembangunan generasi muda.

Sesi diteruskan dengan taklimat oleh Bendahari Kehormat MBM yang menyentuh aspek prosedur serta tadbir urus kewangan organisasi, sebelum disambung dengan pembentangan oleh Ketua Penerangan MBM berkaitan strategi komunikasi dan penyampaian maklumat yang lebih efektif kepada golongan belia.

Retreat ini turut menampilkan pembentangan strategik secara atas talian oleh :

Sdr. Abu Kadir Mubarak Ali, Penolong Setiausaha Agung MBM dengan tajuk “Krisis Tenaga & Peranan Belia” dan Encik Khairul Arifin Mohd Munir, Pengurus Kanan (Penyelidikan), Institut Darul Ehsan dengan tajuk “Kecenderungan Pengundi Muda”

Perbincangan ini memberi perspektif baharu terhadap peranan belia dalam mendepani cabaran semasa serta memahami pola pemikiran generasi pengundi muda.

Selain itu, sesi taklimat berkaitan perancangan dan perjalanan Hari Belia Negara 2026 telah disampaikan oleh Puan Bibi Zaleha, yang menekankan penglibatan ahli jawatankuasa kerja dan gabungan MBM dalam menjayakan sambutan berskala nasional tersebut.

Program diakhiri dengan sesi resolusi serta amanat Presiden MBM yang menekankan beberapa perkara penting, antaranya:

– Kerajaan kekal dengan pelaksanaan had umur belia pada 30 tahun susulan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB)

– MBM diminta memberi fokus kepada isu belia NEET (Not in Employment, Education or Training) dengan penyediaan laporan serta cadangan kepada JKPB

– Setiap Pengerusi Jawatankuasa disaran melaksanakan sekurang-kurangnya satu program untuk dilaporkan dalam Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) MBM

– Semua Exco digesa mempergiat usaha meningkatkan permohonan Inisiatif Sejati MADANI dalam kalangan badan gabungan

– Sambutan ulang tahun ke-78 MBM akan diraikan pada tahun ini sebagai simbol kesinambungan perjuangan belia

Retreat ini menjadi medan penting dalam memperkukuh kesatuan kepimpinan serta memperkasa peranan MBM sebagai suara utama belia negara. Komitmen berterusan ini mencerminkan kesungguhan MBM dalam memastikan belia terus menjadi pemacu perubahan, selari dengan aspirasi pembangunan negara.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »