SHAH ALAM – Majlis Belia Malaysia (MBM) memberi tumpuan utama untuk menangani isu rasuah dan dadah yang menjadi ancaman besar kepada generasi muda hari ini.
Presidennya, Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, kegagalan menyekat ancaman itu boleh memberi kesan buruk kepada usaha melahirkan bakal pemimpin akan datang.
“Di peringkat MBM memang kita anggap isu rasuah dan dadah ini sebagai ancaman besar bukan sahaja di peringkat negara, malah di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga.
“Jadi, disebabkan itu dua isu sosial yang boleh merosakkan anak muda ini kita tentang habis-habisan.
“Kalau kita mampu selesaikan dua musuh utama negara ini, saya yakin Malaysia mampu melahirkan lebih ramai pewaris pemimpin akan datang.
“Atas sebab itulah juga, kedua-dua isu ini menjadi antara keutamaan dalam pelaksanaan aktiviti yang dijalan persatuan atau gerakan belia di seluruh negara,” katanya dalam Forum Khas #RuangBelia: Dari Tahu ke Tindak – Lawan Rasuah! yang berlangsung di Karangkraf di sini pada Jumaat.
Izzat Afifi muncul sebagai panel bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin dalam program yang dikendalikan Ismail Adnan.
Ahli Dewan Negara merangkap Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA) Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan pula tampil menyampaikan ucaptama pada forum berkenaan.
Sementara itu, MBM turut mencadangkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mewujudkan ikon antirasuah sebagai usaha untuk menarik golongan belia agar bencikan gejala tidak sihat berkenaan.
Menurutnya, dengan melantik pempengaruh muda yang mempunyai pengikut tersendiri di media sosial ia mampu memberi kesedaran kepada kumpulan berkenaan.
“Kenapa tidak kita wujudkan ikon yang mana rakyat duduk di hadapan tidak kira artis atau bekas pemimpin belia yang mempunyai pengaruh untuk membawa mesej bencikan rasuah.
“Saya melihat perkara ini antara usaha yang boleh dilaksanakan seperti mana agensi-agensi lain turut menampilkan ikon untuk menarik minat golongan muda yang begitu dekat dengan media sosial hari ini,” katanya.
Artikel penuh :