PUTRAJAYA 10 Julai – Majlis Belia Malaysia (MBM) secara rasmi dilantik sebagai ahli Kaukus Antirasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkuat kuasa 1 Julai 2025. Pelantikan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif melibatkan penyertaan Organisasi Masyarakat Sivil (CSO) dalam usaha membanteras rasuah di negara ini.
Penubuhan kaukus ini adalah selaras dengan Substrategi 3.5 di bawah Strategi 3: Suara Rakyat, seperti yang digariskan dalam Pelan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028 yang diumumkan oleh kerajaan.
Surat tauliah pelantikan disampaikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki kepada Timbalan Presiden MBM, Sdr. Khairul Azman Abdul Azeez dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Dalam ucapannya, Tan Sri Azam Baki menyatakan harapan agar pelantikan ini dapat memperkukuh kerjasama antara SPRM dan masyarakat sivil, melalui penganjuran sesi libat urus, perbincangan serta pelbagai program pencegahan rasuah yang lebih meluas pada masa hadapan.
Selain MBM, beberapa pertubuhan bukan kerajaan lain turut dilantik menyertai kaukus ini, antaranya:
Anti-Bribery Management Systems Practitioners Malaysia (ABMS)
Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (PAKAR)
Transparency International Malaysia (TI-M)
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Business Integrity Alliance (BIA)
MBM merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan dan komited untuk memainkan peranan aktif dalam menyokong agenda pencegahan rasuah, terutamanya dalam membentuk kesedaran integriti dalam kalangan generasi muda.





