KUALA LUMPUR 24 Ogos – Majlis Belia Malaysia (MBM) terlibat sama sebagai rakan penganjur menjayakan Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza yang dihadiri lebih 20,000 orang di Dataran Merdeka.
Kemuncak program ialah kehadiran YAB Perdana Menteri yang menyampaikan syarahan perdana menyelar sikap pilih kasih negara barat dan rejim Zionis Israel yang berterusan menyekat bantuan kemanusiaan buat rakyat Palestin.
Program ini diselitkan dengan pelbagai pengisian termasuk solat hajat, bacaan Qunut Nazilah, persembahan khas qasidah, pameran dan mural serta pelepasan delegasi Sumud Nusantara untuk Flotilla Gaza.
Presiden, kepimpinan serta beberapa badan-badan gabungan MBM hadir bersolidariti kepada perjuangan rakyat Palestin.
Selain itu, CEO Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby turut membacakan Deklarasi Sumud Nusantara.
Karnival Sumud Nusantara 2025 dianjurkan bersama oleh MAPIM dan Cinta Gaza Malaysia serta dinaungi Perdana Menteri yang juga Penaung Sumud Nusantara.



















