Majlis Belia Malaysia (MBM) mengambil perhatian serius terhadap situasi banjir yang kini menjejaskan beberapa negeri di seluruh negara. MBM menzahirkan solidariti bersama semua mangsa yang terkesan serta menghargai usaha barisan hadapan, agensi keselamatan, dan para sukarelawan yang sedang bertungkus-lumus membantu.
Sehubungan itu, MBM telah mengaktifkan Bilik Gerakan Bantuan Banjir MBM sebagai pusat penyelarasan rasmi bagi menguruskan mobilisasi belia, pengumpulan bantuan serta tindak balas segera di lapangan. Langkah ini diambil bagi memastikan seluruh rangkaian belia di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah dapat bergerak secara lebih sistematik, tersusun dan efisien.
FOKUS TINDAKAN BANTUAN BANJIR MBM
1. Mobilisasi Sukarelawan Belia
Menggerakkan rangkaian belia di kawasan terjejas untuk membantu dalam kerja menyelamat, sokongan komuniti dan pengurusan pusat pemindahan.
2. Pengumpulan & Pengagihan Bantuan
Mengumpul barangan keperluan seperti makanan, tuala wanita, selimut, lampin, ubat-ubatan asas dan kit kebersihan untuk diagihkan kepada keluarga terkesan.
3. Bantuan Pasca-Banjir
Mengatur pasukan pembersihan rumah, fasiliti awam dan kawasan komuniti serta menyediakan sokongan emosi dan psikososial asas kepada mangsa.
MBM mengajak pertubuhan belia, pasukan sukarelawan anak muda dan masyarakat umum untuk menggerakkan solidariti belia dengan :
- Menyertai misi sukarelawan melalui saluran pendaftaran rasmi.
- Menyalurkan bantuan melalui pusat pengumpulan yang berdaftar.
- Mengelakkan penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan koordinasi.
- Memberi kerjasama penuh kepada agensi keselamatan dan penyelaras bantuan di lapangan.
Tindakan bersepadu ini penting bagi memastikan bantuan sampai kepada mangsa tanpa pertindihan, tanpa pembaziran dan tanpa kelewatan.
SALURAN HUBUNGAN & PENDAFTARAN BANTUAN
Untuk pertanyaan, pendaftaran sukarelawan atau penyaluran bantuan, sila hubungi :
Telefon : 03-9173 2761/63
E-mel : mbm@belia.org.my
Bilik Gerakan MBM : Wisma MBM, No. 1, Jalan Tasik Permaisuri 2, Bandar Tun Razak, 56000 Kuala Lumpur.
MBM mengalu-alukan penglibatan belia Malaysia yang prihatin untuk mendaftar sebagai Sukarelawan Misi Bantuan Banjir MBM melalui https://forms.gle/XrQpHm9GoojpTMou5
MBM kekal komited menjadi nadi solidariti belia dalam menghadapi bencana ini. Kita percaya, kekuatan Malaysia dalam waktu sukar sentiasa terletak pada semangat kesukarelawanan dan kepedulian anak muda.
Dikeluarkan oleh :
Majlis Belia Malaysia (MBM)
Bertarikh : 26 November 2025
