MAJLIS BELIA MALAYSIA

Program Wacana Belia Diraja 2026: Perkukuh Kesedaran Belia Terhadap Kedaulatan Dan Amanah Membina Negara

Kuantan, Pahang | 24 Januari 2026 – Program Wacana Belia Diraja 2026 telah berlangsung dengan jayanya di The Zenith Hotel, Kuantan, Pahang, menghimpunkan warga belia, wakil kerajaan serta tetamu kenamaan dalam usaha memperkukuh kesedaran dan kefahaman golongan belia terhadap peranan Institusi Raja serta tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara.

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Al-marhum Sultan Haji Ahmad Shah, telah berkenan berangkat mencemar duli bagi menyempurnakan perasmian Program Wacana Belia Diraja 2026 yang bertemakan ‘Titah Diraja, Amanah Belia: Membina Masa Depan Pahang Berdaulat’. Turut berangkat bersama ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sekali gus menzahirkan sokongan padu Institusi Diraja terhadap pembangunan kepimpinan belia di negeri Pahang dan Malaysia.

Dalam persembahan ucapan oleh Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), menegaskan bahawa golongan belia perlu memainkan peranan lebih proaktif sebagai pemangkin kestabilan negara serta rakan strategik kerajaan dalam membina masyarakat yang berdaya saing, berintegriti dan berjiwa patriotik.

Program ini turut dihadiri oleh YB Mordi Anak Bimol, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, serta YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi & Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang yang hadir sebagai wakil rasmi Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, mencerminkan sokongan berterusan kerajaan terhadap agenda pembangunan belia berteraskan nilai kenegaraan.

Dalam Titah Diraja, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menekankan bahawa kedaulatan negara pada masa kini perlu dilihat secara menyeluruh, bukan sekadar mempertahankan sempadan tanah, malah melibatkan pemeliharaan sempadan pemikiran generasi muda agar tidak terpengaruh dengan anasir yang boleh menggugat keharmonian dan jati diri bangsa.

Baginda turut menegaskan bahawa kesetiaan kepada Raja dan Negara merupakan asas utama kepada kestabilan nasional dan keharmonian masyarakat majmuk, serta perlu terus diperkukuh dalam kalangan belia sebagai tonggak masa depan negara. Menurut Baginda, semangat kesetiaan ini adalah elemen penting dalam memastikan kelangsungan sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen di Malaysia.

Selain itu, Baginda turut menekankan bahawa nilai integriti dan maruah merupakan asas kepimpinan yang tidak boleh dijual beli atau dikompromi dalam apa jua keadaan. Belia diseru agar menjadikan kejujuran, amanah dan tanggungjawab sebagai prinsip utama dalam kehidupan seharian serta dalam menggalas peranan kepimpinan di peringkat masyarakat dan negara.

Dalam pada itu, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan masalah sosial yang melanda generasi muda masa kini, yang disifatkan sebagai ancaman serius terhadap masa depan negara sekiranya tidak ditangani secara holistik dan bersepadu oleh semua pihak.

Kemuncak program menyaksikan gimik perasmian Program Wacana Belia Diraja 2026 disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, melambangkan iltizam berterusan Institusi Diraja bersama kerajaan dan kepimpinan belia dalam membentuk generasi muda yang berilmu, berakhlak, berintegriti serta setia kepada Raja dan Negara demi membina masa depan Pahang yang berdaulat dan sejahtera.

Wacana Belia Diraja 2026 ini dirancang untuk menyantuni Institusi Raja-Raja dan memberi ruang untuk warga belia berforum dan berdialog dalam usaha Majlis Belia Malaysia memperkukuh kesedaran belia terhadap kedaulatan dan amanah membina negara.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »