JOHOR BAHRU 19 Oktober – Majlis Belia Malaysia (MBM) terus memperkasa peranan ketua-ketua penerangan melalui pelaksanaan Konvensyen Ketua-Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia Zon Selatan yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Johor.
Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Tuan Mohammad Khairul Mohd Dam, Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor.
Beliau memuji usaha yang dilaksanakan oleh MBM ini dan berharap agar program ini dapat digerakkan bersama pihak jabatan memandangkan impak kelompok sasar yang sama.
Konvensyen anjuran MBM dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) ini bertujuan memperkukuh keupayaan komunikasi dan penguasaan kemahiran digital kreatif dalam kalangan Ketua Penerangan Majlis Belia Negeri (MBN) dan Majlis Belia Daerah (MBD), khususnya dalam penggunaan platform Canva, CapCut dan teknologi AI.
Ia juga menjadi wadah penting dalam membina jaringan strategik antara MBN, MBD serta Pejabat Belia dan Sukan Daerah ke arah memperkukuh naratif belia yang segar, berimpak selaras dengan aspirasi MBM sebagai suara rasmi belia Malaysia.
Sepanjang dua hari penganjuran, para peserta mengikuti siri bengkel media yang merangkumi reka bentuk grafik, penyuntingan video, komunikasi media serta sesi bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Turut diadakan sesi perkongsian Media Framing & Social Media Planning bersama Ketua Penerangan MBM serta sesi latihan amali projek kreatif.
Penganjuran ini membuktikan komitmen MBM dalam memperkukuh kapasiti kepimpinan belia ke arah menjadi komunikator strategik, kreatif dan berdaya saing dalam era digital masa kini.
Terima kasih kepada tuan rumah Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ), MyPublic Academy, DBP, para peserta serta semua pihak yang menjayakan program ini.
Hadir sama Presiden MBNJ, Sdr. Mohamad Alif A. Rahim dan Ketua Penerangan MBM, Sdr. Syafiq Ridzwan Jamaluddin.


























































