KUALA LUMPUR 9 Julai – Majlis Belia Malaysia (MBM) telah mengadakan Sidang Dewan Tertinggi kali ke-127 yang berlangsung dengan penuh semangat di Pusat Belia Antarabangsa, Kuala Lumpur.
Sidang ini dipengerusikan oleh Pengerusi Tetap MBM, Sdr. Muhamad Naim Al Amin Saharudin dan merupakan sidang pertama selepas pemilihan barisan kepimpinan baharu MBM bagi sesi 2024–2026 yang telah berlangsung pada Mesyuarat Agung Tahunan lalu.
Mesyuarat ini juga menerima tetamu khas iaitu Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Puan Azura Abidin.
Hadir sama Presiden MBM, Sdr. Mohd Izzat Afifi; barisan pimpinan Exco MBM dan badan gabungan MBM; Dr. Zainah Shariff, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Belia dan Encik Uzaini Mohamad Sani, Pengarah Cawangan Pembangunan Sosial, JBSNegara.
Antara agenda penting yang dibincangkan termasuk Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) serta isu transisi kepimpinan belia.
Sidang ditangguhkan jam 11.45 malam dengan beberapa ketetapan penting untuk hala tuju pembangunan belia negara.




































































